Monday, February 25, 2019

TADABBUR – UMUR AISYAH R.’ANHA


Hari ini terbaca tafsir al-Qurtubi firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Qamar ayat 45 dan 46 yang bermaksud:
“Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.” (Al-Qamar 54:45)

Sa’eid bin Jubair meriwayatkan bahawa Sa’ad bin Abi Waqqas berkata: “Ketika Allah Ta’ala menurunkan firmanNya (Al-Qamar 54:45) aku tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan “kumpulan yang akan dikalahkan dan akan berpaling lari”?
Apabila berlakunya peperangan Badar, aku melihat Nabi s.a.w. melompat dengan memakai perisai seraya berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya Quraisy telah datang menentangMu dan menentang RasulMu dengan kesombongan dan keangkuhannya. Maka hancurkanlah mereka….” Kemudian baginda membacakan ayat ini (Al-Qamar 54:45). Maka barulah aku memahami maksudnya.”

Al-Qurtubi berkata, ini merupakan satu daripada mukjizat Nabi s.a.w. kerana baginda telah mengkhabarkan perkara yang ghaib (yang belum berlaku lagi). Ini berdasarkan kata-kata Ibn Abbas r.a. bahawa ayat ini turun 7 tahun sebelum peperangan Badar. Maka ayat ini adalah Makkiyyah.

Al-Qurtubi juga berkata bahawa al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah r.’anha, beliau berkata: “Sesungguhnya telah turun kepada Muhammad s.a.w. di Mekkah ketika itu aku jariah yang sedang bermain:
“(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.” (Al-Qamar 54:46)

Riwayat al-Bukhari daripada Aisyah r.’anha di atas merupakan satu daripada dalil golongan yang berpendapat bahawa umur Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. bukan enam tahun. Malah lebih daripada itu.

Menurut Ibn Abbas r.a. surah al-Qamar diturunkan 7 tahun sebelum peperangan Badar. Peperangan Badar berlaku pada tahun ke 2 hijrah, iaitu tahun ke 15 kenabian (hijrah berlaku pada tahun ke 13 kenabian). Maka berdasarkan kata-kata Ibn Abbas r.a. itu surah al-Qamar turun pada tahun ke 8 kenabian.

Sebagaimana diketahui, Nabi s.a.w. mengahwini Aisyah a.’nha pada tahun ke 10 kenabian, iaitu selepas kewafatan Khadijah r.’nha.
Menurut riwayat al-Bukhari dan lain-lain, ketika itu Aisyah berumur 6 tahun. Surah al-Qamar pula turun pada tahun ke 8 kenabian. Jadi, kalau diterima riwayat ini umur Aisyah ketika turun surah al-Qamar baru 2 tahun. Adakah kanak-kanak yang baru berusia 2 rahun telah ingat dengan jelas apa yang berlaku? Tambahan pula Aisyah berkata dia ketika itu adalah jariah. Jariah menurut kamus adalah usia di antara kanak-kanak dengan remaja. Atau disebut al-fatiyyah min an-Nissaa’ (wanita di usia muda). Jadi, berdasarkan takrif jariah yang terdapat di dalam kamus, umur Aisyah ketika turun surah al-Qamar bukan 2 tahun. Dan beliau dikahwini Rasulullah s.a.w. bukan ketika berusia 6 tahun.

Mereka membandingkan dengan umur kakaknya Asmaa’ r.’anha yang dikatakan lebih tua 10 tahun daripada Aisyah. Umur Asmaa’ ketika Nabi s.a.w. berhijrah adalah 27 tahun.

Sumber-sumber sejarah menyebut dengan jelas bahawa Asmaa’ r.’anha meninggal dunia selepas peristiwa bersejarah yang sahih dan masyhur, iaitu pembunuhan puteranya Abdullah bin Zubair r.a. di tangan Hajjaj. Peristiwa itu berlaku pada tahun 73H. Umur Asmaa’ ketika itu telah mencapai 100 tahun.

Kalau dikira umur Asmaa’ ketika wafat pada tahun 73H adalah 100 tahun, maka umurnya ketika hijrah adalah 27 tahun (100-73=27). Ini menepati apa yang disebut di dalam sumber-sumber sejarah bahawa umurnya ketika Nabi hijrah adalah 27 tahun.
Jika Asmaa’ 27 tahun, Aisyah 10 tahun lebih muda daripadanya, maka umur Aisyah ketika hijrah adalah 17 tahun. Hijrah pada tahun ke 13 kenabian. Surah al-Qamar diturunkan pada tahun ke 8. Maka mengikut hitungan ini, umur Aisyah ketika turun surah al-Qamar adalah 12 tahun. Umur 12 tahun adalah menepati maksud perkataan jariah.
Beliau mula menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan Nabi s.a.w. di akhir tahun pertama atau awal tahun kedua hijrah, iaitu ketika umur beliau telah mencecah 18 tahun.


