Wednesday, June 18, 2014

Apa ada pada sahur?


Perkataan sahur diambil daripada sahr bermakna waktu sebelum subuh atau hampir masuk saktu subuh.

Hukum sahur adalah sunat. Daripada Anas bin Malik r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Barsahurlah. Sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan." Riwayat al-Bukhari di dalam bab keberkatan sahur, tetapi tidak diwajibkan kerana Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. meneruskan puasa (dari hari pertama hingga hari berikutnya), tidak pula dinyatakan mereka bersahur." Sahih al-Bukhari
Ibn al-Mundzir berkata: "Ijmak ulamak bahawa hukum sahur adalah sunat."
Demikian juga an-Nawawi berkata: "Hadis di atas mengandungi maksud galakan supaya bersahur. Dan ulamak sepakat bahawa ia sunat dan tidak wajib." Syarah Sahih Muslim

Fadhilat Sahur

1.    Sahur Barakah (Berkat).

Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu barakah."

Daripada Abi Dardaa' r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Ia adalah makanan yang diberkati, iaitu sahur." Riwayat Ibn Hibban

Daripada Abdullah bin al-Harith, daripada seorang lelaki dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dia berkata, aku mengunjungi Rasulullah s.a.w. ketika baginda sedang bersahur. Lantas baginda berkata kepadaku: "Sesungguhnya sahur ini satu keberkatan yang Allah anugerahkan kepada kamu. Maka janganlah kamu meninggalkannya." Riwayat Ahmad dan an-Nasae

Ibn Daqiq al-'Eid berkata: "Hadis tersebut menunjukkan sahur bagi orang yang berpuasa sangat digalakkan. Sebabnya ialah ada keberkatan padanya. Keberkatan ini harus kembali kepada perkara ukhrawi kerana menghidupkan sunnah pasti ada ganjaran dan pertambahan pahala. Dan harus juga kembali kepada urusan duniawi kerana sahur memberikan kekuatan kepada badan untuk berpuasa dan memudahkannya tanpa rasa terbeban." (Ihkam al-Ahkam)
Ibn Hajar berkata: "Sesungguhnya pada sahur itu tercapai keberkatan dari pelbagai aspek: mengikut sunnah, menyalahi Ahli Kitab, menguatkan badan untuk ibadah, menambah kecergasan, mengelak dari akhlak buruk yang dicetuskan oleh kelaparan, memberi peluang bersedekah kepada orang yang meminta pada waktu itu atau berkumpul bersamanya untuk makan, mengambil peluang berzikir dan berdoa pada waktu yang diharapkan mustajab, serta memberi kesempatan berniat puasa bagi mereka yang terlupa niat sebelum tidur." Fathul-Bari

2.    Sahur merupakan amalan yang dikhususkan kepada umat ini (umat Nabi Muhammad s.a.w.) sahaja.

Daripada 'Amru bin al-'Aas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Pemisah antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur." Riwayat Muslim

Al-Khattabi berkata, maksud sabda Rasulullah s.a.w. itu ialah menggalakkan supaya bersahur. Juga suatu perisytiharan bahawa agama ini mudah, tiada kesukaran padanya. Sedangkan Ahli Kitab, apabila mereka telah tidur selepas berbuka, tidak halal lagi bagi mereka untuk makan dan minum. Begitulah juga pada permulaan puasa diwajibkan ke atas umat Nabi s.a.w. Kemudian Allah 'Azza wa Jalla nasakhkan dan diberi kelapangan makan dan minum sehingga waktu fajar." (Ma'alim as-Sunan)

3.    Allah Ta'ala serta para malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur.

Daripada Abi Sa'eid al-Khudriy r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sahur seluruhnya barakah. Maka jangan kamu tinggalkan walaupun dengan hanya meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla serta para malaikatNya berselawat ke atas orang yang bersahur." Riwayat Ahmad.

Sahur sunat dilewatkan. Daripada Anas bin Malik r.a. daripada Zaid bin Thabit r.a. katanya: "Kami bersahur bersama Nabi s.a.w. Kemudian Baginda bangkit untuk menunaikan solat." Aku (Anas) bertanya: "Berapa lama masa antara azan dengan sahur?" Zaid menjawab: "Sekadar 50 ayat." Riwayat al-Bukhari
Imam an-Nawawi berkata: "Apa yang diceritakan oleh Zaid itu memberi galakan supaya dilewatkan sahur sehingga hampir-hampir masuk waktu fajar." Syarah Sahih Muslim

Ibn Hajar berkata: "Yang dikatakan 50 ayat itu adalah ayat yang  sederhana, tidak panjang dan tidak pendek, tidak baca dengan laju dan tidak juga dengan lambat." Fathul-Bari

Ibn Abi Jamrah berkata: "Rasulullah s.a.w. memerhatikan apa yang paling mesra dengan umatnya, maka itu yang dilakukannya. Sekiranya baginda tidak bersahur, pasti mereka akan ikut, maka itu menyusahkan mereka. Begitu juga sekiranya baginda bersahur di waktu tengah malam, nescaya sukar bagi setengah mereka yang tidak dapat bangun dari tidur." (Bahjah an-Nufus)

Makanan yang paling afdhal untuk sahur adalah tamar. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sebaik-baik sahur mukmin itu adalah tamar." Riwayat Abu Daud

At-Toyyibi berkata: "Baginda memuji tamar pada waktu ini kerana pada sahur itu sendiri barakah. Dan mengkhususkan tamar pula barakah atas barakah supaya permulaannya barakah dan akhirnya pun barakah."

Apabila terdengar azan, di tangan masih ada makanan, apa yang perlu dilakukan?
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila salah seorang kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas makanan, maka janganlah dia meletakkan bekasnya itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya daripada bekas itu." Riwayat Ahmad dan lain-lain
Ketika mengulas hadis ini, al-Khattabi berkata: "Hadis ini harus difahami bersama sabdanya (di dalam hadis lain) bermaksud: "Sesungguhnya Bilal azan di waktu masih malam. Maka makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan." Atau difahami maknanya bahawa seseorang itu mendengar azan pada hal dia ragu sama ada telah masuk waktu subuh atau belum seperti keadaan langit yang masih gelap dan dia tidak yakin azan itu benar-benar menandakan waktu fajar telah masuk kerana dia tidak nampak tanda-tandanya. Dia percaya muazzinpun melaungkan azan dalam keadaan tidak jelas tanda fajar. Adapun sekiranya dia yakin telah masuk waktu subuh, maka tidak perlulah dia menunggu azan dilaungkan kerana dia disuruh berhenti makan dan minum apabila telah nyata garisan putih dan garisan hitam kerana fajar."

Waktu Imsak

Waktu imsak, iaitu berhenti makan dan minum adalah apabila terbit fajar yang menandakan masuknya waktu subuh. Firman Allah Ta'ala bermaksud: "dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)…” (Al-Baqarah:187)

Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Bilal azan di waktu masih malam. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan. Sesungguhnya dia (Ibn Ummi Maktum) tidak azan kecuali fajar telah terbit.” Al-Qasim berkata: “Dan tidak ada jarak antara azan mereka berdua kecuali yang ini naik dan yang ini turun.” Riwayat al-Bukhari

Ibn Abd al-Barr berkata, hadis itu menunjukkan bahawa sahur itu adalah sebelum subuh kerana baginda berkata “sesungguhnya Bilal azan di waktu malam”. Kemudian baginda melarang mereka makan ketika Ibn Ummi Maktum azan. Ini merupakan ijmak seluruh ulamak kecuali A’masy yang pelik, iaitu puasa bermula dari terbit fajar hingga maghrib.
Dan ulamak semuanya sepakat bahawa sesiapa yang telah yakin masuk waktu subuh, tidak harus lagi baginya makan dan minum selpas itu.

An-Nawawi berkata: “Hadis-hadis ini menerangkan bahawa fajar yang berkaitan dengan hukum puasa ialah fajar kedua, iaitu fajar sodiq.” Syarah Sahih Muslim

Ibn Hajar berkata: “Antara bid’ah yang mungkar ialah apa yang direka pada zaman ini, iaitu dengan melaungkan azan sebelum subuh di dalam bulan Ramadhan sekitar sepertiga jam. Mereka memadamkan lampu-lampu sebagai alamat haram makan bagi orang yang hendak berpuasa. Mereka mendakwa bahwa perbuatan itu adalah suatu langkah berjaga-jaga dan berhati-hati dalam ibadah.” Fathul-Bari


No comments: