Wednesday, November 27, 2019

SYUKUR



Syukur ialah menggunakan setiap ni’mat yang diterima dengan sebaik-baiknya sesuai dengan kehendak Pemberi ni’mat. 
Contoh-contoh penggunaan ni’mat dengan cara yang terbaik :

-      Akal berfikir tentang kebesaran Allah dengan memerhati dan merenungi kesempurnaan serta keindahan makhluk ciptaanNya
-      Dahi sujud ke bumi sebagai bukti penyerahan diri secara total kepada Allah
-      Mata menangis kerana takutkan Allah
-      Lidah sentiasa basah dengan zikrullah
-      Tangan menghulur menabur bakti dan kebaikan 
-      Kaki berjalan meredah segala rintangan menuju ke rumah Allah, berdakwah dan berjihad demi menegakkan agama Allah


Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini termasuk dalam kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur.

Sunday, November 24, 2019

PENDAKWAHKAH AKU?


Rasa ingin berkongsi satu pengalaman sepanjang perjalanan di “jalan dakwah” ini. Tak pasti adakah perkongsian ini membawa manfaat atau sebaliknya. Apa yang saya harapkan, sahabat-sahabat yang terpandang tulisan ini, bacalah dengan hati yang terbuka, dada yang lapang tanpa prejudis dan syak wasangka kepada mana-mana pihak. (NOKTAH)

Saya mendapat jemputan menyampaikan kuliah maghrib di sebuah surau di suatu kampong yang agak terperosok ke dalam. Perjalanan memakan masa lebih kurang dua jam pergi dan dua jam balik.

Sunnah dalam berdakwah ialah keluar mencari mad’u, bukan menunggu dipanggil atau diundang. Sebab itu apabila dijemput, saya rasa amat bersalah untuk menolak. Lebih-lebih lagi jika masa yang ditentukan itu saya masih “free” dan suami pula bukan sahaja mengizinkan saya pergi, malah dia yang bersedia untuk menemani.

Setelah saya menyatakan persetujuan, pihak penganjur bertanya, berapakah jumlah yang mereka perlu bayar? Soalan yang saya paling tidak gemar. Namun secara jujur dan terus terang saya jawab bahawa saya hanya ingin berkongsi sedikit ilmu yang Allah kurniakan. Tiada caj apa-apa.

Tiba hari yang dijanjikan saya yang ditemani suami sampai kira-kira satu setengah jam sebelum maghrib. Kami ditumpangkan di rumah bendahari sementara menunggu masuk waktu. Sebelum keluar rumah, beliau menghurulkan sebuah sampul, “sumbangan dari pihak surau” katanya. Memang begitu kebiasaannya. Walaupun kita tidak minta, pihak penganjur tetap mahu memberi juga. 

Keesokan harinya barulah saya sempat membuka sampulnya. Alangkah terkejutnya ia mengandungi wang tunai 4 angka! Bagi saya sangat tidak munasabah dengan kuliah mangrib yang saya sampaikan dalam masa satu jam sahaja.

Saya menghantar mesej kepada penganjur, mengatakan sumbangan itu terlalu banyak untuk perkongsian yang tak seberapa. Beliau menjawab:
“Takpe ustazah..
Itu yg dah dibuat budget..
Pengalaman saya mencari penceramah ni memang tak macam ustazah....
Yg lebih kurang seperti ustazah mereka kenakan caj sampai 3k, 5k, malah yg ada sampai 10k utk satu slot….”

Jawapan yang membuatkan saya berfikir panjang. 

Apa yang saya pegang, dakwah adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas seluruh umat Islam. Saya selalu risau memikirkan betapa besar tanggungjawb ini sedangkan usaha yang saya lakukan sangatlah kerdil. Maka apa hak saya untuk mengenakan bayaran daripada orang yang membuka peluang kepada saya menjalankan sedikit tanggungjawab yang diamanahkan?

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya dan membantu saya menjalankan tanggungjawab yang berat ini selagi hayat di kandung badan. 

