Sesungguhnya tarbiah
kita tegak di atas landasan memperdalamkan asas-asas keimanan, memantapkan
hubungan persaudaraan, memakmurkan hati dan menjaga lidah. Kita mencampakkan jauh-jauh
perasaan dengki dan membangunkan takaful, kerjasama dan saling membantu.
Kita mengeluarkan diri
dari kesempitan keqabilahan, kedaerahan dan kepuakan kepada keluasan taaruf,
kelapangan amal yang bertebaran merata-rata di segenap ufuk.
Kita meletakkan
perasaan jahiliah di bawah tapak-tapak kaki kita. Kita menyahut seruan dan
perintah seorang negro yang hitam jika dia lebih berilmu dan lebih
berkelayakan.
Hala tuju kita dipandu
oleh iman. Syarat perjalanan kita adalah Islam. Dan perasaan kita terhadap
orang lain adalah persaudaraan.
Kita tidak mengenal
kebencian dan tidak membenarkan umpatan.
Tahukah kamu berapa
jilid ensiklopedia boleh dibukukan daripada kata-kata tidak berguna yang
dihamburkan ketika berlaku perselisihan pandangan?
Berapa jam amalan
terbengkalai tanpa sebarang hasil pada waktu yang dihabiskan untuk melayan dan
menterjemah prasagka yang bukan-bukan?
-
Ustaz Umar Telemsani Mantan Mursyid Am Ikhwan Muslimin
Tarbiah Kita II
Yang menakutkan kita
bukan sedikitnya bilangan atau kurangnya persiapan dan bekalan. Tetapi yang
paling menakutkan ialah kita lupa diri kita, lalu kita tidak mempunyai hubungan
yang baik dan intim dengan Allah Ta'ala.
Kalau kita beriman
dengan sebenar-benar iman nescaya kita akan menang dengan isyarat jari sahaja.
Kita tidaklah
mengharapkan kita hidup dalam keadaan ikhlas dengan sebenar-benar ikhlas
sepanjang hayat kita. Cukuplah kalau kita dapat menghayati keikhlasan yang
hakiki dalam satu detik sekadar satu rukuk sahaja.
Sesungguhnya, bukan
dengan kepetahan dan bermuka-muka yang menyampaikan kita kepada matalamat
dakwah kita. Sebaliknya yang menyampaikan kita adalah tawakkal dan doa. Kita
mesti sentiasa berdoa, "Ya Allah, tiada yang mudah kecuali apa yang Engkau
jadikannya mudah".
Bantu membantu sesama
mukmin juga asas yang tidak boleh dipandang kecil. Dengan pertolongon sesama mukminlah akan zahirnya taqdir Allah dalam memberi
kemenangan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: "Dialah yang menguatkanmu
dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.”
(Al-Anfal:62)
Aku perhatikan, di
antara keindahan akhlak jamaah tabligh, apabila salah seorang daripada mereka
berdiri untuk memberi nasihat atau peringatan kepada manusia, kawan-kawannya
menadah tangan berdoa agar dia dapat berkata dengan betul, dan Allah beri
kepadanya kelancaran dalam berbicara dengan bahasa yang tepat dan mudah
difahami.
Alangkah indahnya
kalau semua pendakwah berbuat demikian ketika sahabatnya berbicara. Tetapi
sayangnya, hasutan syaitan dalam situasi
dan suasana fitnah yang melanda menjadikan seseorang itu bercita-cita agar orang yang
berlainan pendapat dengannya gagap dan merapu ketika berbicara, biar dia lupa
tatabahasa, dan tidak dapat mencari kata-kata untuk diucapkan...
La haula wala quwwata
illa billah… wainna lillahi wainna ilaihi raji’un.
Bukankah asy-Syafi’e
pernah berkata: "Aku tidak pernah berdialog dengan seseorang kecuali aku bercita-cita
agar Allah menzahirkan kebenaran melalui lidahnya.”!!??
-
Ustaz Umar Telemsani Mantan Mursyid Am Ikhwan Muslimin
1 comment:
https://perempuanhujungkampung.blogspot.com/
Post a Comment