Friday, July 24, 2015

Jom tadabbur!


“Dan masuklah bersama-samanya ke dalam penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan". (Yusuf:36)

Perhatikan kata-kata dua orang khadam raja yang berada di dalam penjara bersama Nabi Yusuf alaihis-salam: “Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan".
“Kami memandangmu, bukan kami mendengar kamu berkata “saya ni baik.”
Menurut ahli tafsir, mereka berkata demikian kerana Yusuf sentiasa melakukan perkara yang baik semasa bergaul dengan mereka di dalam penjara. Dia menziarahi banduan yang sakit, menemani yang bersedih, memenuhi keperluan yang berhajat di samping gigih beribadah kepada Tuhannya. At-Tobari menyebut bahawa Qatadah berkata: “Manakala Yusuf terhumban ke dalam penjara, dia mendapati segolongan manusia yang telah putus harapan, yang sangat teruk menerima ujian sehingga menanggung kesedihan yang berpanjangan. Maka dia memujuk mereka dengan berkata: “Bergembiralah dan bersabarlah. Kamu akan mendapat ganjaran. Sesungguhnya semua dugaan ini ada ganjarannya.” Mereka sangat terkesan dengan semangat yang diberikan. Mereka berkata: “Wahai orang muda, semoga Allah berkati kamu, alangkah eloknya wajahmu, alangkah bagusnya akhlakmu. Sesungguhnya kami mendapat keberkatan dengan berada di sampingmu. Kami tidak lebih suka berada di tempat lain daripada penjara ini kerana kamu menyatakan kami mendapat pahala, kaffarah dan penyucian daripada dosa!”

Apa yang kita dapat pelajari, kebaikan dan kemuliaan akhlak terserlah pada perbuatan dan cara kita bergaul.
Kita tidak perlu canang dengan mengatakan aku orang baik.
Kita tidak perlu mendedahkan keburukan orang lain untuk menampakkan kita baik.
Hayati akhlak yang baik, nescaya Allah dan Rasul menjadi saksi dan dunia akan memperakui.

No comments: