Merdeka bererti bebas.
Kemerdekaan dan kebebasan adalah hak asasi manusia yang
diperakui oleh semua pihak. Di Malaysia terdapat satu badan yang ditubuhkan
oleh kerajaan dinamakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi
mempastikan hak asasi semua golongan tidak terabai.
Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. pernah mengungkapkan
kata-katanya yang masyhur berkaitan dengan hak kebebasan manusia: “Bilakah kamu
memperhambakan manusia, pada hal mereka telah dilahirkan oleh ibu mereka
sebagai insan yang merdeka?”
Manusia yang merdeka ialah manusia mempunyai kebebasan untuk
memilih dan melakukan sesuatu tanpa sekatan dan halangan dari pihak lain. Namun
dengan kebebasan yang dimiliki, terdapat golongan menyalahgunakannya.
Islam memberi panduan agar setiap umatnya, malah setiap
insan supaya membuat pertimbangan dan memilih bukan sahaja memilih yang baik
tetapi yang terbaik.
Ukuran baik atau buruk sesuatu yang dipilih bukan mengikut
neraca nafsu, atau mengikut keperluan, kemaslahatan dan keuntungan jangka
pendek. Sebaliknya ia mesti dinilai dan dilihat mengikut neraca iman serta
keuntungan jangka panjang.
1.
Memilih antara iman atau
kufur
Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan katakanlah (wahai
Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa
yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar,
biarlah dia mengingkarinya". (Al-Kahfi 18:29)
Jelas di dalam ayat di atas, manusia diberi hak sepenuhnya
untuk memilih sama ada mahu beriman atau sebaliknya.
Justeru, Rasulullah s.a.w. serta pendakwah wajib
menyampaikan Islam yang sebenar dengan terang dan jelas agar manusia memahami
dengan kefahaman yang betul. Kemudian merekalah yang memilih sama ada mahu
menerima atau menolak berdasar bukti dan hujjah. Bukan menolak atas sebab
kejahilan, kekeliruan, kebencian, salah faham atau sebagainya.
2.
Memilih antara bercakap atau
diam
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan
Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap perkara yang baik atau hendaklah
dia diam!” Riwayat Muslim
Kelebihan manusia adalah keupayaannya untuk bercakap dan meluahkan
apa saja yang berligar di dalam hati, yang terlintas di dalam minda, yang
tercetus di dalam perasaan melalui kata-kata dan percakapan. Namun tidak semua
perkara yang terhimpun di dalam diri kita baik untuk diluahkan.
Kita bercakap
bukan kerana kita suka bercakap. Sebaliknya Islam mengajar kita berfikir
terlebih dahulu apa yang patut kita cakap dan apa yang tidak. Bercakap bukan
hanya untuk memuaskan hati dan nafsu yang suka bercakap, tetapi difikirkan
kesan baik atau buruknya. Baik atau buruk itu bukan setakat di dunia yang
sementara ini. Sebaliknya kesan jangka panjang di akhirat kelak. Semua kata-kata
dicatat dan diperhitungkan di akhirat nanti. “Tidak ada sebarang perkataan yang
dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya
malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaaf 50:18)
Jadi, orang yang beriman hanya ada dua pilihan sahaja:
bercakap perkara yang baik atau diam. Tidak ada pilihan untuk bercakap perkara
yang buruk, yang sia-sia, yang tidak berfaedah dan seumpamanya.
3.
Memilih antara sabar atau
membalas dendam
Sebuah kisah yang masyhur tentang Nabi s.a.w. yang pergi ke
Taif untuk menyampaikan dakwah kepada penduduk di sana. Baginda mendapat layanan
yang sangat buruk. Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima dakwah baginda,
malah menghalau baginda dengan membaling batu, kaya dan sebagainya sehingga
luka dan berdarah.
Dalam perjalanan pulang ke Mekah baginda berhenti di suatu
tempat. Ketika itu Allah mengutus malaikat penjaga gunung menawarkan kesediaan
mereka untuk menghempap gunung-ganang ke atas penduduk Taif sebagai balasan ke
atas keingkaran dan layanan paling yang mereka lakukan kepada Pesuruh Allah
yang mulia. Malaikat menunggu apa saja yang Rasulullah s.a.w. perintahkan,
mereka akan segera laksanakan dengan izin Allah. Namun Rasul yang mulia tidak
memilih untuk membalas dendam kerana baginda berdakwah bukan untuk kepentingan
dirinya, tetapi untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan dan mengajak mereka kepada
kebenaran Islam.
Baginda berkata kepada malaikat bahawa baginda tidak mahu
mereka dibinasakan, sebaliknya baginda berharap akan lahir zuriat keturunan
mereka yang beriman dan memeluk Islam.
4.
Memilih antara penjara atau
membuat dosa
Allah Ta’ala
berfirman maksudnya: “Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai
Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu
ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya
mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari
orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".
Nabi Yusuf ‘alaihis-salam dikurniakan kelebihan memiliki
wajah yang amat kacak dan menawan. Kebanyakan wanita pada masa itu bermula
dengan ibu angkatnya sendiri tidak dapat menahan nafsu berahi mereka apabila
terpandangkan wajahnya yang sungguh lawa. Mereka rela menyerahkan diri mereka
kepada Nabi Yusuf untuk memuaskan nafsu kesyaitanan yang amat keji.
Kalau mengikut neraca dunia, mengapa harus ditolak ajakan
mereka? Bukankah itu peluang besar untuk seorang jejaka yang masih muda belia melempiaskan
nafsu semahu-mahunya? Mengapa memilih penjara yang menyesakkan? Penjara yang menyekat
dan membataskan kebebasan dan pergerakan?
Itulah Islam mengajar kita tentang erti kebebasan di dalam
membuat pilihan. Tidak ada tolak ansur dalam memilih kejahatan walaupun
terpaksa menghadapi apa jua kemungkinan termasuk meringkuk di dalam penjara
bertahun-tahun lamanya.
5.
Memilih antara tangguh atau
lupus
Allah Ta’ala
berfirman maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan
hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa
kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu
mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Al-Baqarah 2:280)
Ayat ini ditujukan kepada pemberi hutang.
Lumrahnya orang yang berhutang terdiri dari kalangan mereka
yang kurang atau tidak berkemampuan. Mereka terpaksa berhutang untuk memenuhi
keperluan diri atau keluarga. Dan pemberi hutang pula biasanya terdiri dari
mereka ada lebihan walaupun tidak kaya.
Apa yang digambarkan di dalam ayat di atas ialah ketika
sampai waktu untuk membayar hutang, si berhutang tidak mampu untuk
melunaskannya. Maka Allah mendidik pemberi hutang agar bermurah hati memberi
tempoh. Dan pada masa yang sama memberi peluang memilih tindakan yang lebih
baik, iaitu lupuskan hutang tersebut.
Jadi, memberi tempoh itu wajib. Melupuskan adalah sunat. Namun
ganjaran yang menanti di sisi Allah lebih besar. Kita tetap mempunyai kebebasan
untuk memilih.
6.
Memilih antara membalas
atau memaaf
Jabir r.a. menceritakan bahawa beliau mengikuti Rasulullah
s.a.w. di dalam suatu peperangan. Di dalam perjalanan pulang mereka singgah
berehat di waktu tengah hari di suatu lembah yang banyak pokok. Masing-masing
mencari pokok untuk merehatkan diri dan berteduh. Lantas merea semua tertidur. Rasulullah
s.a.w. berteduh di bawah sebatang pokok. Pedangnya digantung didahan pokok
tersebut.
Jabir berkata: Tiba-tiba kami terdengar Rasulullah s.a.w.
memanggil kami. Di sisinya terdapat seorang lelaki arab badwi. Baginda berkata:
“Sesungguhnya lelaki ini menghunuskan pedang kepunyaanku ke arahku ketika aku
sedang tidur. Lalu aku terjaga. Dia berkata kepadaku: “Siapakah yang boleh menghalang
aku dari membunuhmu sekarang?” Aku menjawab: “Allah!”
Maka pedang yang sedang terhunus di tangannya terjatuh.
Rasulullah s.a.w. mengambil pedang itu dan berkata kepada
lelaki itu: “Siapakah yang dapat menghalang aku dari membunuhmu sekarang?”
Lelaki itu menjawab dan merayu: “Jadilah engkau sebaik-baik
orang yang mengambil pedang itu!”
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah engkau mahu bersyahadah
bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku adalah pesuruh Allah?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak. Tetapi aku berjanji tidak akan
memerangimu dan tidak akan bersama dengan kaum yang memerangimu.”
Maka lelaki itu kembali menemui kaumnya dan berkata: “Aku
kembali kepada kamu dari menemui seorang manusia terbaik dari kalangan semua
manusia.” Muttafaq ;alaih.
7.
Memilih antara sembunyikan
atau isytiharkan
Memberi sedekah adalah satu amalan yang mulia. Namun jika
tersalah niat amalan jadi sia-sia. Hanya yang ikhlas sahaja akan mendapat
ganjaran berlipat ganda di sisi Allah SWT.
Di dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang),
maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau
pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang
fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari
kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Di dalam ayat di atas, Allah mengingatkan orang beriman agar
sentiasa menjaga dan membetulkan niat ketika memberi sedekah atau apa-apa
sumbangan. Sama ada sumbangan itu diberikan secara diam-diam atau secara
terang-terangan, itu bukan persoalan pokok. Ia adalah kaedah dalam menghulurkan
sumbangan. Mukmin diberi kebebasan memilih salah satu daripada kaedah tersebut
selagi ia dapat menjaga keikhlasan di dalam memberi. Dan Allah tetap sentiasa
menghitung dan memerhati.