Sunday, November 17, 2019

RAHMAH DALAM BERDAKWAH


Kadang-kadang apabila mendengar tazkirah yang disampaikan oleh sesetengah penceramah, kita merasakan seolah-olah kita insan yang tidak berguna langsung di sisi Allah. Kita ahli neraka yang tidak akan berpeluang mencium harumnya syurga. 
Saya pernah mendengar seorang penceramah berkata, “Orang yang hina Allah dan Rasul, cop di mukanya sebagai kafir. Gantungkan namanya di masjid dan surau. Apabila dia mati, jangan solatkan dia dan jangan tanam di tanah perkuburan orang Islam!” 
Allahu … adakah begitu mudah? Tanpa proses perbicaraan dan penghakiman yang saksama, dia terus dikeluarkan dari senarai orang Islam? Adakah itu satu kejayaan kepada dakwah apabila kita dengan segala senang hati dapat mengenyahkan orang yang berdosa dari agama yang mulia ini dan menambahkan bilangan ahli neraka bersama iblis serta konco-konconya?

Allah Ta’ala mengutus Rasul-Nya untuk membimbing hamba-Nya ke syurga, bukan untuk menjadikan mereka penghuni neraka. Memang benar Rasul s.a.w. diutus membawa khabar gembira dengan balasan syurga (basyir) dan memberi peringatan akan siksa neraka (nazir). Namun, jika kita perhatikan, kebanyakan ayat mendahulukan basyir daripada nazir sebagaimana tertera di dalam ayat-ayat berikut:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira(kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran(kepada orang-orang yang ingkar)…” Al-Baqarah 2:119 

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira(kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran(kepada orang-orang yang ingkar);…” (Saba’ 34:28)

“Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira(kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran(kepada orang-orang yang ingkar);..” (Faatir 35:24) 

Justeru, kita melihat Rasulullah s.a.w. selalu mempamerkan sifat mesra dan rahmah kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum hatta yang telah sabit melakukan maksiat. 

Daripada Umar bin al-Khattab r.a. “Bahawasanya terdapat seorang lelaki diberi gelaran Himar. Dia menghadiahkan kepada Rasulullah s.a.w. semangkuk minyak sapi dan semangkuk madu. Apabila penjaulnya datang menuntut harganya dia membawa penjual itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
Dia berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Ya Rasulullah, bayarkanlah kepada lelaki ini harga barang-barangnya!”
Rasulullah s.a.w. hanya tersenyum dan mengarahkan supaya dibayarkan apa yang diminta oleh peniaga itu.
Pada suatu hari, Himar dihadapkan kepada Nabi s.a.w. kerana meminum arak. Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia! Sudah banyak kali dia dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w.” 
Rasulullah s.a.w. menegur lelaki itu, “Jangan kamu laknat dia kerana sesungguhnya dia mencintai Allah dan RasulNya.”
Riwayat Abu Ya’la. Beberapa orang pentahqiq mengatakan sanadnya sahih.

Al-Bukhari meriwayatkannya dengan lebih ringkas daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawasanya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi s.a.w. bernama Abdullah. Dia dipanggil dengan gelaran Himar. Dia suka membuatkan Rasulullah s.a.w. tertawa. Baginda pernah menyebatnya kerana meminum arak. Pada suatu hari dia dihadapkan lagi kerana kesalahan yang sama. Baginda memerintahkan supaya dia disebat.
Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah banyak kali dia ditangkap!”
Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah kamu melaknatnya. Demi Allah, aku mengetahui bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” 

Ini tidak bermakna kita tidak perlu takut melakukan dosa kerana Allah bersifat Maha Penyang. Atau pihak pemerintah membiarkan saja manusia melakukan jenayah atas nama rahmah dalam berdakwah. Apa yang ingin ditekankan bahawa pendakwah mesti mendahulukan perkara yang menggembirakan, yang menjadi daya tarikan untuk manusia kembali kepada agama Allah dan mengharap rahmah serta keampunanNya. Rasulullah s.a.w. sendiri beberapa kali menghukum sahabatnya Himar kerana meminum arak. Pun begitu baginda s.a.w. melarang apabila terdapat sahabat yang mendoakan agar dia dilaknat.

