Rasulullah s.a.w. berkata kepada para
sahabat r.a. maksudnya: "Sesungguhnya perumpamaan antara aku, kamu dan
dunia seperti satu kaum. Mereka berjalan merentasi padang pasir yang luas.
Sehingga mereka sampai pada suatu kawasan, mereka tidak tahu adakah jalan yang
telah mereka lalui lebih jauh, atau destinasi yang hendak dituju lebih jauh.
Bekalan yang mereka bawa telah habis. Binatang tunggangan telah mati. Di
hadapan mereka laluan sukar yang tidak diketahui jaraknya. Bekalan tidak ada,
kenderaanpun tidak ada. Mereka yakin
riwayat mereka pasti berakhir di situ. Tiba-tiba, muncul seorang lelaki
berkeadaan basah. Titik-titik air
menitis dari kepalanya. Apabila terpandang lelaki itu, mereka berkata:
"Lelaki itu tentu datang dari kampung yang berhampiran. Keadaannya
menunjukkan kampungnya tidak jauh dari sini!"
Apabila lelaki itu mendekati mereka, dia
berkata: "Apa hal kamu?"
Mereka menjawab: "Seperti yang engkau lihat!"
Lelaki itu berkata: "Sekiranya aku
tunjukkan kamu tempat air yang jernih dan nyaman serta taman-taman yang
menghijau, apa yang hendak kamu lakukan?"
Mereka menjawab: "Kami akan ikut
engkau dan tidak akan membantah walau sedikitpun."
Lelaki itu berkata lagi: "Kalau
begitu, berikan janji dan sumpah setia kamu dengan Nama Allah!"
Maka mereka semua berjanji dan bersumpah
setia dengan Nama Allah, mereka tidak akan menderhakai lelaki itu sedikitpun.
Setelah itu, lelaki itupun membawa mereka ke satu kawasan yang mempunyai air
dan taman yang hijau. Tinggallah mereka di situ sekian lama dengan izin Allah.
Kemudian, tiba-tiba lelaki itu berkata:
"Wahai kalian semua, kita akan berangkat sekarang."
Mereka bertanya dalam keadaan
terpinga-pinga: "Ke mana?"
Lelaki itu berkata: "Ke tempat yang
ada air lain daripada air kamu ini, dan taman-taman yang lain daripada taman
kamu ini."
Sebahagian besar daripada mereka berkata:
"Demi Allah, dulu kami tidak pernah menyangka ada tempat seperti ini
sehingga kami benar-benar menemuinya. Kami tidak fikir kehidupan yang lebih
baik daripada ini!"
Sekumpulan yang kecil dari kalangan mereka
berkata: "Tidakkah kamu telah berjanji dan bersumpah setia dengan lelaki
ini dengan Nama Allah bahawa kamu tidak akan mencanggahinya sedikitpun?
Sesungguhnya dia telah bercakap benar dengan kamu kali pertama dahulu. Maka
demi Allah dia pasti bercakap benar juga pada kali ini."
Maka sebahagian yang kecil itu berangkat
mengikutinya. Manakala sebahagian yang besar terus menetap di situ. Tidak lama
selepas itu mereka diserang musuh. Di antara mereka ada yang ditawan dan ada
yang dibunuh."
Dikeluarkan oleh Ibn Abi Dunya dan Abdullah
bin al-Mubarak di dalam "Az-Zuhd".
No comments:
Post a Comment