Sirah Nabi s.a.w. serta para sahabat r.a.
merupakan sebahagian daripada sumber rujukan paling penting untuk kita
benar-benar memahami dan menghayati agama yang suci ini.
Kali ini, saya tertarik untuk berkongsi
satu kisah yang penuh dengan pengajaran berguna yang terkandung di dalam
buku-buku sirah yang muktabar, iaitu kisah utusan ar-Rajie'.
Kisah ini berlaku pada bulan Safar, tahun
ke 4 hijrah.
Satu rombongan daripada kaum 'Adhal dan
Qarah mengunjungi Nabi s.a.w. Mereka berkata kepada Baginda bahawa di kalangan
mereka terdapat orang-orang Islam. Mereka meminta supaya Rasulullah s.a.w.
menghantar bersama dengan mereka orang-orang yang boleh mengajar agama dan
mengajar membaca al-Quran. Maka Rasulullah s.a.w. menghantar 10 orang sahabat dan
melantik 'Aasim bin Thabit r.a. sebagai ketua mereka.
Apabila mereka tiba di ar-Rajie', iaitu
kawasan air milik Huzail terletak di antara Rabigh dan Jedah, puak-puak kafir
itu mengkhianati mereka. Mereka memanggil satu qabilah daripada Huzail dikenali
sebagai Banu Lahyan. Mereka pun keluar seramai hampir 100 orang pemanah untuk
mengejar para sahabar r.a. Akhirnya mereka berjaya menjejaki sahabat dan mengepong
mereka. Ketika itu sahabat berada di kawasan tanah tinggi. Mereka membuat janji
sekiranya sahabat turun mereka tidak akan membunuh mereka. 'Aasim enggan
menuruti kehendak mereka. Dia berkata: "Demi Allah, aku tidak akan turun
dengan berpegang kepada janji orang kafir!" Maka dia membalas serangan
mereka sambil berdoa: "Ya Allah, aku telah mempertahankan agama-Mu pada
permulaan hariku, maka lindungilah dagingku (tubuhku) di penghujung
hariku". Kemudian dia terus berperang sehingga dia terbunuh bersama enam
orang sahabatnya r.'anhum
Tiga orang lagi, iaitu Khubaib al-Ansari,
Zaid bin ad-Dathinah dan seorang lagi telah turun kerana percaya kepada janji
dan jaminan kafir. Apabila mereka bertiga turun, puak kafir menangkap dan
mengikat mereka. Salah seorang daripada
mereka dibunuh kerana enggan mengikuti mereka apabila dia sedar mereka telah
menipu dan mengkhianatinya.
Khubaib al-Ansari, Zaid bin ad-Dathinah
dibawa ke Mekah untuk dijual. Khubaib di beli oleh Banu al-Harith bin 'Aamir
bin Naufal untuk dibunuh sebagai menebus nyawa al-Harith yang dibunuh oleh Khubaib
semasa perang Badar. Mereka mengurung Khubaib sebagai orang tawanan. Pada hari
yang ditetapkan untuk membunuh Khubaib r.a. beliau meminjam pisau cukur
daripada anak perempuan al-Harith untuk mencukur bulu ari-arinya. Ketika pisau
cukur berada di tangan Khubaib, seorang kanak-kanak (anak kepada perempuan yang
memberi pinjam pisau cukur kepada Khubaib) terlepas daripada kawalan ibunya.
Dia masuk ke dalam bilik kurungan Khubaib dan duduk di atas riba Khubaib. Melihat
anaknya duduk di atas riba Khubaib, ibunya ketakutan. Dia takut Khubaib
membunuh anaknya sebagai membalas dendam di atas apa yang mereka lakukan
terhadapnya. Khubaib menyedari apa yang dibimbangi oleh si ibu, lantas dia
berkata, "Adakah kamu takut aku akan membunuhnya? insyaaAllah aku
sekali-kali tidak akan melakukannya!"
Mendengar penjelasan Khubaib, si ibu
berkata, "Aku tidak pernah melihat orang tawanan lebih baik daripada
Khubaib. Sesungguhnya aku pernah melihat dia makan segugus anggur sedangkan di
Mekah pada waktu itu tidak ada sebiji buah pun. Dia pula dalam keadaan terikat
dengan rantai besi. Ini tidak lain daripada rezeki dari Allah kepadanya".
Selepas itu mereka membawa Khubaib keluar
dari Tanah Haram untuk membunuhnya. Khubaib meminta mereka memberikannya
peluang untuk solat dua rakaat. Selepas solat, Khubaib berpaling ke arah mereka
sambil berkata: "Kalaulah tidak kerana bimbang kamu akan berkata aku takut
mati, tentu akan aku lanjutkan lagi solatku" (Dikatakan bahawa Khubaib
adalah orang yang pertama melakukan solat sunat dua rakaat sebelum dibunuh).
Kemudian Khubaib berdoa: "Ya Allah, hitunglah bilangan mereka satu persatu
(untuk dihancurkan), bunuhlah mereka dalam keadaan terpisah-pisah, dan jangan
biarkan mereka hidup lama walau seorangpun!" Selepas berdoa, Khubaib
bersyair:
Aku tidak pedulipun ketika aku dibunuh
sebagai muslim
Dari arah manapun datangnya kematianku
asalkan fi sabilillah
Kematian di jalan Allah, sekiranya Dia
kehendaki
Dia akan memberkati setiap urat sarafku
yang terputus
Merekapun membunuhnya dan menyalibnya.
