Tips memanfaatkan waktu ketika bersama kawan-kawan
oleh Ibn Al-Jauzy (514 – 597 hijriah) di dalam kitabnya
"Soidul-Khotir" halaman 160
Aku berlindung dengan Allah daripada bersahabat dengan
orang-orang yang batil. Aku melihat ramai manusia menarik aku ke arah aktiviti
yang selalu dilakukan oleh kebanyakan orang, iaitu banyak berziarah atau
bertandang. Mereka duduk dan berbual-bual tentang perkara yang tidak berfaedah.
Dan kadang-kadang terselit dengan umpatan.
Ini merupakan perkara yang banyak dilakukan oleh manusia
pada zaman kita sekarang. Kadang-kadang ziarah itu atas undangan tuan rumah
yang minta diziarahi kerana kesunyian tinggal sendirian, terutama pada
hari-hari perayaan dan keraian. Kamu dapat melihat mereka berjalan bersama-sama
saling kunjung mengunjung. Mereka tidak hanya datang untuk mengucapkan tahniah
semata-mata. Bahkan mereka bergurau senda dan mensia-siakan banyak masa.
Oleh kerana aku melihat bahawa masa adalah sesuatu
yang paling mulia dan paling berharga, dan kita wajib menghabiskannya dengan
amal kebaikan, aku tidak suka aktiviti sebegitu. Maka di hadapanku hanya ada
dua pilihan:
Jika aku ingkari mereka aku akan sendirian kerana
kehilangan sesuatu yang menjadi kebiasaan.
Jika aku terima saja keadaan itu, masa akan kerugian.
Maka aku cuba mengelak sedaya upayaku. Jika aku tidak
berjaya mengelak, aku kurangkan percakapan supaya aku cepat-cepat dapat
bersurai.
Kemudian aku sediakan pekerjaan-pekerjaan yang
menghalang aku daripada bercakap pada waktu pertemuan supaya masaku tidak
berlalu sia-sia.
Aku sediakan beberapa keping kertas, penajam pensel
dan pengikat nota. Semua ini mesti ada dan kita tidak perlu berfikir dan
memberi tumpuan. Aku gunakan di selang-selang waktu ziarah itu agar masaku
tidak sia-sia walau sedikitpun.
Kami bermohon kepada Allah agar memberikan kita
pengetahuan tentang berharganya waktu-waktu umur kita dan memberikan kita
taufiq untuk memanfaatkannya.
Sesungguhnya aku telah menyaksikan ramai manusia yang
tidak mengetahui makna kehidupan. Setengah mereka telah dianugerahi kekayaan
dan mereka tidak perlu lagi bekerja. Lalu mereka duduk sepanjang hari di pasar
memerhatikan manusia. Berapa banyak dia mengaut kemungkaran dan kerugian
sepanjang hari itu?
Setengah mereka pula memberi tumpuan pada permainan
catur. Setengah yang lain pula menghabiskan masa berbicara tentang kuasa,
harta, perkara remeh temeh dan lain-lain.
Maka tahulah aku bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala
tidak menunjukkan nilai umur dan kemuliaannya, tidak memberi ilmu tentang nilai
waktu-waktu sihat kecuali kepada orang yang diberikannya taufiq untuk memahami
dan mengilhamkannya untuk merebut peluang dengan sebaik-baiknya. FirmanNya bermaksud:
"Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan
oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan
diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari
kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Fussilat:35).
No comments:
Post a Comment