Monday, September 22, 2014

Menolak Kebenaran

Ibn Ishaq menceritakan bahawa Muhammad bin Muslim bin Syihab memberitahunya, sesungguhnya Abu Sufyan bin Harb, Abu Jahal bin Hisyam dan Akhnas bin Syuraiq telah keluar pada waktu malam untuk mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda menunaikan solat malam di rumahnya.

Setiap orang daripada mereka mengambil tempat duduk yang berlainan. Masing-masing tidak mengetahui hal satu sama lain. Sepanjang malam  mereka duduk mendengar, sehingga apabila terbit fajar, semuanya bangkit untuk pulang. Mereka bertembung dipersimpangan jalan. Maka masing-masing mencela antara satu sama lain. Mereka memberi amaran terhadap satu sama lain agar jangan ulangi lagi pada masa akan datang kerana jika rahsia itu diketahui oleh kaum mereka pasti mereka akan menyangka yang bukan-bukan.

Merekapun bersurai.

Malam berikutnya berlaku peristiwa yang sama. Apabila terbit fajar, mereka bertembung di tempat yang sama, berlaku dialog yang sama dan bersurai dengan membawa amaran yang sama.

Malam ketiga mereka datang lagi. Mendengar sehingga terbit matahari. Ketika bertembung di persimpangan jalan pada hari ketiga, masing-masing berkata, hari ini kita tidak akan tinggalkan tempat ini sebelum berjanji kita tidak akan datang lagi selepas ini. Setelah mengikat janji, barulah mereka beredar.

Pada siang hari itu, dengan bertongkat Akhnas datang menemui Abu Sufyan di rumahnya.  Dia berkata kepada Abu Sufyan, "Wahai Abu Hanzalah, ceritakan kepadaku apa pendapatmu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?" Abu Syufyan menjawab, "Wahai Abu Tha'labah, demi Allah! Sesungguhnya aku mendengar beberapa perkara yang aku mengetahuinya dan aku mengetahui apa yang dimaksudkannya. Dan aku mendengar perkara-perkara yang aku tidak mengetahui maknanya dan apa yang dimaksudkannya?" Akhnas berkata, "Dan aku, sama seperta apa yang kamu tegaskan."

Dari rumah Abu Sufyan, Akhnas terus ke rumah Abu Jahal. Setelah masuk, dia bertanya, "Wahai Abu al-Hakam, apa pendapatmu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?" Abu Jahal menjawab, "Apa yang kamu sendiri dengar! Tetapi qabilahku selalu berebut kedudukan dan kelebihan dengan qabilah Abdu Manaf! Mereka menjamu faqir miskin, kamipun menjamu. Mereka menyediakan kenderaan, kamipun menyediakan juga. Mereka membahagi-bahagikan hadiah, kamipun membahagikan juga. Sehingga apabila kami telah hampir-hampir menyamai dari segenap lapangan, tiba-tiba mereka mengisytiharkan: "dari kalangan kami ada nabi yang menerima wahyu dari langit!" Maka bilakah pihak kami akan dapat mengejar mereka untuk mendapatkan kedudukan seperti itu? Maka demi Allah! Kami tidak akan beriman kepadanya selama-lamanya. Kami tidak akan mengakui kebenarannya!" Mendengar jawapan yang jelas dan tegas itu, Akhnaspun beredar.....

Jelas bahawa kadang-kadang manusia menolak kebenaran bukan kerana kebenaran itu tidak sampai kepada mereka, bukan kerana kebenaran itu kabur, tidak jelas dan tidak ada bukti. Tetapi mereka menolaknya kerana sebab-sebab yang ada pada diri mereka sendiri: sombong, ego, dengki, cemburu dan lain-lain lagi.


Semoga kita dijauhkan Allah daripada sifat-sifat yang keji itu.

