“Katakanlah:
Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari
sebelah atas kamu atau dari bawah kaki kamu atau Dia menjadikan kamu
bertentangan dan berpecah-belah (berpuak-puak) dan Dia merasakan sebahagian
daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain.
Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan
kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Al-An’am:65)
Allah
perintahkan RasulNya s.a.w. supaya mengingatkan mereka yang mengingkariNya atau
tidak menghargai ni’mat pemberianNya, bahawa Dia berkuasa untuk menimpakan
bencana ke atas mereka dalam pelbagai cara:
- dari sebelah atas
- dari sebelah bawah
- dari dalam diri mereka
sendiri, iaitu dengan berlakunya perselisihan dan perbalahan sesama sendiri
sehingga membawa kepada peperangan dan pembunuhan.
Apakah
maksud bencana dari sebelah atas dan bencana dari sebelah bawah? Ibn Jarir
mengemukakan dua tafsiran ulamak mengenainya:
Pertama
pendapat Ibn Mas’ud, Mujahid dan lain-lain, azab dari sebelah atas adalah dari
langit seperti taufan dan rejaman dan azab dari sebelah bawah ialah dari bumi
seperti yang berlaku pada Qarun.
Kedua
pendapat Ibn ‘Abbas dan lain-lain, maksud azab dari sebelah atas ialah pemimpin
atau penguasa yang jahat, manakala azab dari sebelah bawah ialah kakitangan
kerajaan atau pegawai-pegawai yang jahat dan berakhlak buruk.
Adakah
suasana dalam Negara pada masa ini merupakan gambaran ayat ini? Pemimpin yang
rasuah dan salah guna kuasa, orang-orang di sekelilingnya tidak berani bersuara
kerana takut dipecat dan hilang kedudukan, umat Islam pula berpecah dan
berbalah, menuduh dan memfitnah saudara yang tidak sehaluan tanpa bukti?
Marilah
sama-sama kita menghisab diri dan memohon ampun kepada Ilahi. Tidak ada siapa
di antara kita yang maksum. Kalau kita rasa kita berada di pihak yang benar,
tidak bermakna pihak lain salah. Bukankah Islam membenarkan ijtihad dan
menghormati kebebasan berfikir? Hadis sahih riwayat al-Bukhari Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seorang hakim menghukum, lalu dia
berijtihad; maka jika dia betul baginya dua pahala, jika salah baginya satu
pahala.”
Subhanallah!
Pengiktirafan kepada ijtihad sampai ke tahap jika salah sekalipun tetap
mendapat pahala!
Kalau Allah
beri pahala kepada ijtihad yang salah, maka apa hak kita untuk mengutuk pihak
lain yang ijtihadnya tidak sama dengan kita, walhal kita sendiri tidak tahu
siapa yang betul ijtihadnya?