Tiba-tiba kita dikejutkan dengan satu
tragedi yang tidak disangka-sangka, Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing
777-200 dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA, hilang di ruang udara Vietnam.
Pesawat itu membawa 239 penumpang,
termasuk 12 anak kapal. Terdapat 152 warga China dan 38 rakyat Malaysia dalam
pesawat itu.
Sehingga kini, sudah lebih 30 jam
dilaporkan hilang, tidak ada khabar berita, tiada petunjuk yang sahih untuk
mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku dan apakah puncanya. Semua kita,
terutamanya ahli keluarga hanya mampu berdoa dan berharap agar semuanya akan
selamat.
Sesungguhnya, tepat seperti kata pepatah
orang tua-tua "malang tidak berbau". Oleh itu kita mesti sentiasa
bersedia menghadapi apa saja takdir yang akan menimpa sama ada baik atau
sebaliknya. Sebagai muslim, kita wajib percaya bahawa setiap yang berlaku itu
pasti ada hikmahnya.
Sebagai warganegara Malaysia yang muslim
dan selalu memilih MAS sebagai wahana perjalanan merentas negara dan benua,
saya ingin mengemukakan beberapa cadangan. Sebahagian daripada cadangan ini
saya pernah tulis di dalam kertas soal selidik yang diedarkan semasa saya
menaiki MAS.
Saya tidak bermaksud bahawa cadangan yang
saya kemukakan ini jika dilaksanakan dapat mengelak tragedi malang seperti yang
berlaku sekarang. Tetapi sekurang-kurang jika ditakdirkan berlaku juga, maka
yang pergi sama ada penumpang atau anak kapal akan pergi dalam keadaan
husnul-khatimah.
Pertama – Penyediaan arak atau minuman
keras. Semua sedia maklum bahawa minuman itu haram di sisi Islam dengan nas
al-Quran (Surah al-Maidah 5:90). Kita membawa nama sebuah negara Islam dan
tercatat pula di dalam perlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan. Namun
secara terang dan nyata melanggar hukum Islam. Bukankah itu suatu kejanggalan
yang amat nyata? Adakah kita takut akan kehilangan penumpang jika tidak
menghidang minuman yang Allah haramkan itu? Tidakkah kita beriman bahawa Allah
yang memberi rezeki atau ar-Razzaq? Dan dalam keadaan kita tidak berhenti
mengedar arak, MAS dilaporkan rugi juga (http://www.beritasemasa.com.my/mas-rugi-lagi-malaysia-airlines).
Maksudnya, rugi bukan kerana tidak edar arak. Dan andaikata untung besar dengan
hidang arak, bolehkah keuntungan itu kita gunakan untuk menebus laknat Allah?
Oleh itu, saya menyeru dan merayu pihak
pengurusan MAS agar berhenti segera daripada menyediakan minuman itu.
Selamatkan kakitangan MAS dari laknat Allah. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
"Allah
melaknat arak: orang yang meminumnya, orang yang memberi minum kepada orang
lain, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang memerahnya,
orang yang diperah untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya
dan orang yang memakan harganya." Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud,
dan al-Hakim daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma. Dan daripada Anas
radhiallahu 'anhu, dia berkata "Nabi s.a.w. melaknat pada arak itu sepuluh
perkara: orang yang memerahnya, orang yang diperah untuknya, orang yang
meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang
memberi minum kepada orang lain, orang yang menjualnya, orang yang makan
harganya, orang yang membelinya dan orang yang dibeli untuknya." Riwayat
at-Tirmizi dan Ibn Majah.
Kedua
– Pakaian peramugari. Sedia maklum, wanita Islam wajib berpakaian menutup aurat
berdasarkan firman Allah (Surah an-Nur 24:31 dan al-Ahzab 33:59). Sekiranya
pihak pengurusan belum bersedia untuk mewajibkan pakaian yang menutup aurat ke
atas peramugari yang beragama Islam, berilah peluang kepada mereka yang memilih
untuk memakai pakaian yang menutup aurat untuk memakainya. Dengan itu pihak
pengurusan tidak dianggap sebagai penghalang kepada kakitangan yang hendak
melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya berpakaian menutup aurat tidak
langsung mengganggu tugas sebagai peramugari. Ini terbukti di mana peramugari
yang bertugas di dalam penerbangan sewa khas yang membawa jamaah haji ke tanah
suci, semuanya berpakaian menutup aurat. Dan mereka dapat menjalankan tugas
dengan cemerlang sekali.
Ketiga
– Masalah solat. Dalam perjalanan yang jauh, ramai penumpang muslim yang tidak
solat sedangkan solat adalah tiang agama, rukun Islam paling penting selepas
syahadah. Tidak ada alasan untuk meninggalkan solat secara sengaja. Mereka
tidak solat mungkin kerana tidak mengetahui masuknya waktu solat atau tidak
mengetahui cara untuk menunaikan solat di dalam pesawat. Oleh itu dicadangkan,
buat pengumuman setiap kali masuk waktu dan sediakan video tentang cara-cara
berwuduk dan cara-cara menunaikan solat di dalam pesawat. Dengan itu, pihak
pengurusan MAS telah melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan mungkar. Mereka
yang tidak solat tidak boleh lagi menyalahkan pihak pengurusan tidak
menyediakan kemudahan untuk mereka.
Keempat
– Doa. Doa adalah senjata orang beriman. Allah sayang kepada hambaNya yang
berdoa dan telah mengajar pelbagai jenis doa, termasuk doa menaiki kenderaan
dan doa musafir. Beberapa syarikat penerbangan dari negara Islam lain seperti
Egypt, Qatar memasang doa-doa tersebut ketika hendak berlepas. Dicadangkan MAS
juga memasang doa-doa itu yang sabit daripada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
Dengan itu, diharapkan perjalanan akan diberkati dan dilindungi dari bencana
dan bahaya yang tidak diduga.
Itulah
serba sedikit cadangan yang sangat mudah untuk dilaksanakan. Mudah-mudahan kita
terelak daripada laknat Allah. Kita berusaha dan mencari jalan supaya kita mati
dalam keadaan Allah redha dan husnul-khatimah (kesudahan yang baik).
Ya
Allah, hambaMu telah sampaikan. Saksikanlah.
No comments:
Post a Comment