Friday, November 15, 2019

KEINSAFAN



Luasnya rahmatMu tidak terjangkau
Dalamnya kasihMu tidak tergapai
Indahnya cintaMu tidak terlukis
Damainya belaianMu tidak terungkap
Melimpahnya kurniaanMu tidak tersukat


Suatu ketika diri ini
Belum disebut apa-apa
Belum diketahui di alam mana
Belum teruji beriman atau mendusta
Belum terbongkar setia atau derhaka

Dengan iradah dan qudrahMu jua
Diri ini tercipta
Dilahirkan daripada tiada
Lalu diberi nama manusia
MakhlukMu 
Yang dimuliakan
Yang dibentuk seindah kejadian
Yang dibahunya amanah kekhalifahan dipikulkan 

Dengan rahmatMu jua
Diri ini bisa
Mengenal dunia
Melihat indahnya mayapada
Mendengar merdunya suara 
Kicauan mergastua
Deruan ombak di pesisiran
Desiran angin nan sepoi-sepoi Bahasa

Dengan limpah kurniaMu jua
Aku disimbahi cahaya hidayah
Menyuluh jalan lurus yang membawa ke syurga
Dan aku mengenali
Nama-namaMu Yang Maha Indah
NabiMu yang rahmah
KitabMu yang barakah
Syari’ahMu yang mutakamilah

Dengan cintaMu nan Agung
Engkau limpahkan segala
Berdosa, Engkau ampunkan
Kesepian, Engkau hiburkan
Kelaparan, rezeki Engkau curahkan
Sakit, Engkau sembuhkan
Sempit, Engkau lapangkan
Engkau terlalu hampir
Engkau selalu mampir

Ampuni daku ya Rabbku
Aku sedang menunggu waktu
Untuk pulang ke asalku
Mengharap redha dan rahmatMu
Engkau Ilahku
Satu-satunya tiada sekutu

Shah Alam
18031441
15112019

Wednesday, November 13, 2019

RAHMAH ALLAH YANG TIDAK TERJANGKAU


Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Seorang lelaki (pada zaman dahulu) telah melampaui batas ke atas dirinya. Manakala maut menjenguknya, dia berwasiat kepada anakn-anaknya, “Setelah aku mati, bakarlah tubuhku, hancur-lumatkan abunya kemudian taburkanlah ia ke dalam laut. Demi Allah, sekiranya Tuhanku berkuasa untuk mengazabkanku dengan azab yang tidak dapat ditandingi oleh seseorangpun, Dia tetap akan mengazabkanku.”
Setelah dia mati, anak-anaknya melaksanakan wasiatnya. Maka Allah perintahkan bumi supaya mengumpul semua abu tubuhnya yang telah diterbangkan angin ke dalam laut. Lantas dengan tiba-tiba dia tegak berdiri. Maka Allah menyoalnya, “Apakah yang mendorong engkau berbuat demikian?”
Dia menjawab, “Kerana aku takut kepadaMu wahai Tuhanku.” Maka Allah mengampuninya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Imam an-Nawawi berkata “melampaui batas ke atas dirinya” bermaksud sangat berlebih-lebihan dalam melakukan maksiat.
Ulamak yang mensyarahkan hadis ini berkata bahawa lelaki itu seorang yang beriman kerana jika dia mati dalam kekufuran dan kesyirikan Allah tidak akan mengampuninya sebagaimana ditegaskan di dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (An-Nisaa' 4:48)

Hadis ini menunjukkan kelebihan sifat takut kepada Allah Ta’ala. Dengan sifat itu Allah ampunkan dia meskipun dia melakukan perbuatan yang jelas menunjukkan kejahilannya. Dia berkata “sekiranya Tuhanku berkuasa…”, kata-kata seperti ini jelas menunjukkan dia tidak mengenali Allah dan tidak mengetahui sifat Allah yang maha berkuasa. Namun dia beriman kepada Allah, beriman adanya syurga dan neraka serta yakin kepada balasan baik dan buruk. Kerana terlalu takut kepada balasan yang akan diterimanya, dia berpesan supaya jasadnya dihancurkan sehancur-hancurnya. Dengan itu, tidak ada apa lagi yang tinggal untuk disiksa.