Thursday, September 11, 2014

Ustaz Mustafa Masyhur rahimahullah


Dilahirkan pada 15 September 1921 di kampung Sa'diyyin dalam Muhafadzah (jajahan) Syarqiyyah, Mesir.
Memasuki Fakulti Sains Universiti Fuad 1 (Universiti Cairo sekarang) dan lulus pada tahun 1942 dengan mendapat sarjana muda dalam bidang sains. Selepas keluar dari universiti beliau bekerja sebagai peramal cuaca.
Menganggotai dakwah Ikhwan pada musim bungan tahun 1936 ketika berusia 15 tahun.
Pada tahun 1940, Imam Hasan al-Banna telah menubuhkan satu tanzim khas menghimpunkan yang terbaik di segi akhlak dan agama serta keikhlasan terhadap fikrah jihad dari kalangan pemuda. Tujuan penubuhannya ialah melatih para pemuda dengan latihan peperangan tahap tinggi demi untuk membebaskan Mesir dari penjajahan Inggeris dan Palestin dari penjajahan Inggeris yang bukan saja menjajahnya, malah bersekongkol dengan Yahudi dalam perancangan mewujudkan tanah air dan negara buat mereka di bumi Palestin. Mustafa adalah seorang daripada anggota tanzim itu.

1945 beliau berkahwin dengan sepupunya Zubaidah Abdul Halim yang merupakan seorang wanita solehah, setia mendukung dakwah bersama suami dan ahli keluarganya. Pada permulaan perkahwinan mereka, berlaku dialog yang menggambarkan betapa hebat cinta mereka kepada dakwah.
Mustafa : Sesungguh isteriku yang pertama adalah dakwah. Anti adalah isteriku yang kedua. Maka janganlah anti cemburu kepadanya jika aku pulang lewat atau aku sibuk dengannya sehingga tidak sempat memberikan sepenuh perhatian kepadamu.
Zubaidah : Dan aku adalah khadam kepada isteri pertamamu itu!
Isteri tercinta dipanggil terlebih dahulu mengadap PenciptaNya pada 2 Oktober 1997.Pada tahun 1948 Mustafa menghadapi satu tuduhan berat dalam isu yang dikenali sebagai "Sayyarah al-Jib". Perbicaraan kes itu meleret sehingga ke 89 sesi dari tahun 1948 hingga 1952. Akhirnya dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Pada tahun 1954 sekali lagi dia ditangkap dalam satu kes dikenali sebagai tragedi al-Mansyiyyah di mana tragedi itu merupakan rekaan semata-mata yang dirancang oleh persiden Jamal Abdul Nasir dengan kerjasama perisik Amerika. Dia dihadapkan ke Mahkamah Revolusi dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun dengan kerja berat. Mahkamah olok-olok itu hanya mengambil masa tiga minit sahaja.  Dia dipindahkan dari penjara Harbi ke penjara Liman Toroh kemudian ke penjara Wahat Kharijiyyah. Penjara terakhir itu merupakan khemah terbuka siang dan malam, musim panas dan musim sejuk, dikawal ketat oleh pengawal yang garang dan dilingkungi dengan pagar besi berduri. Selama 10 tahun meringkuk di dalam penjara, akhirnya keluar pada bulan November tahun 1964.

Pada tahun 1965, ketika Jamal Abdul Nasir sedang mengadakan lawatan ke Moscow, ketika dia sedang melawat kubur Lenin, dia mendedahkan bahawa dia telah dapat membongkar satu konspirasi untuk menggulingkan pemerintahannya. Konspirasi itu diketuai oleh Sayyid Qutub. Satu keputusan yang memeranjatkan di mana mereka yang baru dibebaskan ditangkap semula. Dan Mustafa ditangkap selepas beberapa bulan saja keluar dari penjara. Siksaan yang dialaminya amat teruk. Namun dia tetap tabah dan sabar sambil mengingatkan ahli-ahli Ikhwan agar terus bersabar menghadapi ujian. Tetaplah dia di dalam penjara sehingga Jamal Abdul Nasir menenui ajalnya.

Awal tahun 1971, presiden Anuar Sadat memerintahkan agar semua tahanan dari kalangan Ikhwan dibebaskan.
Selepas peristiwa pembunuhan Sadat 1981, Mustafa berada di luar Mesir sehingga 1986.
1986, Mursyid Aam Ustaz Muhammad Hamid Abu Nasr memilih Mustafa sebagai naibnya.
Pada Februari 1996 Mustafa dilantik sebagai Mursyid Aam untuk tempoh enam tahun. Kemudian dilantik semula untuk tempoh enam tahun lagi pada tahun 2002 mengikut peraturan Jamaah.

