“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan
kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu,
supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi
ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai
bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit,
lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi
rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu,
padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).”
(Al-Baqarah: 21-22)
Allah menyeru semua manusia tanpa mengira bangsa,
tanpa mengira rupa dan tanpa mengira agama. Mereka diseru agar menyembahNya,
Tuhan yang telah menciptakan mereka semua dan yang telah menciptakan
orang-orang terdahulu daripada mereka, iaitu ibu bapa, datuk nenek serta
moyang-moyang mereka.
Allah juga menciptakan langit, bumi dan segala isinya
untuk kegunaan mereka. Malah penciptaan langit, bumi dan segala isinya jauh
lebih lama daripada penciptaan manusia di muka bumi ini. Ertinya, sebelum
manusia diciptakan, Allah telah mempersiapkan keperluan hidup mereka; bumi yang
terbentang luas sebagai tempat tinggal, tanahnya yang subur dilitupi pelbagai jenis
tumbuh-tumbuhan yang berwarna-warni. Di dalam perutnya pula terpendam pelbagai
galian yang sangat berharga.
Langit yang teguh menaungi, dipenuhi dengan cakrawala
yang pelbagai guna.
Semuanya diciptkan untuk kegunaan manusia supaya
mereka dapat menjalani kehidupan yang sementara di dunia dengan sebaik-baiknya.
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian
Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya
tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Baqarah:29)
Antara pengajaran yang dapat diambil daripada ayat
ini:
Pertama – Allah adalah satu-satunya Pencipta sekelian
makhluk. Justeru, hanya Dia yang layak disembah. Apa yang manusia sembah
selainNya semuanya makhluk yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan tidak
mempunyai apa-apa jasa dalam penciptaan dan penyediaan rezeki untuk kita. “Katakanlah
(wahai Muhammad): Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan
makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah
selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari
bahagian bumi ini?. Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan
Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Atau pernahkah Kami memberi
mereka sebuah Kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu
menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari Kitab itu?
(Tidak ada sesuatu alasan pun) bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya
dengan kata-kata yang disebutkan oleh setengahnya kepada yang lain, kata-kata
yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.” (Fatir:40)
Kedua – Allah menyeru manusia agar menyembahNya dan
mengemukakan dalil yang nyata kenapa mereka wajib menyembahNya. Begitulah
halnya apabila kita hendak menyampaikan agama ini dan menyeru manusia kepada
Islam, mestilah disampaikan dengan hujjah dan bukti yang jelas akan
kebenarannya.
Ketiga – Seruan dalam ayat ini di tujukan kepada
seluruh umat manusia. Kita sebagai umat Islam yang membaca al-Quran mengetahui
seruan ini. Bagaimana halnya manusia yang belum Islam yang tidak membaca
al-Quran? Mereka tidak mengetahui bahawa mereka diseru oleh Allah, Pencipta
mereka. Siapa yang patut sampaikan?
Kitalah! Di sinilah letaknya tanggungjawab yang amat
besar di atas bahu kita. Sampaikanlah seruan ini kepada seramai mungkin
manusia. Jika tidak, apakah jawapan kita di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla di
akhirat kelak? Nabi s.a.w. sendiri telah berpesan maksudnya: “Sampaikanlah
daripadaku walaupun satu ayat!” Riwayat al-Bukhari.
Ya Allah! Bantulah kami untuk menyampaikan seruanMu
ini.
No comments:
Post a Comment