Hadis lain yang hampir sama maksudnya, daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya terdapat seorang lelaki yang tidak pernah beramal dengan amalan kebaikan langsung. Dia berurus niaga dengan membenarkan pembeli berhutang dengannya. Apabila tiba waktu mengutip hutang, dia berkata kepada khadamnya, “Ambillah apa yang mudah (yang mampu dibayar) dan biarkanlah apa yang susah (yang tidak mampu dibayar). Lepaskanlah bebanannya mudah-mudahan Allah melepaskan bebanan kita.”
Apabila dia mati, Allah bertanya kepadanya, “Adakah engkau pernah melakukan kebaikan?”
Dia menjawab, “Tidak. Namun aku mempunyai seorang khadam. Manusia selalu berhutang denganku. Apabila aku menghantar khadam untuk mengutip hutang, aku berpesan kepadanya agar mengambil apa yang mudah dan tinggalkan apa yang susah. Yang tidak mampu aku lepaskan dengan harapan Allah akan lepas / maafkan aku.”
Lalu Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku telah memaafkanmu!” (Musnad Ahmad)

Subhanallah! Betapa luasnya rahmat-Mu ya Allah. Tetapi kadang-kadang manusia suka menghukum dengan satu kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Sedangkan Allah Yang Maha Rahman, boleh menghapuskan semua kesalahan hamba-Nya dengan satu kebaikan sahaja.

Sama-samalah kita pupuk rasa cinta dan takut Allah setiap ketika. Sentiasa berharap akan rahmat-Nya dan jauhi azab-Nya. Moga-moga kita tergolong di dalam kalangan hamba yang diredhai-Nya. 

RAHMAH YANG DIHADIAHKAN


 
إنما انا رحمة مهداة
Itulah ungkapan keramat baginda s.a.w. ketika mentakrifkan dirinya yang mulia, “rahmah yang dihadiahkan”. Hadis dikeluarkan oleh ad-Darimiy dan Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih.

Diri baginda s.a.w. itu sendiri adalah rahmah. Sifat rahmah itu tercipta dan tercetak di dalam dirinya meliputi seluruh aspek keperibadiannya. Fikirannya rahmah. Perbuatannya rahmah dan tutur katanya rahmah. 

Rahmahnya baginda s.a.w. itu adalah anugerah Allah, Ar-Rahman dan Ar-Rahim kepada baginda dan merupakan hadiahNya kepada seluruh umat manusia serta seluruh alam semesta. Dalam hal ini, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah 9:128)

Melalui baginda yang dicetak dan diliputi dengan sifat rahmah, Allah turunkan kepada makhlukNya Syariah yang penuh rahmah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)

Seorang mantan pendita Yahudi, Abdullah bin Sallam r.a. melaporkan pemerhatiannya terhadap Rasul yang agung ini dengan berkata: “Apabila Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, orang ramai berkerumun ke arahnya termasuklah aku. Apabila aku terpandang wajahnya s.a.w. aku terus yakin bahawa wajahnya bukan wajah seorang pendusta. Ungkapan pertama yang aku dengar daripadanya ialah: “Wahai sekelian manusia, berikanlah makanan, hubungkanlah silatul rahim, sebarkanlah salam, solatlah di waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masyuk syurga dengan selamat sejahtera.” (Ibn Katsir)

Mesej yang penuh berinti rahmah. 