Mereka menugaskan seseorang mengawal mayatnya di tiang salib. Pada waktu malam,
'Amru bin Umayyah r.a. datang. Dengan membuat tipu helah, dia berjaya mengambil
mayat Khubaib. Dia membawa pergi dari situ dan menguburkannya.
Adapun Zaid bin ad-Dathinah, dia dibeli
oleh Safwan bin Umayyah dan membunuhnya sebagai balasan di atas kematian ayahnya.
Kembali kepada kisah 'Aasim bin Thabit r.a.
Setelah dia dibunuh, orang-orang Quraisy meminta supaya sebahagian jasadnya
dibawa kepada mereka. Mereka mendendami 'Aasim kerana semasa Perang Badar dia
membunuh seorang pembesar mereka. Ketika mereka hendak memotong mayat 'Aasim,
Allah menghantar sekumpulan lebah mengawal mayatnya. Ini menyebabkan mereka
tidak mampu untuk menembusinya.
Menurut riwayat, seorang wanita bernama
Sullafah binti Saad kehilangan suami dan empat orang anaknya dalam perang
Badar. Dua daripada mereka dibunuh oleh 'Aasim. Sullafah bernazar sekiranya dia
dapat menguasai mayat 'Aasim, dia akan menuang arak ke dalam tengkoraknya. Dia
juga berjanji, sesiapa yang dapat membawa kepala 'Aasim kepadanya, akan
dihadiahkannya 100 ekor unta. Mereka ingin mengambil kepala 'Aasim untuk dibawa
kepada Sullafah bagi mendapat ganjaran 100 ekor unta. Maka Allah hantar sekumpulam
lebah mengerumuni mayat 'Aasim. Tiada seorangpun yang mendekatinya kecuali mukanya
disengat lebah. Mereka berkata: "Biarkan dahulu sampai malam." Mereka
menyangka bila malam lebah-lebah itu akan pergi meninggalkan mayat 'Aasim. Bila
malam tiba, Allah hantarkan banjir,
padahal di langit tiada secebis awanpun yang kelihatan. Mayat 'Aasim dihanyutkan banjir ke tempat yang
mereka tidak dapat mengesaninya. Ini terjadi kerana Allah memaqbulkan doa
'Aasim sebelum terbunuh: "Ya Allah, aku telah mempertahankan agama-Mu pada
permulaan hariku, maka lindungilah dagingku (tubuhku) di penghujung
hariku". Mengulas peristiwa ini,
Umar bin al-Khattab r.a. berkata: "Allah memelihara
hamba-Nya yang beriman selepas kewafatannya
sebagaimana Dia memeliharanya semasa hayatnya".
Peristiwa di atas dinamakan ar-Rajie'
sempena dengan nama mata air tempat berlakunya peristiwa tersebut. Pastinya
peristiwa ini amat memilukan. Namun di sebaliknya terselit pengajaran yang
tidak terhitung nilainya. Antaranya:
Pertama – para sahabat r.'anhum sangat
mengambil berat dalam menjaga sunnah Nabi s.a.w. Khubaib r.a. yang sedang berhadapan dengan
saat-saat kematian tidak lupa untuk mencukur bulu kemaluannya kerana ia
merupakan satu daripada sunnah fitrah sebagaimana dinyatakan di dalam hadis
yang sahih. Walaupun ia kelihatannya tidak begitu penting, namun Khubaib tetap
tidak melupakannya walaupun dengan terkapsa meminjam pisau cukur.
Kedua – para sahabat r.'anhum telah
terdidik dengan kejujuran dan kesetiaan. Mereka tidak menipu atau mengambil
kesempatan walaupun mereka berpeluang melakukannya. Lihat Khubaib yang meminjam
pisau cukur, kanak-kanak masuk dan duduk di atas ribanya. Dia boleh menggunakan
kesempatan itu, kalaupun bukan dengan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa,
boleh saja mengancam mereka, menjadikannya sebagai tebusan agar dia dibebaskan.
Itulah bukti ketinggian akhlak umat Islam di kala mereka benar-benar menghayati
ajarannya.
Ketiga – betapa hebatnya cinta para sahabat
r.'anhum kepada Nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa ketika Zaid bin ad-Dathinah
dibawa kepada Abu Sufyan untuk dibunuh, berlaku dialog antara mereka berdua
seperti berikut:
Abu Sufyan: Aku bertanya kepadamu dengan
nama Allah wahai Zaid, adakah kamu suka sekiranya Muhammad berada di tempatmu
sekarang dan engkau berada di rumahmu bersama keluargamu?
Zaid: Demi Allah, aku tidak rela Muhammad
berada di tempat dia berada sekarang dalam keadaan kakinya tertusuk duri,
padahal aku duduk bersama keluargaku di rumah."
Diriwayatkan bahawa jawapan seperti itu
bukan lahir daripada Zaid seorang. Malah, Khubaib juga memberikan jawapan yang
sama apabila dia ditanya dengan soalan di atas.
Itulah bukti hebatnya cinta mereka kepada
Rasulullah s.a.w. Mereka rela berkorban apa saja demi keselamatan kekasih
mereka. Mereka tidak rela membiarkan Nabi s.a.w. menanggung kesakitan walaupun
sekadar terkena sebatang duri.
Jawapan yang begitu tegas dan jelas
daripada Zaid berjaya membuatkan Abu Sufyan begitu kagum sehingga dia membuat pengakuannya yang
masyhur: "Sesungguhnya aku tidak pernah melihat manusia mencintai
seseorang sebagaimana cintanya sahabat Muhammad kepada Muhammad!"
No comments:
Post a Comment