Memberi salam adalah satu daripada sunnah
Nabi s.a.w. Satu daripada adab-adab
ukhuwwah yang diajarkan kepada umat Islam.
Salam adalah satu daripada Asmaa' Allah
al-Husna.
Doa kesejahteraan yang tulus, bukan sahaja menjadi
budaya penduduk di bumi malah salam juga
merupakan untaian kata indah yang digemari penghuni langit serta syurga nan
abadi.
Memulakan salam adalah sunat, sedangkan
menjawabnya adalah wajib. Berkirim salam kepada saudara yang jauh melalui
tulisan atau perantaraan utusan juga sunat dan orang yang menerima kiriman
salam wajib menjawabnya.
Bagaimana menjawab salam yang dikirim
melalui seseorang kepada kita?
Menurut sunnah Rasulullah s.a.w. apabila
disampaikan salam daripada orang lain kepadanya baginda menjawabnya untuk penyampai
dan pengirim. Harus juga dijawab untuk pengirim sahaja. An-Nasa'i meriwayatkan bahawa
seorang lelaki berkata kepada baginda: "Sesungguhnya ayahku mengirimkan
salam kepadamu." Baginda berkata: 'Alaika wa'ala abikas-salam. Maksudnya,
untukmu dan untuk ayahmu salam. Rasulullah s.a.w. menjawab untuk pembawa /
penyampai dan pengirim.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa
Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aishah r.a.: "Ini Jibril menyampaikan
kepadamu salam." Aishah r.a. menjawab: "wa'alaihis-salam
warahmatullah." Di sini Aishah r.a. menjawab untuk pengirim sahaja
(Jibril) dan Nabi s.a.w. tidak membantah menunjukkan harus
Jadi, sekiranya seseorang menyampaikan
salam kepada kita, cara menjawabnya:
1.
Penyampai lelaki dan pengirim
lelaki : 'alaika wa'alaihis-salam. Atau wa'alaihis-salam.
2.
Penyampai lelalki, pengirim
perempuan : 'alaika wa'alaihas-salam. Atau wa'alaihas-salam.
3.
Penyampai perempuan dan
pengirim perempuan : 'alaiki wa'alaihas-salam. Atau wa'alaihas-salam.
4.
Penyampai perempuan, pengirim
lelaki : 'alaiki wa'alaihis-salam. Atau
wa'alaihis-salam.
5.
Penyampai lelaki, pengirim
ramai (contohnya: mak atau ayah, kawan-kawan sekelas saya semua kirim salam
kepada maka atau ayah) : 'alaika wa'alaihimus-salam. Atau wa'alaihimus-salam.
6.
Penyampai perempuan, pengirim
ramai : 'alaiki wa'alaihimussalam. Atau wa'alaihimus-salam
Untuk lebih sempurna, elok
ditambah dihujung semua tu, warahmatullah wabarakatuh seperti yang diucapkan
oleh Aisha r.a. ketika menjawab salam Jibril a.s.
Lafas salam yang afdhal adalah
"assalamu 'alaikum". Jika disebut "salam 'alaikum" juga harus. Yang pertama adalah ucapan salam
ahli dunia. Manakala yang kedua adalah ucapan salam ahli syurga. Menurut
ulamak, menggunakan ucapan ahli dunia lebih afdhal.
Daripada Abi Umamah r.a. Rasulullah s.a.w.
bersabda maksudnya: "Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah
ialah yang memulakan salam." Riwayat at-Tarmizi.
Daripada Abdullah bin 'Amru r.a. Bahawa
seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w.: "Manakah (amalan) Islam yang
terbaik?" Baginda menjawab maksudnya: "Kamu memberi makan dan mengucapkan
salam kepada orang yang kamu kenali dan tidak kenali." Al-Bukhari dan
Muslim.