Di dalam hadis lain, daripada Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.a. meriwayatkan, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat beberapa kamar, di bahagian luarnya boleh dilihat dari dalam dan di bahagian dalamnya boleh dilihat dari luar.” 
Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. bertanya: “Untuk siapakah bilik itu ya Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Untuk mereka yang lembut tutur katanya, yang memberikan makanan, yang berdiri menghadap Allah di waktu malam ketika manusia lena di perbaringan.” Riwayat Ahmad

Kita perhatikan kedua-dua hadis di atas, baginda s.a.w. memberikan perhatian kepada sifat rahmah terhadap sesama manusia: memberikan makanan, menghubungkan silatul rahim, menyebarkan salam dan berbicara dengan tutur kata yang baik. Ini bukan bermakna itu yang lebih utama daripada hubungan dengan Allah. Tetapi ia menggambarkan bahawa ibadah dan hubungan kita dengan Allah s.w.t. yang dilakukan dengan penuh ikhlas akan terserlah kesan serta natijahnya pada akhlak dan sifat rahmah terhadap makhluk Allah. Dan itulah dia intipati ajaran Islam yang membawa rahmah.
Tanpanya, maka ibadah yang tidak henti-henti ketika sendirian tidak ada nilainya.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad, ketika ada seorang sahabat menyampaikan kepada Nabi s.a.w. tentang seorang wanita yang ahli ibadah tapi suka menyakiti tetangganya. “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang rajin solat malam, gemar berpuasa di siang hari, giat melakukan amal kebaikan dan banyak bersedekah. Namun dia sering menyakiti tetangganya dengan lisannya.”
Mendengar laporan ini, Nabi s.a.w. menjawab, “Tiada kebaikan padanya dan dia termasuk penghuni neraka.” Naudzu billahi minzalik.

