Seringkali lambat
atau cepat dikiaskan dengan masa, dahulu atau kemudian. Namun kadang-kadang
yang terkemudian dari segi masa dapat mengatasi orang yang mendahuluinya.
Sebagai contoh,
Abu ad-Dardaa’ Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-khazraji r.a. merupakan
orang terakhir dari kalangan Ansar yang memeluk Islam. Namun kedudukannya di
kalangan para sahabat r.a. tetap tidak kurang hebatnya.
Kehebatan Abu
ad-Dardaa’ diperakui oleh Rasulullah s.a.w.
Baginda berkata
tentang Abu ad-Dardaa’: “Sebaik-baik pahlawan berkuda ialah Uwaimir (Abu ad-Dardaa’)”.
Baginda juga mengiktiraf Abu ad-Dardaa’ sebagai “Hakim ummati” bermaksud “pujangga
umatku”
Abu ad-Dardaa’
juga merupakan salah seorang daripada empat individu yang mengumpul al-Quran
sepenuhnya pada zaman Nabi s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari
daripada Anas bin Malik r.a. yang berkata: “Ketika Nabi s.a.w. wafat hanya
empat orang yang mengumpul al-Quran sepenuhnya, iaitu Abu ad-Dardaa’, Mu’az bin
Jabal, Zaid bin Tsabit dan Abu Zaid”.
Bagaimanakah
Abu ad-Dardaa’ terbuka hati untuk memeluk Islam?
Beliau pada
asalnya seorang yang menyembah berhala. Pada suatu hari Abdullah bin Rawwahah
dan Muhammad bin Maslamah, sahabat baik Abu ad-Dardaa’ semasa jahiliah datang ke
rumah Abu ad-Dardaa’ ketika beliau tiada di rumah. Mereka berdua memecahkan
berhala yang disebah oleh Abu ad-Dardaa’.
Apabila Abu
ad-Dardaa’ pulang, didapati berhalanya berserakan. Dia mengumpulkan
serpihan-serpihan berhalanya seraya berkata: “Hei! Kenapa kamu tidak
menghalang? Kenapa kamu tidak mempertahankan diri?”
Mendengar rungutan
Abu ad-Dardaa’ itu, isterinya mencelah: “Kalau berhala itu dapat memberi
manfaat atau dapat mempertahankan seseorang, pasti dia mempertahankan dirinya
dan memberi manfaat kepada dirinya sendiri!”
Lantas Abu
ad-Dardaa’ berkata kepada isterinya: “Sediakan air mandi untukku di bilik
mandi!”
Beliau terus
mandi dan memakai pakaiannya dengan kemas. Kemudian pergi menemui Nabi s.a.w.
di mana ketika itu Abdullah bin Rawwahah ada di sisi baginda s.a.w.
Apabila
ternampak Abu ad-Dardaa’ menghampiri mereka Abdullah berkata: “Ya, Rasulullah,
itu Abu ad-Dardaa’ datang. Pastinya dia datang untuk menuntut bela ke atas
kami!” Rasulullah s.a.w. menenangkan Abdullah dengan sabdanya: “Sesungguhnya
dia datang untuk memeluk Islam. Sesungguhnya Tuhanku telah menjanjikanku bahawa
Abu ad-Dardaa’ akan memeluk Islam.”
Pengajarannya:
Tak usah
bandingkan diri kita dengan orang lain. Pergunakan sepenuhnya masa dan peluang
yang ada. In syaa Allah setiap orang punya bakat dan potensi yang tersendiri.
https://islamstory.com/ar/artical/33982/الصحابي_أبو_الدرداء
No comments:
Post a Comment