Wednesday, January 28, 2015

Khabar Kematian

Abu Sinan berkata: Aku mengkebumikan anakku, Sinan. Abu Talhah al-Khaulani duduk di tepi qubur. Ketika aku hendak keluar, Abu Talhah memegang tanganku seraya berkata: "Mahukah aku sampaikan kepadamu berita gembira wahai Abu Sinan?" Aku menjawab: "Sudah tentu!" Beliau berkata: "Adh-Dhahhak bin Abdur-Rahman menceritakan kepadaku daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): "Apabila mati seorang anak kepada seseorang, Allah bertanya kepada malaikat: "Kamu mencabut nyawa anak kepada hambaKu?" Maka malaikat menjawab: "Ya!" Allah bertanya lagi: "Kamu mencabut nyawa buah hatinya?" Malaikat menjawab: "Ya!". Allah bertanya: "Apa kata hambaKu?" Malaikat menjawab: "Dia memujiMu dan berkata inna lillahi wainna ilaihi raji'un." Maka Allah berfirman: "Binalah untuk hambaKu itu sebuah rumah di syurga dan namakannya Baitul-Hamd (rumah pujian)." Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi serta lain-lain.

Pengajaran hadis:
1. Besar ganjaran untuk mereka yang diuji dengan kematian anak yang disayangi jika ujian itu diterima dengan kesyukuran dan keyakinan kepada janji Allah
2. Sunat berkata "alhamdulillah" dan "inna lillahi wainna ilaihi raji'un" ketika mendapat khabar kematian. Tidak ada anjuran supaya menyebut "al-fatihah" sebagaimana dilakukan oleh sebahagian daripada masyarakat pada hari ini.
3. Setiap ujian pasti ada hikmah. Sebagai hamba, kita wajib yakin dan pasrah kepadaNya.

Sehubungan bercakap tentang kematian, kita selalu sebut nama orang yang mati dengan tambahan yang berupa doa "Allahyarham". kadang-kadang ada yang tambah Allahyarhamah kalau yang mati itu perempuan.

Sebenarnya Allah Yarham adalah dua perkataan ( الله يرحم ). Pada saya tidak boleh digabungkan. Yarham adalah fi'il mudhari' (kata kerja yang bermaksud sekarang dan akan datang) yang bermaksud merahmati. Jadi tidak boleh juga ditambah 'ah' dihujung jadi yarhamah.
Kalau kita tidak mahu ulang namanya kerana sudah maklum atau sudah disebut sebelumnya kita boleh sebut "Allahu Yahamuhu"( الله يرحمه ) bagi si mati lelaki dan "Allahu Yarhamuha" (الله يرحمها) bagi si mati perempuan.

Selain Allah Yarham, disebut juga al-marhum (المرحوم) , iaitu yang dirahmati untuk si mati lelaki dan al-marhumah ( المرحومة) untuk si mati perempuan.

Isu kecil, tapi kalau tidak diberi perhatian kesilapan kita terus diwarisi oleh generasi akan datang dengan kejahilan.

Wednesday, January 14, 2015

Pajang Umur

Daripada Abu Sofwan Abdullah bin Busr al-Aslami r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya, baik amalannya."
Riwayat at-Tirmizi. Dia berkata: Hadis Hasan

Orang yang panjang umurnya tentulah mempunyai lebih banyak peluang untuk beramal. Namun kebiasaannya apabila umur meningkat tua, datanglah berbagai-bagai masalah kesihatan pula. Badan semakin lemah, ingatan pula bercelaru dan bermacam-macam lagi. Mampukah kita terus thabat dan istiqamah melakukan amalan yang baik di kala tua?

Saya melihat panjang umur ini dari tiga aspek:

Pertama – panjang umur menurut kiraan tahun hidup di atas muka bumi ini, iaitu mengikut hitungan biasa: 60 tahun, 70 tahun dan seterusnya. Biasanya apabila usia mencecah 60 tahun ke atas, ramai yang diuji dengan pelbagai penyakit yang menyebabkan banyak amalan tidak mampu dilaksanakan dengan sempurna. Maka untuk mengatasinya perlulah menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat ketika usia masih muda. Di dalam Risalah at-Ta'alimnya, Hasan al-Banna menggariskan satu daripada kewajipan anggota Ikhwan ialah: hendaklah kamu segera membuat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh, dan berusaha merawat penyakit yang kamu alami. Kamu juga mesti mengambil berat tentang sebab-sebab untuk menjadikan kamu seorang yang kuat, mengawal diri dari ditimpa penyakit dan menjauhi sebab-sebab yang menjadi punca kamu lemah.
Apabila kesihatan terjaga, maka kita akan sentiasa cergas melakukan amalan walaupun di usia tua dengan izinNya.

Kedua – umur panjang dilihat dari sudut masa yang dimanfaatkan sepanjang usia. Misalnya, Allah beri kita peluang hidup di atas dunia ini selama 90 tahun. Namun masa yang benar-benar kita isi untuk beramal dengan amalan yang baik hanya satu pertiga daripada usia itu. Maka umur kita pada hakikatnya hanyalah 30 tahun sahaja. 60 tahun yang tidak dimanfaatkan, yang dibuang untuk perkara yang tidak berfaedah, tidak dikira sebagai usia. Dalam keadaan ini, kita yang memendekkan usia kita sendiri dan membunuh sebahagian daripada usia kita. Adakah nama lain yang layak dipanggil selain daripada zalim kepada diri sendiri?

Ketiga – umur panjang dilihat dari sudut jenis amalan yang kita lakukan. Amalan kita boleh dibahagikan kepada dua kategori: amalan yang terhad dan terbatas, amalan yang melangkaui batas.
Amalan yang terhad dan terbatas ialah amalan yang dilakukan oleh seseorang di mana manfaat amalan itu diperolehi oleh dirinya sahaja dan peluang untuk melakukannya terhenti atau terputus apabila dia meninggal dunia. Contohnya solat, puasa dan seumpamanya. Tidak dinafikan kedua-dua amal itu baik dan wajib dilakukan. Dan manfaatnya untuk orang yang menunaikan kedua-duanya. Bila dia meninggal dunia terputuslah peluang untuknya meneruskan solat dan puasanya. Pahala daripada solat dan puasanya akan diperolehi berdasarkan apa yang sempat dilakukan sepanjang hayatnya. Itu sahaja.
Manakala amalan yang melangkaui batas ialah amalan yang manfaatnya bukan terhad kepada orang yang melakukan sahaja, malah turut dirasai oleh orang lain. Peluang untuknya meraih pahala juga tidak terbatas semasa hayatnya sahaja. Malah, walaupun dia telah meninggal dunia beratus-ratus tahun lamanya namun dia seolah-olah masih hidup dan terus beramal kerana pahala amalannya semasa hidup dahulu terus mengalir kepadanya. Contohnya adalah apa yang dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud: "Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya." Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.


Justeru, marilah kita panjangkan usia kita dengan amalan yang baik supaya kita menjadi manusia yang terbaik in syaa Allah.

Monday, January 05, 2015

Jemput-jemput Lazat Berserat

Kali ni nak kongsi resepi jemput-jemput. Hanya jemput-jemput? Ya. Walaupun hanya jemput-jemput, saya yakin pada janji Allah bahawa sesuatu yang baik itu walaupun sebesar zarah jika dikongsi dan diamalkan oleh orang lain akan tetap mendatang pahala. Dan alangkah berhajatnya kita kepada pahala untuk menambah berat timbangan amal kebaikan.

Saya namakan Jemput-jemput Lazat Berserat

Bahan-bahan:
6 sudu besar (sb) tepung gandum
3 sb biji jagung frozen dikisar
2 sb quaker oats
2 sb udang halus @ geragau
1 sb ikan bilis yang halus juga
1 biji kentang dipotong halus
1 biji bawang besar dipotong halus
½ sudu kecil bikarbonat
garam
air
minyak untuk  menggoreng
(semua sukatan adalah anggaran sahaja. Boleh ditambah dan dikurang ikut citarasa sendiri)

cara-cara:

Gaulkan semua bahan, panaskan minyak, dan goreng. In syaa Allah sedap.


Thursday, January 01, 2015

Ibn Sirin

Muhammad bin Sirin atau dikenali sebagi Ibn Sirin merupakan salah seorang Tabi'e yang paling terkemuka. Antara pengiktirafan yang pernah diluahkan oleh orang yang mengenalinya:
"Aku tidak pernah melihat seorang yang paling faqih dalam kewarakannya, dan paling warak dalam kefaqihannya selain daripada Ibn Sirin".

Ayahnya bernama Sirin merupaka maula kepada pendamping Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik r.a. Selepas dimerdekakan oleh Anas, baliau bekerja sendiri sebagai tukang tembaga yang cekap dan mahir membuat periuk daripada tembaga.

Ibunya bernama Sofiah, maulah kepada Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sofiah telah tinggal di rumah Abu Bakar r.a. sejak awal remajanya lagi. Seorang wanita cantik, memiliki wajah yang putih melepak, akal yang pintar, akhlak yang mulia dan disenangi oleh semua wanita yang mengenalinya. Orang yang paling menyukainya adalah Ummahatul-Mukminin terutamanya Aisyah r.a.

Ketika Sirin masuk meminang Sofiah, Abu Bakar r.a. tidak terus menerima pinangan itu. Sebaliknya beliau menyelidiki latar belakang Sirin dan bertanya tentang agama dan akhlaknya. Beliau bertanya kepada bekas tuannya, Anas r.a. Anas r.a. dengan penuh yakin berkata: "Nikahkanlah dia, janganlah bimbang. Sesungguhnya aku tidak pernah mengenalinya kecuali seorang yang benar agamanya, diredhai akhlaknya, sempurna maruahnya. Dia telah mempunyai hubungan yang sangat rapat denganku sejak dia ditawan oleh Khalid bin al-Walid."

Sayyidina Abu Bakar r.a. bersetuju menikahkan Sofiah dengan Sirin. Beliau mengadakan walimah dengan menjemput ramai dari kalangan sahabat yang terkemuka termasuk 18 orang ahli Badar. Perkahwinan mereka didoakan oleh penulis wahyu, Ubai bin Kaab r.a. dan diaminkan oleh semua hadirin. Dan Sofiah dihiasi, didandan dan ditaburi wangian oleh tiga orang Ummul-Mukminin saat pertama kali dia diserahkan kepada suaminya.

Muhammad dilahirkan dua tahun sebelum berakhir pemerintahan khalifah ke dua, Umar bin al-Khattab r.a. Beliau dididik di dalam lingkungan rumah tangga yang penuh dengan ketaqwaan dan kewarakan dari segenap penjurunya dan membesar sebagai pengunjung Masjid Rasulullah s.a.w. yang setia.

Di situ beliau menimba ilmu daripada sahabat dan tabi'ein yang terkenal. Antara sahabat yang menjadi gurunya ialah Zaid bin Thabit, Anas bin Malik, Imran bin Husoin, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair dan Abu Hurairah  radhiallahu'anhum ajma'ein.

Ibn Sirin membahagikan jadual hariannya kepada tiga aktiviti; bermula dari fajar beliau di masjid belajar dan mengajar. Apabila hari telah meninggi beliau ke pasar menguruskan perniagaan. Dan apabila malam tiba beliau memasuki mihrabnya mengisi waktu dengan ibadah kepada yang Esa.

Ibn Sirin terkenal sebagai seorang yang sangat warak dan tidak takut memperkatakan kebenaran walau di mana, dalam keadaan apa dan di hadapan sesiapa sekalipun.
Diceritakan bahawa suatu ketika Umar bin Hubairah seorang pembesar Bani Umayyah yang menjawat jawatan gabenor di Iraq menjemput Ibn Sirin menziarahinya. Ibn Sirin menerima jemputan itu. Beliau hadir bersama anak saudaranya. Ibn Hubairah menyambut kedatangannya dan memuliakannya sambil bertanya berbagai-bagai soalan berkenaan agama dan dunia. Akhirnya Ibn Hubairah bertanya: "Bagaimana keadaan rakyat di tempatmu ketika engkau tinggalakan mereka wahai Abu Bakar?" Ibn Sirin menjawab: "Aku tinggalkan mereka dalam keadaan kezaliman melata, sedangkan engkau leka dari mengambil tahu hal mereka." Lalu anak saudaranya mencuit bahunya, dia menoleh kepada anak saudaranya seraya berkata kepadanya; "Bukan engkau yang ditanya tentang mereka. Sebaliknya aku yang ditanya. Dan sebagai menjaga amanah ilmu, ia mesti dijelaskan. Ia juga merupakan satu persaksian. Sesiapa yang menyembunyikan persaksiannya maka berdosalah hatinya."
Selesai majlis, Ibn Hubairah mengiringi kepulangannya dengan penuh kemuliaan dan kemesraan sebagaimana ketika menyambut kedatangannya. Dibawa kepadanya satu beg berisi 3000 dinar namun Ibn Sirin tidak mengambilnya. Anak saudaranya bertanya: "Apa yang menghalang pakcik mengambil hadiah gabenor?"
Beliau menjawab: "Dia memberi hadiah kepadaku kerana kebaikanku menurut sangkaannya. Kalau aku termasuk orang yang baik seperti sangkaannya, maka tidak sepatutnya aku mengambil hadiahnya. Sekiranya aku tidak seperti apa yang disangkanya, maka lebih wajar aku tidak menghalalkan diriku menerimanya."

