Allah SWT berfirman menceritakan kisah Nabi Nuh a.s. ketika
berdakwah kepada kaumnya. FirmanNya itu bermaksud:
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun
kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan
hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
"Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan
banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu
kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di
dalamnya).”
Ayat di atas menyebut beberapa manfaat istighfar, sama ada
manfaat duniawi maupun ukhrawi.
Pertama: Dengan sifatNya yang Maha Pengampun, diharapkan Dia akan
menghapuskan dosa-dosa kita. Apabila dosa dihapuskan maka kita akan terlepas
dari siksa api neraka. Ini manfaat akhirat yang sangat-sangat kita harapkan.
Kedua: ini merupakan manfaat di dunia, iaitu dimurahkan rezeki
yang dinyatakan di dalam ayat ke 11 dengan ungkapan “Dia akan menghantarkan hujan lebat
mencurah-curah, kepada kamu;”. Hujan adalah lambang kepada rahmat serta rezeki.
Betapa tidak? Apabila turunnya hujan bumi menjadi subur. Pokok-pokok yang
merupakan sumber makanan dan pelbagai kegunaan kita akan tumbuh dengan subur.
Ketiga: ekoran daripada hujan yang turun mencurah-curah, sungai-sungai
mengalirkan air tanpa henti, harta pun akan bertambah dengan kebun-kebun yang
terdiri dari pelbagai jenis tanaman serta haiwan ternakan yang bermacam-macam dan
lain-lain lagi.
Keempat: bukan sahaja bumi menjadi subur dengan hasil tanaman,
diri kita juga bertambah sihat dan segar. Maka zuriatpun bertambah.
Lihat, betapa banyaknya manfaat istighfar. Manfaat yang sering
kita dambakan sepanjang hayat di dunia sehingga ke akhirat.
Lantaran itu kita dapati para ulama salafus-soleh menjadikan istighfar
sebagai budaya hidup mereka terutama ketika berhadapan dengan kesukaran dan
cabaran dalam kehidupan. Umpamanya Imam Ibn Taimiyyah pernah berkata,
“Kadang-kadang aku buntu memikirkan sesuatu masalah dan tidak menemui jalan
penyelesaiannya. Lalu aku beristighfar 1000 kali sehingga dadaku menjadi lapang
dan masalah yang aku hadapi terungkai. Hal itu terjadi tidak mengira tempat,
kadang-kadang ketika aku berada di pasar, di masjid atau di sekolah. Semua itu
tidak menghalang aku daripada berzikir dan beristighfar sehingga tercapai apa
yang aku hajati.”
Al-Hasan al-Basriy pula berkata, “Banyakkanlah beristighfar di
rumah-rumah kamu, di tempat-tempat hidangan kamu, di jalan-jalan kamu, di
pasar-pasar kamu dan di tempat-tempat duduk kamu. Sesungguhnya kamu tidak
mengetahui bilakah keampunan akan turun ke pangkuan kamu.”
No comments:
Post a Comment