Wednesday, July 29, 2015

JOM TADABBUR 3


“Katakanlah: Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu atau dari bawah kaki kamu atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah (berpuak-puak) dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Al-An’am:65) 

Allah perintahkan RasulNya s.a.w. supaya mengingatkan mereka yang mengingkariNya atau tidak menghargai ni’mat pemberianNya, bahawa Dia berkuasa untuk menimpakan bencana ke atas mereka dalam pelbagai cara:
-       dari sebelah atas
-       dari sebelah bawah
-       dari dalam diri mereka sendiri, iaitu dengan berlakunya perselisihan dan perbalahan sesama sendiri sehingga membawa kepada peperangan dan pembunuhan.

Apakah maksud bencana dari sebelah atas dan bencana dari sebelah bawah? Ibn Jarir mengemukakan dua tafsiran ulamak mengenainya:
Pertama pendapat Ibn Mas’ud, Mujahid dan lain-lain, azab dari sebelah atas adalah dari langit seperti taufan dan rejaman dan azab dari sebelah bawah ialah dari bumi seperti yang berlaku pada Qarun.
Kedua pendapat Ibn ‘Abbas dan lain-lain, maksud azab dari sebelah atas ialah pemimpin atau penguasa yang jahat, manakala azab dari sebelah bawah ialah kakitangan kerajaan atau pegawai-pegawai yang jahat dan berakhlak buruk.

Adakah suasana dalam Negara pada masa ini merupakan gambaran ayat ini? Pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa, orang-orang di sekelilingnya tidak berani bersuara kerana takut dipecat dan hilang kedudukan, umat Islam pula berpecah dan berbalah, menuduh dan memfitnah saudara yang tidak sehaluan tanpa bukti?

Marilah sama-sama kita menghisab diri dan memohon ampun kepada Ilahi. Tidak ada siapa di antara kita yang maksum. Kalau kita rasa kita berada di pihak yang benar, tidak bermakna pihak lain salah. Bukankah Islam membenarkan ijtihad dan menghormati kebebasan berfikir? Hadis sahih riwayat al-Bukhari Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seorang hakim menghukum, lalu dia berijtihad; maka jika dia betul baginya dua pahala, jika salah baginya satu pahala.”
Subhanallah! Pengiktirafan kepada ijtihad sampai ke tahap jika salah sekalipun tetap mendapat pahala!

Kalau Allah beri pahala kepada ijtihad yang salah, maka apa hak kita untuk mengutuk pihak lain yang ijtihadnya tidak sama dengan kita, walhal kita sendiri tidak tahu siapa yang betul ijtihadnya?

1 comment:

PC kOKak™ said...

seronok dapat belajar tafsir ni.

sering terlupa.. sesiapa la kita nak judge orang...