Ketika PIC
India bertanya sama ada aku bersedia atau tidak untuk memenuhi jemputan mengisi
program daurah kepada pelajar-pelajar perubatan di Belgaum atau Belgavi India,
hatiku berbolak-balik. Aku mula membuat pertimbangan; kalau menolak, atas
alasan apa? Terima, mampukah aku berjalan meredah benua yang jauh di sana?
Apabila aku
luahkan hal itu kepada suami, tanpa teragak-agak dia menyatakan persetujuan
untuk menemani (dengan kos ditanggung sendiri). Maka hilanglah segala keraguan
dan tiada lagi sebarang alasan untuk menolak.
Maka bermulalah
urusan. Permohonan visa dan tempahan tiket. Alhamdulillah segalanya berjalan
dengan lancar.
Hari Sabtu
12 January 2019 kami berangkat dengan menaiki pesawat MAS menuju ke Bengaluru
atau Bengalore, seterusnya ke Belgaum dengan pesawat AirIndia.
Sampai di
Begaum lebih kurang jam 5 petang waktu tempatan. Alhamdulillah sempat solat
jamak ta’khir zohor dan asar. Waktu di India lewat 2.30 berbanding waktu di
Malaysia.
Kami di
tempatkan di Bilik Tamu Hostel USM. Baru kami tahu rupa-rupanya ada Fakulti
Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini di samping apa yang ada di
Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan. Terdapat lebih kurang 500 pelajar dari
Malaysia belajar di sini dengan tajaan JPA dan MARA juga persendirian.
Selain di
USM, terdapat sebahagian kecil pelajar Malaysia menuntut di KLE University.
Sepanjang berada
di Belgaum selama lima hari diisi dengan beberapa slot ceramah. Hari Ahad tiga
slot: pagi, petang dan malam. Selasa dua slot: pagi dan petang. Rabu hanya
satu, iaitu sebelah malam. Suami juga turut diberi peluang menyampaikan kuliah maghrib
di surau asrama putera pada hari Isnin.
Belgaum merupakan
sebuah pekan kecil yang kelihatan sedang membangun. Jalan-jalan sedang diturap
di sana-sini dan bangunan-bangunan baharu sedang didirikan. Justeru, bandarnya
kelihatan kurang kemas dan tidak tersusun. Namun, jika kita memasuki bangunan
kedai atau restoran kebersihannya terjaga tidak seperti apa yang kita lihat di
luar.
Sempat juga
melawat beberapa tempat bersejarah seperti kuil yang berusia 800 tahun. Yang menariknya
tidak berapa jauh dari situ terdapat sebuah sekolah Islam persendirian bernama
al-Ameen. Sama pula namanya dengan sekolah kendalian Ikram-Musleh di sini. Antara
tempat yang dibawa oleh pemandu kami adalah sebuah bangunan berkubah yang
kelihatan seperti masjid. Terdapat di dalamnya kubur seorang ulamak, Sayed Shaikh Badaruddin Aarif Chisti berusia ratusan tahun
yang lalu. Tertulis dihujung namanya 786 TH. Mungkin itu tahun
kewafatannya. Allahu A’lam.
Namun amat
menyedihkan ia menjadi tempat pemujaan. Pengunjung yang datang bersujud di muka
pintu sebelum masuk ke dalam bangunan. Bila masuk, sujud lagi di kepala kubur.
Di Belgaum
juga terdapat bendera paling tinggi dan paling besar di India.
Penduduk muslim
agak ramai walaupun bukan majority. Kerana itu azan kedengaran dilaungkan bersahut-sahutan
setiap waktu solat sama seperti berada di taman perumahan di Shah Alam.
Hari Khamis
17 January, kami berangkat meninggalkan Belgaum. Flight ke Bengalore yang dijadualkan
berangkat pada jam 9.15 pagi tertunda hampir dua jam. Begitu juga flight ke
Delhi tertunda beberapa jam. Tiba di hotel Tawang Inn hampir waktu Isyaa. Perjalanan
dari airport ke hotel yang jaraknya tidak sampai 25 km mengambil masa hampir 2.30
jam. Alhamdulillah sempat jamak Zohor dan Asar di airport Belgaum. Tempat solat
di sediakan. Siap dengan tempat berwudhuk. Namun hanya satu tempat sahaja. Tidak
ada tempat yang khusus untuk lelaki dan perempuan. Justeru, aku terpaksa
mengambil wudhuk di dalam tandas. Berbeza dengan airport Delhi. Tempat solat
dan wudhuk lelaki dan perempuan diasingkan.
Tidak ada
apa-apa aktiviti di Delhi kecuali solat jamak Maghrib dan Isyaa, dinner dan
tidur. Keesokannya, Jumaat 18 January, selepas sarapan terus ke airport untuk
meneruskan perjalanan ke Srinagar, Kashmir. Sekali lagi diuji dengan kelewatan
lebih dari tiga jam. Tiba di Srinagar tika hari telah senja. Disambut oleh
wakil ejen di airport dan dibawa ke sebuah hotel yang cantik, Victory Inn
terletak dalam kawasan perumahan yang sederhana.
Empat hari (Sabtu,
Ahad, Isnin dan Selasa) berpeluang menjelajah Kashmir, menikmati keindahan
ciptaan al-Khaliq yang menakjubkan, keindahan alam yang dibalut salji yang
memutih. Tiada dedaun yang menghijau atau bunga-bunga dengan pelbagai warna
yang memukau. Keputihan menakluki alam dan menyelimutinya.
Selama
berada di Kashmir kami terserempak dengan beberapa orang pelancong dari
Malaysia. Dan agak memeranjatkan, satu rombongan yang kami temui terdiri dari tiga
orang; dua perempuan dan seorang lelaki dalam lingkungan usia 24 tahun. Ada yang
baru menamatkan pengajian peringkat sarjana muda di university tempatan dan ada
yang telah bekerja. Menurut mereka yang kelihatan begitu rapat dan mesra,
mereka semua adalah kawan-kawan rapat sejak sekolah menengah lagi. Allahu Akbar!
Sampai ke tahap itu pergaulan bebas anak-anak muda kita. Di manakah kefahaman
tentang aurat, batasan mahram bukan mahram dan sebagainya? Dan seorang lagi
kami temui, seronok dan santai menaiki jetski seorang diri, seorang wanita
dalam lingkungan 30an. Melancong seorang diri tanpa mahram, tanpa teman.
Sungguh tercabar!
Selama ini kita berbahas tentang hukum wanita pergi haji dan umrah wajib atau
sunat tanpa mahram. Di luar sana umat kita terus berseronok pergi melancong,
bermain dan bersuka ria yang tidak wajib atau sunatpun tanpa kesah halal
haramnya.
Hari Rabu
23 January, sebelum berangkat pulang sempat singgah di Ibu Pejabat Jamaati Islami
cawangan Kashmir, bertemu dengan sebahagian pimpinannya termasuk amir jamaah. Mereka
menceritakan bagaimana kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan India ke atas
umat Islam di Kashmir. Pembunuhan dan penyiksaan disasarkan ke atas orang awam
termasuk wartawan, wanita dan kanak-kanak tanpa belas kasihan. Di sesetengah masjid
solat Jumaat tidak dibenarkan. Dan banyak lagi.
Jamaati
Islami adalah sebuah pertubuhan Islam diasaskan oleh Al-Marhum Al -Maududi pada
awal kurun yang lepas. Buku-buku tulisannya merupakan kunci utama yang membuka
minda dan jiwaku kepada memahami tasawur Islam yang syumul dan kewajipan
berdakwah memperkembang dan menegakkannya di muka bumi ini. Ya, aku mengenali
dan membaca buku-buku Al-Maududi sebelum mengenali Hasan al-Banna, Sayyid Qutub
dan pemimpin-pemimpin IM yang lain. Buku pertama tulisannya yang aku baca,
iaitu pada tahun 1971 dan benar-benar membekas di dalam diriku ialah Mabadi’
al-Islam (Asas-asas Islam)
Flight dari
Srinagar ke Dalhi dengan pesawat Indigo dijangka pukul 4.40 petang dan dari
Delhi ke KL dengan Airasia pukul 11.15 malam. Setiap hari berdoa supaya tidak
delay seperti yang berlaku ketika perjalanan dari dari Belgaum – Bengalore –
Delhi – Srinagar tempoh hari.
Seperkara yang
mungkin tidak dialami di tempat lain ialah sebelum memasuki terminal lapangan
terbang Srinagar, kena lalui kawasan tentera. Turunkan beg-beg dari kereta,
bawa ke dalam bangunan dan discan. Kemudian angkat masuk ke dalam kereta untuk
meneruskan perjalanan ke airport.
Masuk terminal,
sebelum check in, scan lagi beg-beg serta tuannya. Keluar dari bangunan
terminal untuk menaiki pesawat, sekali lagi badan kita discan. Namun yang
baiknya, untuk penumpang wanita disediakan bilik kecil tertutup dan discan oleh
petugas wanita di semua lapangan terbang yang kami lalui (Bengalore, Belgaum,
Delhi, Srinagar) sama seperti lapangan terbang di negara-negara Arab.
Alhamdulillah
dengan izin serta rahmatNya yang maha luas Dia memaqbulkan doa. Flight tidak
delay kecuali di Srinagar. Itupun tak sampai satu jam delaynya walaupun berlaku
pertukaran gate sebanyak tiga kali, alhamdulillah ‘ala kulli hal. Delhi ke KL
berjalan seperti yang dijadualkan. Khamis 24 January mendarat dengan selamat
tepat jam 7.00 pagi. Masuk saja bangunan terminal KLIA 2 aku mengaktifkan
telefon bimbit. Mesej pertama yang aku terima melalui aplikasi WhatsApp adalah
ucapan tahniah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim. Alhamdulillah
dan Inna liLlah
Sekilas pandang
Secara umumnya
dari segi luaran bandar-bandarnya tidak kelihatan bersih dan cantik. Tetapi beberapa
bangunan seperti kedai dan restoran yang aku sempat masuk, kebersihannya terjaga.
