Sunday, March 27, 2016

IKHWAN MUSLIMUN - 88 TAHUN MENABUR BAKTI

Ikhwan Muslimun adalah satu cahaya yang terpancar dari lubuk kegelapan, menerangi mereka yang berjalan untuk mencari kebenaran, menabur benih-benih kebaikan di pinggir-pinggir jalan supaya menjadi batu tanda agar tidak sesat dalam perjalanan, sambil melaungkan seruan dengan kuat: aku adalah cahaya yang akan menerangi dunia yang gelita.
Supaya matahari bersinar kembali selepas cahayanya suram terperosok di sudut kealpaan, kelalaian dan kejatuhan, IM menggariskan misi mereka di dalam beberapa ayat:
"Sesungguhnya kami menyeru manusia kepada Allah yang merupakan seruan yang paling tinggi dan paling mulia. Kami mengajak manusia kepada fikrah Islam yang merupakan fikrah yang paling suci dan paling lurus. Kami kemukakan kepada manusia syariat al-Quran yang merupakan syariat yang paling tepat dan paling adil."

Tahun ini, genaplah 88 tahun penubuhan jamaah yang telah diasaskan oleh enam orang dari kalangan generasi yang terawal. Mungkin nama-nama mereka tidak tercatat di dalam ingatan manusia. Namun nama-nama itu tetap tercatat di sisi Dia yang tidak pernah leka dan tidak pernah lena. Dia tetap mengingati mereka dengan izinNya, dan kemurahanNya.

Peristiwa penuh sejarah itu berlaku pada 27 Mac 1928, di mana Imam Hasan al-Banna dikunjungi di rumahnya oleh beberapa orang yang terdiri dari Hafidz Abdul Hamid, Ahmad al-Husoiri, Fuad Ibrahim, Abdul Rahman Hasbullah, Ismail 'Izz dan Zaki al-Maghribi. Mereka sering mengikuti kuliah dan ceramah yang disampaikan oleh Imam al-Banna dan sangat terkesan dengan apa yang disampaikannya. Maka pada hari itu mereka datang dan berkata kepadanya: "Sesungguhnya kami telah mendengar, kami faham dan hati kami sangat terkesan. Namun kami tidak mengetahui manakah jalan, bagaimanakah caranya untuk mendaulatkan Islam dan membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya. Sesungguhnya kami telah jemu hidup seperti ini, hidup dibelenggu kehinaan dan penjajahan. Engkau lihatlah, bangsa Arab dan orang-orang Islam di negara ini, tidak ada kedudukan dan kemuliaan. Mereka diperlakukan sebagai golongan bawahan yang mengikut telunjuk bangsa asing. Apa yang kami mahu sekarang adalah memberikan segala apa yang kami miliki kepadamu supaya kami dapat melepaskan tanggungjawab kami di hadapan Allah s.w.t.
Dan engkau betanggungjawab di hadapanNya bagi pihak kami. Kami percaya bahawa kita wajib membentuk satu jamaah yang berjanji kepada Allah dengan penuh ikhlas untuk hidup demi agama dan mati dalam menegakkan agamaNya. Kami tidak ingin apa-apa kecuali keredhaanNya. Kami yakin jamaah ini akan mendapat pertolonganNya walaupun bilangan ahlinya sedikit dan bekalannya kurang."

Dan hari ini (27 Mac 2016) genaplah 88 tahun penubuhan jamaah ini. Sepanjang tempoh itu jamaah telah bermurah hati menyumbangkan darah ahli-ahlinya demi tanah air di beberapa buah negara, khususnya negara-negara umat Islam. Jamaah telah menempuhi perjalanan yang panjang, menghadapai pelbagai rintangan dalam menabur bakti.
88 tahun telah telah tertubuhnya jamaah IM dan telah menyumbang bakti yang tidak putus-putus kepada dunia Islam dan gerakan Islam.
88 tahun IM menabur bakti kepada masyarakat di merata tempat sejak tahun 20an pada kurun yang lepas.
88 tahun IM masih belum berhenti mengorbankan darah ahli-ahlinya demi kemuliaan dan kedaulatan ummah dan tanah air tercinta.
Antara pesanan ISHAB yang berkaitan dengan hal ini:

"Demikianlah, "dakwah islamiah muhammadiah quraniah" ini akan terus bergerak. Ia tidak kenal warna kecuali Islam. Tidak mencorakkan diri kecuali dengan corak yang telah dipilih oleh Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Ia tidak mengikuti selain pimpinan Rasulullah s.a.w. Tidak meyakini manhaj kecuali kitab Allah yang tidak mungkin mengandungi kebatilan walau sedikitpun dan dalam apa jua aspek sekalipun."

No comments: