Daripada Abu Sofwan Abdullah bin Busr
al-Aslami r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sebaik-baik manusia
ialah orang yang panjang umurnya, baik amalannya."
Riwayat at-Tirmizi. Dia berkata: Hadis
Hasan
Orang yang panjang umurnya tentulah
mempunyai lebih banyak peluang untuk beramal. Namun kebiasaannya apabila umur
meningkat tua, datanglah berbagai-bagai masalah kesihatan pula. Badan semakin
lemah, ingatan pula bercelaru dan bermacam-macam lagi. Mampukah kita terus
thabat dan istiqamah melakukan amalan yang baik di kala tua?
Saya melihat panjang umur ini dari tiga
aspek:
Pertama – panjang umur menurut kiraan tahun
hidup di atas muka bumi ini, iaitu mengikut hitungan biasa: 60 tahun, 70 tahun
dan seterusnya. Biasanya apabila usia mencecah 60 tahun ke atas, ramai yang
diuji dengan pelbagai penyakit yang menyebabkan banyak amalan tidak mampu
dilaksanakan dengan sempurna. Maka untuk mengatasinya perlulah menjaga
kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat ketika usia masih muda. Di dalam
Risalah at-Ta'alimnya, Hasan al-Banna menggariskan satu daripada kewajipan
anggota Ikhwan ialah: hendaklah kamu segera membuat pemeriksaan kesihatan secara
menyeluruh, dan berusaha merawat penyakit yang kamu alami. Kamu juga mesti
mengambil berat tentang sebab-sebab untuk menjadikan kamu seorang yang kuat,
mengawal diri dari ditimpa penyakit dan menjauhi sebab-sebab yang menjadi punca
kamu lemah.
Apabila kesihatan terjaga, maka kita akan
sentiasa cergas melakukan amalan walaupun di usia tua dengan izinNya.
Kedua – umur panjang dilihat dari sudut
masa yang dimanfaatkan sepanjang usia. Misalnya, Allah beri kita peluang hidup
di atas dunia ini selama 90 tahun. Namun masa yang benar-benar kita isi untuk
beramal dengan amalan yang baik hanya satu pertiga daripada usia itu. Maka umur
kita pada hakikatnya hanyalah 30 tahun sahaja. 60 tahun yang tidak
dimanfaatkan, yang dibuang untuk perkara yang tidak berfaedah, tidak dikira
sebagai usia. Dalam keadaan ini, kita yang memendekkan usia kita sendiri dan membunuh
sebahagian daripada usia kita. Adakah nama lain yang layak dipanggil selain
daripada zalim kepada diri sendiri?
Ketiga – umur panjang dilihat dari sudut
jenis amalan yang kita lakukan. Amalan kita boleh dibahagikan kepada dua
kategori: amalan yang terhad dan terbatas, amalan yang melangkaui batas.
Amalan yang terhad dan terbatas ialah
amalan yang dilakukan oleh seseorang di mana manfaat amalan itu diperolehi oleh
dirinya sahaja dan peluang untuk melakukannya terhenti atau terputus apabila
dia meninggal dunia. Contohnya solat, puasa dan seumpamanya. Tidak dinafikan
kedua-dua amal itu baik dan wajib dilakukan. Dan manfaatnya untuk orang yang menunaikan
kedua-duanya. Bila dia meninggal dunia terputuslah peluang untuknya meneruskan
solat dan puasanya. Pahala daripada solat dan puasanya akan diperolehi
berdasarkan apa yang sempat dilakukan sepanjang hayatnya. Itu sahaja.
Manakala amalan yang melangkaui batas ialah
amalan yang manfaatnya bukan terhad kepada orang yang melakukan sahaja, malah
turut dirasai oleh orang lain. Peluang untuknya meraih pahala juga tidak
terbatas semasa hayatnya sahaja. Malah, walaupun dia telah meninggal dunia
beratus-ratus tahun lamanya namun dia seolah-olah masih hidup dan terus beramal
kerana pahala amalannya semasa hidup dahulu terus mengalir kepadanya. Contohnya
adalah apa yang dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud: "Apabila mati
seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara: sedekah
jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya."
Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.
Justeru, marilah kita panjangkan usia kita
dengan amalan yang baik supaya kita menjadi manusia yang terbaik in syaa Allah.
No comments:
Post a Comment