Manakala Umar bin Abdul Aziz dilantik
menjadi khalifah, beliau terus menghantar surat kepada Hasan Basri, seorang
ulamak yang terkenal dengan taqwa dan warak meminta nasihat bagaimana menjadi
seorang pemerintah yang adil. Maka Hasan menjawab surat tersebut, surat yang
mengandungi nasihat berguna bukan saja kepada khalifah Umar, malah kepada
seluruh umat sehingga akhir zaman. Antara lain, beliau menulis:
·
Ketahuilah wahai
Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan imam yang adil itu penegak
kepada setiap yang menyeleweng, tempat bergantung orang yang tergelincir,
kekuatan bagi yang lemah, pembela bagi yang dizalimi, penyelamat bagi yang
kebulur.
·
Imam yang adil wahai
Amirul-Mukminin, seperti pengembala yang sangat sayangkan untanya, yang
berlemah lembut dengannya, yang sentiasa membawanya ke padang rumput yang
paling subur, yang mempertahankannya dari sebarang ancaman yang membinasakannya,
yang mengawalnya dari binatang buas, yang melindunginya dari gigitan panas dan
sejuk.
·
Imam yang adil wahai
Amirul-Mukminin, seperti ayah yang sangat cintakan anaknya, dia berkerja keras
untuk mereka sewaktu mereka kecil, mengajar mereka ketika mereka besar, mencari
harta untuk mereka semasa hayatnya, menyimpan atau menabung untuk mereka
selepas dia meniggal dunia.
·
Imam yang adil wahai
Amirul-Mukminin, seperti ibu yang sangat menyayangi anaknya, berbakti dan
menatangnya dengan sepenuh hati. Dia mengandungnya dengan kepayahan,
melahirkannya dengan kepayahan, membelainya semenjak bayi, berjaga malam ketika
anaknya tidak tidur dan hanya berehat ketika anaknya terlena, menyusukannya
ketika dia memerlukan dan menceraikan susunya ketika anaknya tidak lagi
memerlukan. Dia gembira apabila anaknya sihat, dan berduka ketika anaknya
mengaduh sakit.
·
Imam yang adil wahai
Amirul-Mukminin, penerima wasiat untuk memelihara anak-anak yatim, penyimpan
khazanah orang-orang miskin, dia mendidik mereka yang masih kecil, menyara
mereka yang sudah besar. Dia laksana hati bagi seluruh anggota. Anggota akan
baik sekiranya hati itu baik. Dan akan rosak sekiranya hati rosak. Dia pemegang
tanggungjawab antara Allah dengan hamba-hambaNya. Dia mendengar Kalam Allah dan
memperdengarkannya kepada mereka. Dia memandang (mengenali) Allah dan
memperkenalkan Allah kepada mereka. Dia dipimpin kepada Allah dan dia memimpin
mereka kepadaNya. Maka janganlah engkau wahai Amirul-Mukminin, dengan kuasa
yang Allah beri kepadamu itu, jadi seperti seorang hamba yang tuannya amanahkan
kepadanya harta dan keluarganya, lalu dia menghabiskan harta tuannya, mengusir
keluarganya sehingga keluarga tuannya jadi papa dan dia menghambur-hamburkan
harta tuannya.
·
Ketahuilah wahai
Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah turunkan hukum hudud untuk menggentarkan
manusia dari kelakuan buruk dan jahat. Maka apa akan terjadi sekiranya orang
yang diamanahkan melaksanakan hudud melakukan kejahatan? Sesungguhnya Allah
menurunkan hukum qisas untuk memelihara kehidupan hambaNya. Maka apa akan
terjadi sekiranya orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan qisas itu sendiri
yang membunuh rakyatnya? Ingatlah wahai Amirul-Mukminin akan kematian dan apa
yang berlaku selepasnya, sedikitnya orang yang akan bersamamu ketika itu dan
tiada yang dapat menolongmu di waktu itu. Maka sediakanlah bekalan untuk
menghadapi saat itu dan dugaan yang maha besar selepas itu.
No comments:
Post a Comment