Tandas awam
juga agak bersih. Di semua tempat termasuk lapangan terbang semua tandas
mempunyai paip untuk basuh.
Dari segi
penjagaan alam sekitar, nampaknya India mendahului kita. Penggunaan straw
pelastik yang kerajaan kita baru cadang untuk mengharamkannya dan mendapat
kritikan dari sebahagian netizen, di India memang sudah tidak menggunanya. Yang
menariknya juga bila kita masuk restoran mereka tidak tanya hendak minum apa
(mungkin kerana musim sejuk tak tahulah)? Mereka ambil order makanan sahaja. Minum
apa langsung tidak ditanya walaupun senarai minuman tertulis di atas buku menu.
Tidak seperti di tempat kita. Minuman yang sampai dahulu. Kadang-kadang air dah
habis minum, makanan belum sampai lagi. Di atas setiap meja mereka telah
sediakan air kosong sama ada di dalam botol atau jag serta beberapa biji gelas.
Alkisah, kami
masuk sebuah restoran di pekan kecil dalam perjalanan pulang dari Sonmarg. Kami
duduk di sebuah meja. Cahaya lampunya suram kerana menurut pemilik restoran
bekalan eletrik di kawasan itu tidak mencukupi. Di atas meja telah tersedia air
kosong di dalam jag dan beberapa biji yang diletak secara telungkup. Dik kerana
kehausan aku terus menuang air ke dalam gelas dan meminumnya. Selesai menikmati
makanan yang dipesan, kami bangkit untuk beredar keluar. Ketika itu aku Nampak pekerja
mentelungkupkan gelas-gelas yang kami dah guna tanpa membasuhnya.
Ya Allah! Dah
berapa orang guna gelas yang sama tanpa dibasuh? Bisik hatiku. Hem… halal saja
lah.
Di semua
lapangan terbangnya juga disediakan bilik khas untuk merokok.
Makanan juga
tidak menjadi masalah kerana kebanyakan mereka tidak makan daging. Vegetarian. Di
dalam pesawat yang kami naiki hanya veg sahaja yang dihidangkan. Di Kashmir
pula hampir 100 % penduduknya adalah muslim. Tentulah tiada masalah dari segi
halalnya. Cuma untukku yang tidak tahan pedas agak bermasalah juga. Kebanyakan masakannya
berempah, pedas dan masin.
Yang paling
mencabar adalah bila dibawa masuk ke sesebuah kedai menjual produk buatan
Kashmir. Cara mereka melayan dan menerangkan produk-produk mereka membuatkan kita
seperti “wajib” membelinya. Jadi nasihatku kepada anda yang mungkin suatu hari
akan berkunjung ke Kashmir, jika tidak ada hajat untuk membeli, jangan masuk.
Selain daripada
itu, agak mencabar juga ialah mereka sangat mengharapkan tips. Sedikit saja pertolongan
walaupun kita tidak memintanya mereka minta tips. Tapi dengan melihat pada kehidupan
mereka yang rata-ratanya agak dhaif ikhlas dan redha sajalah dalam memberi. Pemandu
yang ditugaskan membawa kami mula daripada kami sampai di lapangan terbang
Srinagar pada hari Jumaat, bawa berjalan selama empat hari (tiga daripada empat
hari itu jauhnya tidak kurang daripada 200
km pergi dan balik) sehinggalah menghantar kami semula ke lapangan terbang pada
hari kepulangan kami pada hari Rabu. Dia memberitahu kami bahawa gaji bulanannya
adalah 5000 rupee bersamaan lebih kurang RM300 (tak tahulah betul atau tidak?).
Bila ditanya dari mana lagi sumber untuk menampung kehidupan keluarga? Jawabnya,
tips. Cuba bayangkan selama enam hari dia melayan kami dengan penuh dedikasi
dari pagi sampai senja atau malam, berapakah tips yang dia harapkan?
Dia memang
seorang yang sangat gigih dan jujur. Kereta Toyota innova yang digunakan untuk
membawa kami ditinggalkan di hotel tempat kami menginap. Pagi dia datang menaiki
tut-tut (dipanggil oto) dan petang pulang dengan oto. Katanya kereta syarikat
tidak boleh dibawa untuk kegunaan peribadi.
Di akhir coretan, aku memanjatkan
setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Yang Maha Esa kerana mengizinkan aku
dan suami berjalan menjelajahi bumi ciptaannya. “Dia lah yang menjadikan bumi
bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya,
serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah
jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah
nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Al-Mulk 67:15)
Di sepanjang perjalananku, sama ada
di darat atau di udara aku cuba memenuhinya dengan zikir-zikir agar setiap
tempat yang aku lalui menjadi saksi keimanan kami. Setiap tempat aku bersujud
di bumiNya aku meminta supaya Allah catatkan tempat-tempat tersebut sebagai
saksi bahawa kami sesungguhnya beriman akan Keesaan, Kebesaran serta
KeagunganNya.
No comments:
Post a Comment