Sekadar renungan…. Dari sudut pandang yang berbeza. Allahu A’lam

Tuesday, February 19, 2019

MASYARAKAT RAHMAH YANG KITA IMPIKAN


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…..” (At-Tahrim 66:6)

Ayat ini ditujukan kepada semua orang yang beriman, khususnya ketua keluarga. Arahannya jelas, iaitu pelihara diri dan keluarga dari neraka.

Bagaimana? Pastinya dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam neraka.

Dan perkara-perkara itu dijelaskan dengan terperinci di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam ayat di bawah dinyatakan beberapa perkara yang menyebabkan seseorang terhumban ke dalam neraka. Mari kita renungi:

“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,
Kecuali puak Kanan,
(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,
Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat;
"Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
"Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;
"Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
"Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini (mati)".

Ringkasnya, sebab mereka masuk neraka ialah:
1.     Tidak solat
2.     Tidak menolong orang susah
3.     Melibatkan diri di dalam aktiviti yang salah dan tidak berfaedah
4.     Tidak yakin kepada hari pembalasan di mana semua amalan yang dilakukan di dunia ini dicatat, dihitung dan dibalas dengan pembalasan yang adil dan setimpal.

Inilah di antara perkara yang setiap orang beriman wajib jauhi dan mempastikan ahli keluarganya menjauhkan diri.

Apakah kesannya jika semua orang beriman serta ahli keluarganya menjauhkan diri dari empat perkara di atas?

Kesan kepada individu, selamat dari api neraka dengan izinNya.
Kesan kepada masyarakat, masyarakat akan sejahtera dari ancaman jenayah serta gejala social yang merimaskan dan merisaukan semua pihak.

Orang miskin terbela. Mereka tidak terdesak untuk meminta-minta, mencuri, meragut atau sebagainya hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup.
Tiada fenomena lepak, membuang masa dengan membawang atau aktiviti-aktiviti yang tidak menguntungkan sama ada di dunia atau di akhirat.
Berkurangnya kezaliman, penipuan, penindasan, salah guna kuasa dan sebagainya sebab setiap orang yang beriman akan berfikir serta ingat balasan yang akan diterimanya di akhirat kelak.


Maka bertambah suburlah perasaan kasih sayang, kemesraan, saling membantu dan berkerjasama sesama anggota masyarakat di semua peringkat.

Saturday, February 16, 2019

TADABBUR : SUNNAH DI DALAM BERDAKWAH


“Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seagama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.
"Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".

Satu daripada sekian banyak episode perjuangan rasul-rasul Allah di dalam usaha menyampaikan risalah dakwah kepada kaum mereka. Kehadiran mereka tidak disambut dengan hamparan permaidani merah. Sebaliknya mereka dicemuh, dicaci dan dimusuhi. Apabila mereka gagal menghentikan rasul dari dakwahnya, mereka akan menggunakan cara mengancam dan mengugut seperti yang digambarkan di dalam ayat di atas.

Mereka menolak bukan kerana mereka yakin bahawa mereka berada di pihak yang benar. Bukan kerana mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk mematahkan hujjah yang dibawa oleh rasul-rasul mereka. Tetapi mereka menentang kerana kesombongan, tidak mahu menjadi pengikut, tidak bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik. Justeru kita lihat, mereka memberi hanya dua pilihan kepada rasul: ikut kami atau berambus dari sini!!!

Namun, apapun rintangan dan halangan, apapun ugutan dan ancaman, ia hanya bersifat sementara. Sementara untuk Allah melihat dan menilai keimanan, kesungguhan dan keikhlasan rasul atau pendakwah, di samping memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk mereka yang menentang dan menolak berfikir dengan waras dan matang agar dengan itu mereka akan menukar pendirian. Justeru, pendakwah tidak perlu gusar. Teruskanlah tugas menyampaikan risalah. Mereka yang keras menentang, mereka yang tidak mahu menerima, kesudahan mereka ditentukan oleh Allah (Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim!)

Dan untuk mereka yang ikhlas dalam berdakwah, yang takut kepada Allah semata-mata, yang berusaha menjauhi apa yang dimurkaiNya mereka pasti akan meraih kejayaan dan keuntungan yang hakiki sama ada di dunia atau di akhirat. Janji yang pasti.

Bekalan buat pendakwah:
1.     Yakin kepada janji Allah
2.     Ikhlas dalam menjalankan tugas
3.     Tsabat dan istiqamah
4.     Fahami Sunnah dalam perjuangan menegakkan kebenaran

5.     Sentiasa mengingati Allah dan mentadabbur KalamNya.