Sunday, May 05, 2019

AGENDA RAMADHAN

AGENDA RAMADHAN 1 : PUASA

v 1.  Puasa Ramadhan merupakan satu daripada Rukun Islam. Meninggalkannya dengan sengaja bukan sahaja satu dosa besar malah boleh membawa kepada runtuhnya binaan Islam itu sendiri.
v 2.  Ganjaran yang besar bagi orang yang berpuasa. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan ganjaran untuknya; satu kebaikan digandakan dengan 10 kali seumpamanya sehingga mencapai 700 kali ganda. Allah berfirman: “Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untukKu. Dan Akulah yang memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwahnya dan makanannya demi keranaKu…” Riwayat Muslim
v 3.  Diampuni dosa yang lalu. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan iman dan ihtisab (mengharap keampunan serta keredhaan Allah), diampunkan dosanya yang lalu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim
v 4.  Memasuki syurga melalui pintu khas yang dinamakan ar-Rayyan berdasarkan maksud hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
v 5.  Lambang pengabdian yang hakiki kepada Ilahi

AGENDA RAMADHAN 2 : QIAMUL-LAIL

1.     Qiamaul-lail bermaksud menghidupkan malam dengan ibadah, khususnya solat seperti tarawih, tahajjud, tasbih dan lain-lain bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengharap mardhatillah, rahmah serta maghfirahNya.
2.     Sungguhpun ianya sunat, ganjarannya sama dengan puasa wajib dari segi diampunkan dosa yang lalu. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam Ramadhan dengan iman dan ihtisab, diampuni dosanya yang lalu.” Muttaqafaq ‘alaih daripada Abu Hurairah r.a.
3.     Qiam boleh dilakukan di masjid atau di rumah, sendiri atau berjamaah.
4.     Sesiapa yang mampu, seeloknya berusaha melaksanakan solat tarawih secara berjamaah di masjid kerana terdapat kelebihan sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis yang bermkasud: “Sesiapa yang qiam bersama imam sehingga dia beredar, ditulis untuknya qiam satu malam penuh.” Abu Daud drpd Abu Dzar r.a.

AGENDA RAMADHAN 3 : AL-QURAN

1.     Allah telah memilih dan memuliakan Ramadhan dengan menjadikannya bulan permulaan turunnya kitab suci, panduan hidup yang menjadi penghubung di antara al-Khaliq dengan makhluqNya, di antara Tuhan yang memiliki segala dengan hambaNya yang hina dina.
2.     Allah juga telah memilih perkataan Iqra’ yang bermaksud bacalah sebagai perkataan pertama memulakan wahyuNya. Perintah supaya membaca sudah tentu mengandungi hikmah yang sangat besar kerana dengan membaca kita dapat menggali segala khazanah ilmu yang terkandung di dalam tulisan yang kita baca di samping dapat mengenali sifat-sifat sang penulisnya.
3.     Justeru, amat wajar kita jadikan Ramadhan ini sebagai bulan mendampingi al-Quran dengan membaca, mempelajari, mengamal dan menyebarkannya.
4.     Allah mengangkat hambaNya yang berinteraksi dengan al-Quran menjadi hamba yang terbaik di sisiNya. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: ““Sebaik-baik kamu ialah orang yg belajar al-Quran dan mengajarnya.” Al-Bukhari. Perhatikan! Belajar sahaja sudah menjadi manusia terbaik di sisiNya.
5.     Selain daripada mendapat ilmu, petunjuk dan panduan hidup serta ditinggikan darjat, kita juga diberikan ganjaran pahala yang tidak terhingga banyaknya. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, baginya satu hasanah. Dan untuk satu hasanah itu 10 kali ganda seumpamanya.” At-Tirmizi

AGENDA RAMADHAN 4 : MENJEJAKI LAILATUL-QADAR

1.     Satu daripada keistimewaan Ramadhan yang juga merupakan bukti kasih sayang Allah kepada kita, dianugerahkan satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang dinamakan Lailatul-Qadar.
2.     Walaupun tidak dinyatakan dengan tepat bilakah Lailatul-Qadar itu, namun Sunnah Nabi s.a.w. memberikan petunjuk yang jelas bahawa ia jatuh pada salah satu malam daripada 10 terakhir. “Apabila masuk 10 malam terakhir, baginda mengemaskan ikatan kain sarungnya dan menghidupkan seluruh malamnya serta membangunkan ahli keluarganya.” (Muttafaq ‘alaih)
Menjejaki satu malam daripada 10 malam tentulah jauh lebih muda daripada menjejaki satu malam daripada 30 malam. Dan daripada 10 malam itu diperkcilkan lagi kepada malam-malam yang ganjil sebagamana dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud:
“Carilah Lailatul-Qadar itu pada malam witir(ganjil) daripada 10 terakhir Ramadhan.” (Al-Bukhari)
3.     Ganjaran qiam pada malam itu sama dengan qiam Ramadhan sepenuhnya dan sama dengan puasa satu bulan Ramadhan, dari segi penghapusan dosa. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yg qiam pada malam al-Qadar dengan iman dan ihtisab, diampunkan dosanya yang lalu.” (Muttafaq ‘alaih)
4.     Bersedialah dan rancanglah dengan sebaik-baiknya untuk mengisi 10 malam terakhir itu dengan amalan-amalan yang baik seperti solat, tilawah, istighfar, zikir, doa, selawat, sedekah, mengajak kepada kebaikan, menghubungkan silatul-rahim dan banyak lagi. Jangan biarkan malam-malam itu berlalu tanpa amal.

AGENDA RAMADHAN 5 : SENARAI SEMAK

1.     Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah 2:183)
Di dalam ayat ini dengan jelas Allah menyebut bahawa puasa boleh menjadikan seseorang mukmin itu termasuk di dalam golongan mereka yang bertaqwa.
2.     Bukti Allah sangat sayangkan kita, hambaNya yang beriman. Maka Dia membimbing kita menjadi orang yang bertaqwa. Orang yang bertaqwa merupakan orang yang paling mulia di sisiNya (Al-Hujurat:13), taqwa adalah pra syarat untuk mendapat hidayah daripada al-Quran (Al-Baqarah:2) dan oramg yang bertaqwa akan berjaya memperolehi anugerah syurga (An-Naba’:31)
3.     Bagaimana hendak mengukur sama ada kita berjaya menjadi orang yang bertaqwa atau sebaliknya? Kita boleh mengukur berpandukan ciri-ciri muttaqin yang dinyatakan secara terperinci di dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang menginfaqkan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (A-li'Imraan 3:133-135)
Dan firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.
(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.
Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (Adz-Dzaariyaat 51:15-19
Ciri-ciri muttaqin yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah:
Pemurah
Menahan marah
Pemaaf
Segera bertaubat jika terlanjur melakukan dosa
Kurang tidur di waktu malam kerana beribadah kepada Allah
Beristighfar di waktu sahur @ dinihari
Suka berbuat kebaikan dan melakukannya dengan cara yang terbaik (muhsinin)

4.     Sepanjang bulan Ramadhan ketika menjalani ibadah puasa, itulah ciri-ciri yang digalakkan kita menghayatinya. Maka perhatikanlah setelah tamatnya Ramadhan apakah ciri-ciri itu melekat dan sebati dengan diri kita atau sebaliknya? Ciri-ciri inilah yang menjadi senarai semak sama ada puasa yang kita jalani mencapai objektif atau sebaliknya.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.

MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN

No comments: