Tuesday, March 15, 2016

Berkirim Salam

Memberi salam adalah satu daripada sunnah Nabi s.a.w.  Satu daripada adab-adab ukhuwwah yang diajarkan kepada umat Islam.
Salam adalah satu daripada Asmaa' Allah al-Husna.
Doa kesejahteraan yang tulus, bukan sahaja menjadi  budaya penduduk di bumi malah salam juga merupakan untaian kata indah yang digemari penghuni langit serta syurga nan abadi.

Memulakan salam adalah sunat, sedangkan menjawabnya adalah wajib. Berkirim salam kepada saudara yang jauh melalui tulisan atau perantaraan utusan juga sunat dan orang yang menerima kiriman salam wajib menjawabnya.

Bagaimana menjawab salam yang dikirim melalui seseorang kepada kita?
Menurut sunnah Rasulullah s.a.w. apabila disampaikan salam daripada orang lain kepadanya baginda menjawabnya untuk penyampai dan pengirim. Harus juga dijawab untuk pengirim sahaja. An-Nasa'i meriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada baginda: "Sesungguhnya ayahku mengirimkan salam kepadamu." Baginda berkata: 'Alaika wa'ala abikas-salam. Maksudnya, untukmu dan untuk ayahmu salam. Rasulullah s.a.w. menjawab untuk pembawa / penyampai dan pengirim.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aishah r.a.: "Ini Jibril menyampaikan kepadamu salam." Aishah r.a. menjawab: "wa'alaihis-salam warahmatullah." Di sini Aishah r.a. menjawab untuk pengirim sahaja (Jibril) dan Nabi s.a.w. tidak membantah menunjukkan harus

Jadi, sekiranya seseorang menyampaikan salam kepada kita, cara menjawabnya:

1.     Penyampai lelaki dan pengirim lelaki : 'alaika wa'alaihis-salam. Atau wa'alaihis-salam.
2.     Penyampai lelalki, pengirim perempuan : 'alaika wa'alaihas-salam. Atau wa'alaihas-salam.
3.     Penyampai perempuan dan pengirim perempuan : 'alaiki wa'alaihas-salam. Atau wa'alaihas-salam.
4.     Penyampai perempuan, pengirim lelaki :  'alaiki wa'alaihis-salam. Atau wa'alaihis-salam.
5.     Penyampai lelaki, pengirim ramai (contohnya: mak atau ayah, kawan-kawan sekelas saya semua kirim salam kepada maka atau ayah) : 'alaika wa'alaihimus-salam. Atau wa'alaihimus-salam.
6.     Penyampai perempuan, pengirim ramai : 'alaiki wa'alaihimussalam. Atau wa'alaihimus-salam
Untuk lebih sempurna, elok ditambah dihujung semua tu, warahmatullah wabarakatuh seperti yang diucapkan oleh Aisha r.a. ketika menjawab salam Jibril a.s.

Lafas salam yang afdhal adalah "assalamu 'alaikum". Jika disebut "salam 'alaikum"  juga harus. Yang pertama adalah ucapan salam ahli dunia. Manakala yang kedua adalah ucapan salam ahli syurga. Menurut ulamak, menggunakan ucapan ahli dunia lebih afdhal.
Daripada Abi Umamah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah yang memulakan salam." Riwayat at-Tarmizi.

Daripada Abdullah bin 'Amru r.a. Bahawa seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w.: "Manakah (amalan) Islam yang terbaik?" Baginda menjawab maksudnya: "Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenali dan tidak kenali." Al-Bukhari dan Muslim.

No comments: