Monday, May 13, 2019

KISAH SEBILAH PISAU


Indahnya Islam. Ia bukan mengajar sesuatu prinsip dengan firman dan sabda semata-mata. Malah mengajar melalui peristiwa yang dialami dan dirasai kebenarannya.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, aku diajar tentang kemurahan Allah dan kebenaran janjiNya melalui sebilah pisau.

Setahun lalu seorang sahabat menghadiahkanku sebilah pisau yang comel yang dibelinya di sebuah negara Eropah tempat dia bekerja. Tetapi nilai sebenar pisau itu bukan terletak pada kecomelannya. Ia terletak pada ketajamannya yang sukar ditandingi. Sungguh! Sejak dihadiahkan pisau itu, rasa tak mahu lagi menggunakan yang lain untuk memotong semua bahan-bahan masakan.

Beberapa minggu yang lepas, pisau yang sangat ku sayangi itu hilang secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan, tanpa dapat diduga bagaimana ia boleh hilang? Waktu pagi ketika menyediakan sarapan ia masih ada dan digunakan seperti biasa. Waktu tengahari, masuk dapur untuk sediakan lunch pisau tidak ada di tempat simpanannya. Puas mencari di serata tempat tapi tak jumpa.
Aku segera teringat kata-kata seorang murabbi sewaktu belajar di Mesir dahulu apabila anak tunggalnya yang berusia 4 tahun meninggal dunia secara tiba-tiba: “Allah cemburu melihat kita sayangkan sesuatu itu secara berlebihan. Sebab itu semakin kita sayangkan sesuatu yang dipinjamkan kepada kita, Dia akan cepat-cepat mengambilnya kembali supaya hati kita tidak terpaut kepada selain Dia!” Subhanallah!!!

Beberapa hari lepas, aku bertemu dengan sahabat yang menghadiahkan pisau itu yang sedang bercuti. Aku tanya dia bila hendak ke sana lagi kerana aku mahu kirim belikan pisau yang sama. Dia mengajak aku singgah di rumahnya. Dia menunjukkan beberapa bilah pisau yang belum digunakan. Aku meminta untuk membelinya tetapi dia enggan menjualnya. Sebaliknya dia menghadiahkannya kepadaku. Bukan satu. Tetapi 3 bilah! Ma syaa Allah.

Itulah pengajarannya. Bila Allah tarik sesuatu dari kita, pasti ada perancangan yang lebih baik dariNya untuk kita. Maka aku teringat jawapan Khidir kepada soalan Musa kenapa dia membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa:

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.” (Al-Kahfi 18:80-81

No comments: