Perkataan sahur
diambil daripada sahr bermakna waktu sebelum subuh atau hampir masuk saktu
subuh.
Hukum sahur adalah
sunat. Daripada Anas bin Malik r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
"Barsahurlah. Sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan." Riwayat
al-Bukhari di dalam bab keberkatan sahur, tetapi tidak diwajibkan kerana Nabi
s.a.w. dan para sahabat r.a. meneruskan puasa (dari hari pertama hingga hari
berikutnya), tidak pula dinyatakan mereka bersahur." Sahih al-Bukhari
Ibn al-Mundzir
berkata: "Ijmak ulamak bahawa hukum sahur adalah sunat."
Demikian juga
an-Nawawi berkata: "Hadis di atas mengandungi maksud galakan supaya
bersahur. Dan ulamak sepakat bahawa ia sunat dan tidak wajib." Syarah
Sahih Muslim
Fadhilat Sahur
1.
Sahur
Barakah (Berkat).
Daripada Anas bin
Malik r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Bersahurlah kerana
sesungguhnya pada sahur itu barakah."
Daripada Abi
Dardaa' r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Ia adalah makanan yang
diberkati, iaitu sahur." Riwayat Ibn Hibban
Daripada Abdullah
bin al-Harith, daripada seorang lelaki dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dia
berkata, aku mengunjungi Rasulullah s.a.w. ketika baginda sedang bersahur.
Lantas baginda berkata kepadaku: "Sesungguhnya sahur ini satu keberkatan
yang Allah anugerahkan kepada kamu. Maka janganlah kamu meninggalkannya." Riwayat
Ahmad dan an-Nasae
Ibn Daqiq al-'Eid
berkata: "Hadis tersebut menunjukkan sahur bagi orang yang berpuasa sangat
digalakkan. Sebabnya ialah ada keberkatan padanya. Keberkatan ini harus kembali
kepada perkara ukhrawi kerana menghidupkan sunnah pasti ada ganjaran dan
pertambahan pahala. Dan harus juga kembali kepada urusan duniawi kerana sahur
memberikan kekuatan kepada badan untuk berpuasa dan memudahkannya tanpa rasa
terbeban." (Ihkam al-Ahkam)
Ibn Hajar berkata:
"Sesungguhnya pada sahur itu tercapai keberkatan dari pelbagai aspek:
mengikut sunnah, menyalahi Ahli Kitab, menguatkan badan untuk ibadah, menambah
kecergasan, mengelak dari akhlak buruk yang dicetuskan oleh kelaparan, memberi
peluang bersedekah kepada orang yang meminta pada waktu itu atau berkumpul
bersamanya untuk makan, mengambil peluang berzikir dan berdoa pada waktu yang
diharapkan mustajab, serta memberi kesempatan berniat puasa bagi mereka yang
terlupa niat sebelum tidur." Fathul-Bari
2.
Sahur
merupakan amalan yang dikhususkan kepada umat ini (umat Nabi Muhammad s.a.w.)
sahaja.
Daripada 'Amru bin
al-'Aas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Pemisah
antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur." Riwayat
Muslim
Al-Khattabi
berkata, maksud sabda Rasulullah s.a.w. itu ialah menggalakkan supaya bersahur.
Juga suatu perisytiharan bahawa agama ini mudah, tiada kesukaran padanya.
Sedangkan Ahli Kitab, apabila mereka telah tidur selepas berbuka, tidak halal
lagi bagi mereka untuk makan dan minum. Begitulah juga pada permulaan puasa
diwajibkan ke atas umat Nabi s.a.w. Kemudian Allah 'Azza wa Jalla nasakhkan dan
diberi kelapangan makan dan minum sehingga waktu fajar." (Ma'alim
as-Sunan)
3.
Allah
Ta'ala serta para malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur.
Daripada Abi Sa'eid al-Khudriy r.a.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sahur seluruhnya barakah. Maka
jangan kamu tinggalkan walaupun dengan hanya meminum seteguk air kerana
sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla serta para malaikatNya berselawat ke atas
orang yang bersahur." Riwayat Ahmad.
Sahur sunat dilewatkan. Daripada Anas bin
Malik r.a. daripada Zaid bin Thabit r.a. katanya: "Kami bersahur bersama
Nabi s.a.w. Kemudian Baginda bangkit untuk menunaikan solat." Aku (Anas)
bertanya: "Berapa lama masa antara azan dengan sahur?" Zaid menjawab:
"Sekadar 50 ayat." Riwayat al-Bukhari
Imam an-Nawawi berkata: "Apa yang
diceritakan oleh Zaid itu memberi galakan supaya dilewatkan sahur sehingga
hampir-hampir masuk waktu fajar." Syarah Sahih Muslim
Ibn Hajar berkata: "Yang dikatakan 50
ayat itu adalah ayat yang sederhana,
tidak panjang dan tidak pendek, tidak baca dengan laju dan tidak juga dengan
lambat." Fathul-Bari
Ibn Abi Jamrah berkata: "Rasulullah
s.a.w. memerhatikan apa yang paling mesra dengan umatnya, maka itu yang
dilakukannya. Sekiranya baginda tidak bersahur, pasti mereka akan ikut, maka itu
menyusahkan mereka. Begitu juga sekiranya baginda bersahur di waktu tengah
malam, nescaya sukar bagi setengah mereka yang tidak dapat bangun dari
tidur." (Bahjah an-Nufus)
Makanan yang paling afdhal untuk sahur
adalah tamar. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda
maksudnya: "Sebaik-baik sahur mukmin itu adalah tamar." Riwayat Abu
Daud
At-Toyyibi berkata: "Baginda memuji
tamar pada waktu ini kerana pada sahur itu sendiri barakah. Dan mengkhususkan
tamar pula barakah atas barakah supaya permulaannya barakah dan akhirnya pun
barakah."
Apabila terdengar azan, di tangan masih ada
makanan, apa yang perlu dilakukan?
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila salah seorang kamu mendengar azan
sedangkan di tangannya ada bekas makanan, maka janganlah dia meletakkan
bekasnya itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya daripada bekas itu." Riwayat
Ahmad dan lain-lain
Ketika mengulas hadis ini, al-Khattabi
berkata: "Hadis ini harus difahami bersama sabdanya (di dalam hadis lain)
bermaksud: "Sesungguhnya Bilal azan di waktu masih malam. Maka makan dan
minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan." Atau difahami maknanya bahawa
seseorang itu mendengar azan pada hal dia ragu sama ada telah masuk waktu subuh
atau belum seperti keadaan langit yang masih gelap dan dia tidak yakin azan itu
benar-benar menandakan waktu fajar telah masuk kerana dia tidak nampak
tanda-tandanya. Dia percaya muazzinpun melaungkan azan dalam keadaan tidak
jelas tanda fajar. Adapun sekiranya dia yakin telah masuk waktu subuh, maka tidak
perlulah dia menunggu azan dilaungkan kerana dia disuruh berhenti makan dan
minum apabila telah nyata garisan putih dan garisan hitam kerana fajar."
Waktu Imsak
Waktu imsak, iaitu berhenti makan dan minum
adalah apabila terbit fajar yang menandakan masuknya waktu subuh. Firman Allah
Ta'ala bermaksud: "dan makanlah serta minumlah sehingga nyata
kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam),
iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam
(maghrib)…” (Al-Baqarah:187)
Aisyah
r.a. berkata: “Sesungguhnya Bilal azan di waktu masih malam. Maka Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “Makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum
azan. Sesungguhnya dia (Ibn Ummi Maktum) tidak azan kecuali fajar telah
terbit.” Al-Qasim berkata: “Dan tidak ada jarak antara azan mereka berdua
kecuali yang ini naik dan yang ini turun.” Riwayat al-Bukhari
Ibn
Abd al-Barr berkata, hadis itu menunjukkan bahawa sahur itu adalah sebelum
subuh kerana baginda berkata “sesungguhnya Bilal azan di waktu malam”. Kemudian
baginda melarang mereka makan ketika Ibn Ummi Maktum azan. Ini merupakan ijmak seluruh
ulamak kecuali A’masy yang pelik, iaitu puasa bermula dari terbit fajar hingga
maghrib.
Dan
ulamak semuanya sepakat bahawa sesiapa yang telah yakin masuk waktu subuh,
tidak harus lagi baginya makan dan minum selpas itu.
An-Nawawi
berkata: “Hadis-hadis ini menerangkan bahawa fajar yang berkaitan dengan hukum
puasa ialah fajar kedua, iaitu fajar sodiq.” Syarah Sahih Muslim
Ibn
Hajar berkata: “Antara bid’ah yang mungkar ialah apa yang direka pada zaman
ini, iaitu dengan melaungkan azan sebelum subuh di dalam bulan Ramadhan sekitar
sepertiga jam. Mereka memadamkan lampu-lampu sebagai alamat haram makan bagi
orang yang hendak berpuasa. Mereka mendakwa bahwa perbuatan itu adalah suatu
langkah berjaga-jaga dan berhati-hati dalam ibadah.” Fathul-Bari