Dalam kesibukan tugas dakwah dan memimpin jamaah, serta ujian keluar masuk penjara, beliau sempat menulis tidak kurang daripada 20 buah buku di samping puluhan maqalah.

Dalam kalangan Ikhwan, beliau dikenali sebagai seorang yang kuat ibadah, setia, tawaduk, menepati masa dan janji, menghurmati tetamu dan suka membantu.
Satu peristiwa yang menunjukkan betapa beliau sangat mengambil berat tentang menepati masa, beliau diundang ke majlis pernikahan salah seorang pemuda Ikhwan yang akan diadakan di masjid ar-Ridhwan yang terletak di Madinah Nasr. Beliau datang tepat pada waktunya, namun tiada seorangpun yang ada di situ. Beliau duduk menunggu agak lama sampailah mereka datang. Beliau terus duduk mengikuti upacara majlis. Kemudian beliau memberikan sedikit ucapan. Selepas itu, beliau meninggalkan majlis dengan tenang tanpa bersungut dan tanpa menunjukkan apa-apa reaksi yang tidak menyenangkan.

Petang Khamis 9 Ramadhan Mubarak 1423 bersamaan 14 November 2002 berangkatlah hamba Allah yang telah menghabiskan usianya di jalan dakwah ini kembali ke Pangkuan Ilahnya.

Sumber:

http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=201868&SecID=373

Sunday, September 07, 2014

Utusan ar-Rajie'


Sirah Nabi s.a.w. serta para sahabat r.a. merupakan sebahagian daripada sumber rujukan paling penting untuk kita benar-benar memahami dan menghayati agama yang suci ini.

Kali ini, saya tertarik untuk berkongsi satu kisah yang penuh dengan pengajaran berguna yang terkandung di dalam buku-buku sirah yang muktabar, iaitu kisah utusan ar-Rajie'.

Kisah ini berlaku pada bulan Safar, tahun ke 4 hijrah.

Satu rombongan daripada kaum 'Adhal dan Qarah mengunjungi Nabi s.a.w. Mereka berkata kepada Baginda bahawa di kalangan mereka terdapat orang-orang Islam. Mereka meminta supaya Rasulullah s.a.w. menghantar bersama dengan mereka orang-orang yang boleh mengajar agama dan mengajar membaca al-Quran. Maka Rasulullah s.a.w. menghantar 10 orang sahabat dan melantik 'Aasim bin Thabit r.a. sebagai ketua mereka.

Apabila mereka tiba di ar-Rajie', iaitu kawasan air milik Huzail terletak di antara Rabigh dan Jedah, puak-puak kafir itu mengkhianati mereka. Mereka memanggil satu qabilah daripada Huzail dikenali sebagai Banu Lahyan. Mereka pun keluar seramai hampir 100 orang pemanah untuk mengejar para sahabar r.a. Akhirnya mereka berjaya menjejaki sahabat dan mengepong mereka. Ketika itu sahabat berada di kawasan tanah tinggi. Mereka membuat janji sekiranya sahabat turun mereka tidak akan membunuh mereka. 'Aasim enggan menuruti kehendak mereka. Dia berkata: "Demi Allah, aku tidak akan turun dengan berpegang kepada janji orang kafir!" Maka dia membalas serangan mereka sambil berdoa: "Ya Allah, aku telah mempertahankan agama-Mu pada permulaan hariku, maka lindungilah dagingku (tubuhku) di penghujung hariku". Kemudian dia terus berperang sehingga dia terbunuh bersama enam orang sahabatnya r.'anhum

Tiga orang lagi, iaitu Khubaib al-Ansari, Zaid bin ad-Dathinah dan seorang lagi telah turun kerana percaya kepada janji dan jaminan kafir. Apabila mereka bertiga turun, puak kafir menangkap dan mengikat mereka.  Salah seorang daripada mereka dibunuh kerana enggan mengikuti mereka apabila dia sedar mereka telah menipu dan mengkhianatinya.

