Friday, February 01, 2019

MADU OH MADU….


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

Ketika mentafsikan ayat di atas, at-Tobari (wafat 310H) membawakan sepotong hadis yang diambil daripada Qatadah.
Qatadah berkata: seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w.
Lelaki itu menceritakan bahawa saudaranya mengalami kesakitan di dalam perutnya.
Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Pegi balik dan beri saudaramu minum madu!”

Kemudian lelaki itu datang lagi dan berkata bahawa selepas minum madu, sakitnya tidak berkurang, bahkan bertambah teruk sakitnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Pergi balik dan beri saudaramu minum madu! Sesungguhnya Maha benarlah Allah dan telah berdustalah perut saudaramu!”

Lelaki itu pulang dan memberi saudaranya minum madu. Lantas dia terus bangkit cergas bagaikan baru terlepas dari ikatan.

Apabila membaca nukilan at-Tobari di atas, saya teringat setengah penjual madu pada masa kini yang sebahagiannya bergelar ustaz mempromosikan madunya dengan mendakwa madu-madu itu telah dibacakan al-Quran oleh penghafaz-penghafaz al-Quran dari kalangan anak-anak yatim.

Di dalam ayat di atas dengan jelas Allah menyebut “(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit)”. Ertinya madu itu sendiri yang mengandungi penawar.
Dan di dalam hadis itu pula, Rasulullah s.a.w. hanya menyuruh lelaki itu memberi minum madu kepada saudaranya. Baginda tidak berpesan supaya dibacakan ayat-ayat al-Quran terlebih dahulu sebelum diberi minum. Malah, selepas lelaki itu datang kali kedua mengadu bahawa kesakitan saudaranya makin bertambah setelah minum madu, baginda tidak juga menyarankan agar dibacakan al-Quran ke atas madu itu agar lebih mujarab. Baginda hanya mengulangi suruhannya yang pertama, iaitu “beri minum madu”.

Maka, apa yang kita perlu fahami adalah Allah ciptakan madu yang mengandungi khasiat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Namun yang menyembuhkan hanyalah Allah SWT jua. Tanpa izinNya, minum madu sebanyak manapun penyakit tidak akan sembuh.

Kita bimbang, dengan mendakwa madu yang dijual telah dibacakan al-Quran masyarakat akan keliru dan timbul pelbagai salah faham. Antaranya:

Salah faham yang pertama: bahawa dengan pembacaan ayat-ayat al-Quran menjadikan madu itu mujarab dan berharap penyakitnya akan sembuh. Padahal yang menyembuhkan hanyalah Allah.

Salah faham yang kedua: peranan ayat al-Quran disempitkan sekadar buat jampi untuk menyembuhkan penyakit. Padahal al-Quran diturunkan untuk membimbing manusia dari kesesatan kepada kebenaran, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang, membangunkan manusia dari lembah kejahilan dan menjadikan mereka umat terbaik yang memimpin manusia seluruhnya.

Salah faham yang ketiga: peranan dan kedudukan para huffaz (penghafaz-penghafaz al-Quran) hanya dilihat sekadar membaca beberapa potong ayat sebagai jampi yang diharapkan keberkatannya. Padahal peranan para huffaz sangat besar dalam menyebarkan ajaran Islam yang benar, menegakkan dan mempertahankannya.

Salah faham yang keempat: dibimbangi masyarakat akan memandang serung kepada penjual itu sendiri (sebut ustaz) dan menganggapnya sebagai menggunakan agama untuk mencari keuntungan dalam perniagaannya.

Memang benar, dan kita sama sekali tidak menafikan al-Quran juga merupakan penawar sebagaimana yang disebut di dalam firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman;…”

Menurut at-Tobari, maksud penawar (syifaa’) dalam ayat di atas adalah penawar bagi kejahilan. Beliau berkata: ahli ta’wil (tafsir) yang lain juga sama pendapatnya dengan kami (iaitu penawar dan penyembuh dari kejahilan)


Allahu A’lam. Moga bermanfaat.

No comments: