Bulan Ramadhan kian berangkat pergi. Sebahagian insan sedang
gigih berusaha mengejar lambaian terakhir bagi merebut pahala dan ganjaran yang
tiada tara, menyusuli malam-malam yang terselit di celah-celahnya
lailatul-qadar, malam-malam pembebasan dari api neraka, malam-malam I’tikaf
mencari redha Yang Esa
I’tikaf adalah satu sunnah. Ia bermaksud duduk di dalam
masjid kerana taat kepada Allah, memberikan tumpuan sepenuh hati kepada ibadah,
sama ada malam atau siang, satu jam atau satu hari, atau satu malam, atau
beberapa hari, atau beberapa malam. Ia adalah Sunnah sebagaimana firman Allah
SWT: “dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang
beriktikaf di dalam masjid.” (Al-Baqarah
2:187)
Terdapat di dalam riwayat yang sahih bahawa Rasulullah
s.a.w. beri’tikaf pada 10 terakhir Ramadhan. Pada tahun-tahun tertentu baginda
tidak melakukannya kerana beberapa sebab. Baginda juga beri’tikaf pada 10
terawal daripada bulan Syawwal. Justeru, I’tikaf adalah Sunnah. Paling afdhal
adalah di dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir.
I’tikaf adalah Sunnah yang tidak dikaitkan dengan masa. Ia boleh
dilakukan sepanjang masa. Namun tempatnya adalah di masjid yang didirikan
padanya solat berjamaah. Yang afdhal adalah masjid yang didirikan padanya solat
jumaat supaya orang yang beri’tikaf itu tidak perlu keluar untuk tunaikan solat
jumaat apabila tiba waktunya. Jika seseorang
beri’tikaf di masjid yang tidak didirikan solat jumaat, tidak mengapa. Tetapi bila
tiba waktu jumaat dia hendaklah keluar dari tempat dia beri’tikaf dan pergi
menunaikan solat jumaat.
Orang yang beri’tikaf hendaklah berniat semata-mata kerana
Allah, memberikan sepenuh tumpuan kepada ibadah dan mendampingi Allah SWT
I’tikaf ialah memutuskan hubungan dengan semua makhluk untuk
berhubung dan berkhidmat hanya semata-mata kepada Allah. Ia menghabiskan
sepenuh masa untuk beribadah, berzikir dan berdoa semata-mata.
Maksud I’tikaf ialah memberikan sepenuh tumpuan kepada
ibadah: solat, tilawah al-Quran, istighfar, doa dan lain-lain amal kebaikan.
Az-Zuhri rahimahullah berkata: “hairan sungguh kaum
muslimin! Mereka telah meninggalkan I’tikaf pada hal Rasulullah s.a.w. tidak
meninggalkannya sejak baginda berhijrah ke Madinah sehinggalah baginda wafat.}
Sesungguhnya dalam ibadah terkandung rahsia dan hikmah yang
banyak, termasuklah ibadah I’tikaf. Ini kerana I’tikaf itu berligar di sekitar
penyucian hati. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Ketahuilah bahawa di dalam
jasad terdapat mudghah. Apabila ia baik, baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia
rosak, rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa ia adalah qalb.”
Yang paling banyak merosakkan qalb ialah perkara yang
melekakan, kesibukan-kesibukan yang memalingkan dari mengadap Allah seperti
makanan, minuman, persetubuhan, perbualan-perbualan kosong, tidur berlebihan,
sahabat-sahabat yang tidak membantu kepada kebaikan dan lain-lain yang
membuatkan hati lalai dari mengingati Allah. Di sinilah pentingnya peranan I’tikaf.
Oleh kerana banyaknya perkara yang membuatkan hati
bercabang-cabang, yang merosakkan tumpuan kepada taat kepada Allah, Allah mensyari’atkan
satu ibadah yang boleh mengawal hati daripada terheret ke arah perkara-perkara
yang melalaikan. Itulah dia I’tikaf.
I’tikaf mengandungi rahsia yang besar. Iaitu mengawal
seseorang hamba daripada sahabat yang tidak membawa kebaikan. Sesungguhnya sebahagian
sahabat kadang-kadang melangkau batas kesederhanaan. Maka ia menjadi sebab
berlaku kegemukan seperti makan berlebihan.
Beri’tikaf mengawal hati daripada mengeluarkan perkataan
yang tidak berguna secara berlebihan kerana seseorang yang sedang beri’tikaf
mengahadapkan dirinya kepada Allah semata-mata dengan solat, baca al-Quran,
zikir, doa dan sebagainya.
I’tikaf mengawal diri dari banyak tidur kerana seseorang
hamba itu beri’tikaf di masjid dengan tujuan untuk menumpukan sepenuh perhatian
kepada ibadah mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai ibadah. Dia tidak datang
dan duduk di masjid untuk tidur.
Tidak syak lagi
bahawa kejayaan seseorang hamba membebaskan diri daripada sahabat yang tidak
berguna, percakapan dan tidur yang berlebihan merupakan satu saham yang dapat
membantu dalam mendorong hati ke arah menghadap Allah semata-mata dan
mengawalnya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Inilah dia peranan I’tikaf.
-
Biro Tarbiah IM
No comments:
Post a Comment