Khubaib al-Ansari, Zaid bin ad-Dathinah dibawa ke Mekah untuk dijual. Khubaib di beli oleh Banu al-Harith bin 'Aamir bin Naufal untuk dibunuh sebagai menebus nyawa al-Harith yang dibunuh oleh Khubaib semasa perang Badar. Mereka mengurung Khubaib sebagai orang tawanan. Pada hari yang ditetapkan untuk membunuh Khubaib r.a. beliau meminjam pisau cukur daripada anak perempuan al-Harith untuk mencukur bulu ari-arinya. Ketika pisau cukur berada di tangan Khubaib, seorang kanak-kanak (anak kepada perempuan yang memberi pinjam pisau cukur kepada Khubaib) terlepas daripada kawalan ibunya. Dia masuk ke dalam bilik kurungan Khubaib dan duduk di atas riba Khubaib. Melihat anaknya duduk di atas riba Khubaib, ibunya ketakutan. Dia takut Khubaib membunuh anaknya sebagai membalas dendam di atas apa yang mereka lakukan terhadapnya. Khubaib menyedari apa yang dibimbangi oleh si ibu, lantas dia berkata, "Adakah kamu takut aku akan membunuhnya? insyaaAllah aku sekali-kali tidak akan melakukannya!"
Mendengar penjelasan Khubaib, si ibu berkata, "Aku tidak pernah melihat orang tawanan lebih baik daripada Khubaib. Sesungguhnya aku pernah melihat dia makan segugus anggur sedangkan di Mekah pada waktu itu tidak ada sebiji buah pun. Dia pula dalam keadaan terikat dengan rantai besi. Ini tidak lain daripada rezeki dari Allah kepadanya".

Selepas itu mereka membawa Khubaib keluar dari Tanah Haram untuk membunuhnya. Khubaib meminta mereka memberikannya peluang untuk solat dua rakaat. Selepas solat, Khubaib berpaling ke arah mereka sambil berkata: "Kalaulah tidak kerana bimbang kamu akan berkata aku takut mati, tentu akan aku lanjutkan lagi solatku" (Dikatakan bahawa Khubaib adalah orang yang pertama melakukan solat sunat dua rakaat sebelum dibunuh). Kemudian Khubaib berdoa: "Ya Allah, hitunglah bilangan mereka satu persatu (untuk dihancurkan), bunuhlah mereka dalam keadaan terpisah-pisah, dan jangan biarkan mereka hidup lama walau seorangpun!" Selepas berdoa, Khubaib bersyair:
Aku tidak pedulipun ketika aku dibunuh sebagai muslim
Dari arah manapun datangnya kematianku asalkan fi sabilillah
Kematian di jalan Allah, sekiranya Dia kehendaki
Dia akan memberkati setiap urat sarafku yang terputus

Merekapun membunuhnya dan menyalibnya. Mereka menugaskan seseorang mengawal mayatnya di tiang salib. Pada waktu malam, 'Amru bin Umayyah r.a. datang. Dengan membuat tipu helah, dia berjaya mengambil mayat Khubaib. Dia membawa pergi dari situ dan menguburkannya.

Adapun Zaid bin ad-Dathinah, dia dibeli oleh Safwan bin Umayyah dan membunuhnya sebagai balasan di atas kematian ayahnya.