Dari segi kewarakannya, Ibn Sirin selalu menjauhkan diri dari perkara syubuhah walau terpaksa menanggung kerugian sebanyak manapun. Satu ketika, beliau membeli minyak zaiton bernilai 40,000 dinar secara hutang. Setelah menerima dan membawa pulang minyak itu, beliau membuka satu daripada botolnya. Didapati di dalamnya terdapat bangkai tikus yang sudah reput. Maka beliau terfikir bahawa semua minyak ini diambil daripada bekas yang sama. Jadi najis tidak hanya terdapat di dalam botol ini sahaja. Pastinya botol-botol lain pun terdapat atau terkesan dengan najis juga. Jika aku pulangkan minyak ini kepada penjual dengan keaibannya mungkin dia akan menjualnya semula kepada peniaga yang lain? Lantas beliau membuat keputusan membuang semua minyak itu, dan beliau terpaksa menanggung hutang 40000 dinar. Tiba masa yang dijanjikan, penjual datang menuntut hutang, namun Ibn Sirin tidak mampu menjelaskannya. Penjual membawa kesnya ke mahkamah. Hakim memutuskan supaya Ibn Sirin di penjara sehingga dia membayar hutangnya. Setelah beberapa lama beliau meringkuk  di dalam penjara, pengawal berasa kasihan melihatnya, lebih-lebih lagi dia mengetahui bahawa Ibn Sirin  merupakan seorang ulamak yang sangat warak yang sentiasa mengisi masanya dengan ibadah yang khusyuk. Dia masuk penjara hanya semata-mata kerana takut kepada Allah, takut dibakar di dalam api neraka pada hari qiamat kelak. Pengawal tahu kisah sebenarnya. Ia tidak lain melainkan bukti kewarakannya. Pengawal berkata kepada Ibn Sirin: "Wahai tuanguru, saya mencadangkan supaya tuanguru pulang bermalam bersama keluarga di waktu malam. Manakala waktu siang tuan datang ke sini. Tuan seorang yang hebat. Saya tahu bahawa tuan masuk ke sini kerana kewarakan tuan yang begitu mendalam. Saya sedia membantu tuan untuk melakukan apa yang saya cadangkan sehingga tuan dibebaskan."
Ibn Sirin menjawab: "Tidak. Demi Allah aku tidak akan lakukan!"
Pengawal bertanya kehairanan: "Mengapa tidak? Saya yang membenarkan tuan berbuat demikian!"
Beliau menegaskan: "Supaya aku tidak menjadi penolongmu mengkhianati pihak berkuasa. Sesungguhnya kamu telah mengkhianati pihak berkuasa dengan cadanganmu itu. Sekiranya aku menerima cadangan itu, bererti aku menolongmu melakukan pengkhianatan!"

Ketika Anas bin Malik r.a. hampir menemui ajalnya, dia berwasiat supaya Ibn Sirin memandikan jenazahnya. Apabila Anas meninggal, warisnya datang meminta izin daripada pemerintah supaya membenarkan Ibn Sirin keluar untuk melaksanakan wasiat sahabat Rasulullah s.a.w. Namun Ibn Sirin berkata kepada mereka: "Aku tidak akan keluar kecuali dengan izin tuan hutang kerana yang berhak memberi izin adalah tuan hutang, bukan pemerintah."
Setelah mendapat keizinan tuan huatang, dia keluar dari penjara, lalu memandi, mengkafan dan mensolatkan jenazah Anas r.a. Setelah selesai dia terus kembali ke dalam penjara. Beliau tidak mengambil kesempatan balik ke rumah menziarahi ahli keluarga kerana beliau mendapat keizinan untuk memandikan jenazah, bukan untuk balik ke rumah.

Pada ketika yang lain selepas keluar dari penjara, seorang lelaki datang mendakwa bahawa Ibn Sirin berhutang dengannya sebanyak 2 dirham dan menuntut supaya beliau membayar kepadanya 2 dirham. Ibn Sirin enggan membayarnya kerana dia tidak pernah berhutang dengan lelaki itu. Lelaki itu meminta supaya beliau bersumpah bahawa beliau tidak pernah berhutang dengannya. Pada sangkaannya Ibn Sirin tidak akan bersumpah untuk menafikan hutang sebanyak 2 dirham. Namun sebaliknya, beliau bersumpah bahawa dia tidak pernah berhutang 2 dirham.
Orang ramai berasa hairan, mengapa beliau bersumpah menafikan hutang dua dirham sahaja? Mereka bertanya: "Wahai Abu Bakar, kenapa tuan bersumpah kerana 2 dirham saja, pada hal sebelum ini tuan sanggup tanggung 40000 dinar untuk sesuatu yang meragukan tuan?"
Beliau menjelaskan: "Aku bersumpah kerana jika tidak, aku mesti memberinya 2 dirham, padahal itu tidak halal baginya. Jika aku berikannya 2 dirham bererti aku memberikannya makan harta yang haram sedangkan aku tahu itu adalah haram."

Hidup yang penuh dengan bakti dan teladan yang segar sepanjang zaman berakhir dalam usianya 77 tahun. Beliau wafat pada tahun 110 hijriah, 100 hari selepas kewafatan Hasan al-Basri. Semoga Allah merahmati dan meredhai kedua-duanya.