Kembali kepada kisah 'Aasim bin Thabit r.a. Setelah dia dibunuh, orang-orang Quraisy meminta supaya sebahagian jasadnya dibawa kepada mereka. Mereka mendendami 'Aasim kerana semasa Perang Badar dia membunuh seorang pembesar mereka. Ketika mereka hendak memotong mayat 'Aasim, Allah menghantar sekumpulan lebah mengawal mayatnya. Ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk menembusinya.
Menurut riwayat, seorang wanita bernama Sullafah binti Saad kehilangan suami dan empat orang anaknya dalam perang Badar. Dua daripada mereka dibunuh oleh 'Aasim. Sullafah bernazar sekiranya dia dapat menguasai mayat 'Aasim, dia akan menuang arak ke dalam tengkoraknya. Dia juga berjanji, sesiapa yang dapat membawa kepala 'Aasim kepadanya, akan dihadiahkannya 100 ekor unta. Mereka ingin mengambil kepala 'Aasim untuk dibawa kepada Sullafah bagi mendapat ganjaran 100 ekor unta. Maka Allah hantar sekumpulam lebah mengerumuni mayat 'Aasim. Tiada seorangpun yang mendekatinya kecuali mukanya disengat lebah. Mereka berkata: "Biarkan dahulu sampai malam." Mereka menyangka bila malam lebah-lebah itu akan pergi meninggalkan mayat 'Aasim. Bila malam tiba, Allah hantarkan banjir,  padahal di langit tiada secebis awanpun yang kelihatan. Mayat  'Aasim dihanyutkan banjir ke tempat yang mereka tidak dapat mengesaninya. Ini terjadi kerana Allah memaqbulkan doa 'Aasim sebelum terbunuh: "Ya Allah, aku telah mempertahankan agama-Mu pada permulaan hariku, maka lindungilah dagingku (tubuhku) di penghujung hariku".  Mengulas peristiwa ini, Umar bin al-Khattab r.a. berkata: "Allah memelihara 
hamba-Nya yang beriman selepas kewafatannya sebagaimana Dia memeliharanya semasa hayatnya".

Peristiwa di atas dinamakan ar-Rajie' sempena dengan nama mata air tempat berlakunya peristiwa tersebut. Pastinya peristiwa ini amat memilukan. Namun di sebaliknya terselit pengajaran yang tidak terhitung nilainya. Antaranya:

Pertama – para sahabat r.'anhum sangat mengambil berat dalam menjaga sunnah Nabi s.a.w.  Khubaib r.a. yang sedang berhadapan dengan saat-saat kematian tidak lupa untuk mencukur bulu kemaluannya kerana ia merupakan satu daripada sunnah fitrah sebagaimana dinyatakan di dalam hadis yang sahih. Walaupun ia kelihatannya tidak begitu penting, namun Khubaib tetap tidak melupakannya walaupun dengan terkapsa meminjam pisau cukur.

Kedua – para sahabat r.'anhum telah terdidik dengan kejujuran dan kesetiaan. Mereka tidak menipu atau mengambil kesempatan walaupun mereka berpeluang melakukannya. Lihat Khubaib yang meminjam pisau cukur, kanak-kanak masuk dan duduk di atas ribanya. Dia boleh menggunakan kesempatan itu, kalaupun bukan dengan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa, boleh saja mengancam mereka, menjadikannya sebagai tebusan agar dia dibebaskan. Itulah bukti ketinggian akhlak umat Islam di kala mereka benar-benar menghayati ajarannya.

Ketiga – betapa hebatnya cinta para sahabat r.'anhum kepada Nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa ketika Zaid bin ad-Dathinah dibawa kepada Abu Sufyan untuk dibunuh, berlaku dialog antara mereka berdua seperti berikut:
Abu Sufyan: Aku bertanya kepadamu dengan nama Allah wahai Zaid, adakah kamu suka sekiranya Muhammad berada di tempatmu sekarang dan engkau berada di rumahmu bersama keluargamu?
Zaid: Demi Allah, aku tidak rela Muhammad berada di tempat dia berada sekarang dalam keadaan kakinya tertusuk duri, padahal aku duduk bersama keluargaku di rumah."
Diriwayatkan bahawa jawapan seperti itu bukan lahir daripada Zaid seorang. Malah, Khubaib juga memberikan jawapan yang sama apabila dia ditanya dengan soalan di atas.
Itulah bukti hebatnya cinta mereka kepada Rasulullah s.a.w. Mereka rela berkorban apa saja demi keselamatan kekasih mereka. Mereka tidak rela membiarkan Nabi s.a.w. menanggung kesakitan walaupun sekadar terkena sebatang duri.

Jawapan yang begitu tegas dan jelas daripada Zaid berjaya membuatkan Abu Sufyan begitu kagum  sehingga dia membuat pengakuannya yang masyhur: "Sesungguhnya aku tidak pernah melihat manusia mencintai seseorang sebagaimana cintanya sahabat Muhammad kepada Muhammad!"