Friday, November 08, 2019

Hukum Berkhatan

Anisah Ab. Ghani


Pendahuluan
            Dalam Bahasa Arab “khatan” disebut “khitan” yang bererti tempat yang dipotong pada zakar dan faraj wanita.1“Khitan” juga bererti memotong qulfah, iaitu kulit yang menutupi kepala zakar.2Sedangkan bagi wanita ia dinamakan khafdiaitu merendahkan.3
            Dalam kamus Dewan ia diertikan sebagai memotong kulup. Berkhatan ertinya bersunat iaitu memotong kulup orang Islam.4
            Dalam istilah syarak, khatan bagi orang lelaki bermaksud membuang kulit yang mengelilingi hasyafahatau kepala zakar.5Kata al-Mawardi, khatan lelaki ialah memotong kulit yang meliputi kepala zakar, iaitu yang dikenali sebagai qalafah6atau “kulub”.Sedang bagi perempuan pula ialah memotong bahagian atau kelentit yang terdapat di atas faraj.7Kata Muhammad Ali Qutub, kelentit ditutup oleh selapis kulit yang dinamai “Fresulum”. Bahagian inilah yang dibuang semasa berkhatan.8
            Kadar yang perlu dipotong hanya sedikit sahaja iaitu puncak atau kulub kelentit. Cara ini telah dijelaskan dalam hadis riwayat Ummi ‘Attiyah r.a. bahawa: Di Madinah seorang perempuan telah mengkhatankan (seorang perempuan) lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya; “Jangan kamu terlalu banyak merendahkannya (terlalu banyak memotong)sesungguhna ia sangat disayangi oleh wanita dan amat disukai oleh suami”.9Dalam satu riwayat lain dijelaskan baginda sendiri mengarahkan Ummi ‘Attiyah supaya apabila beliau mengkhatan, biarlah bahagian itu menonjol dan janganlah terlalu banyak merendahkannya (terlalu banyak memotong) kerana ia memperelokkan wajah dan amat digemari oleh suami.10
            Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengarahkan supaya kadar yang dipotong itu sedikit sahaja. Baginda melarang keras memotong secara berlebihan, seperti yang berlaku di zaman Firaun di Mesir dan di negara-negara Islam lain di Afrika.
Sejarah Khatan
            Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan khatan salah satu dari lima perkara fitrah, iaitu di samping membuang bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan memotong kuku.11Tujuannya ialah untuk membersihkan zahir manusia. Bagi lelaki ia merupakan amalan tertua. Ia telah dilakukan lebih dari 6,000 tahun lalu, iaitu sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. 12
            Ada dua hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan khatan Nabi Ibrahim a.s. Pertama hadis yang menyebut bahawa Nabi Ibrahim a.s. berkhatan ketika berumur lapan puluh tahun. Beliau berkhatan dengan menggunakan alqadumiaitu sejenis alat menukang kayu.13Hadis kedua ialah yang menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim a.s. adalah orang pertama berkhatan.14
            Amalan demikian kemudiannya telah diikuti oleh para nabi berikutnya sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan seterusnya diamalkan di kalangan umat Islam.
            Nabi Muhammad s.a.w. juga berkhatan. Ada pendapat yang mengatakan baginda Nabi dilahirkan dalam keadaan sudah berkhatan. Ada juga yang mengatakan baginda Nabi dikhatankan oleh malaikat semasa membelah dadanya. Ada juga yang berpendapat baginda Nabi dikhatankan oleh datuknya Abdul Mutalib pada hari ke tujuh selepas kelahiran baginda. 15
            Rasulullah sendiri mengkhatankan cucunya al-Hassan dan al-Hussein pada hari ke tujuh kelahiran mereka.16Amalan Nabi Muhammad s.a.w. ini telah diamalkan oleh keluarga Islam di seluruh dunia.
            Khatan bagi wanita juga mula diamalkan di zaman Nabi Ibrahim a.s. Isterinya Sarah telah dikhatankan. Menurut riwayat, apabila Hajar mengandung, Sarah merasa cemburu, lalu bersumpah hendak memotong tiga dari anggotanya sendiri. Nabi Ibrahim a.s. bimbang Sarah akan memotong hidung dan telinganya. Lalu baginda menyuruh dilubangkan kedua-dua telinga Sarah dan dikhatankan.17Kemudian amalan ini menjadi sunnah bagi wanita. Tiada siapa pun menginkarinya.
            Khatan wanita juga dilakukan pada zaman Firaun. Mami perempuan Mesir telah mengamalkannya. Ia juga diamalkan di Afrika, Ethopia dan Sudan.
            Amalan ini terus dilakukan di merata dunia termasuk Malaysia. Sesetengah mereka menganggapnya sebagai adat dan sesetengah yang lain menganggapnya sebagai kepercayaan agama.
Nas Mengenai Khatan
            Ada dua hadis yang menaskan amalan khatan. Pertama, hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa ada lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, membuang bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan memotong kuku.18Kedua ialah hadis riwayat Ammar bin Yasir yang menjelaskan bahawa di antara perkara fitrah ialah berkumur, menghisap air ke hidung, menggunting misai, bersugi, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, membuang bulu ari-ari dan berkhatan.19
Hukum Berkhatan
            Para fuqoha telah sepakat bahawa khatan bagi lelaki adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Jumhur berpendapat khatan bagi lelaki adalah wajib. Malah Imam Malik berpendapat, lelaki yang tidak berkhatan tidak sah menjadi imam solat dan kesaksiannya ditolak.20Ibn ‘Abbas menyebut tidak halal sembelihannya.21
            Alasan yang dikemukan ialah ayat 123 surah al-Nahl yang mengarahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya mengikut millah(agama) Nabi Ibrahim. Di antara ajaran millahNabi Ibrahim ialah berkhatan.
            Alasan kedua ialah hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud yang menyebut bahawa datuk kepada ‘Uthaim bin Kulaib telah mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Aku telah Islam.” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda; “Cukurlah rambut zaman kafirmu dan berkhatanlah.”22Juga hadis Rasulullah s.a.w. yang mengarahkan sesiapa yang memeluk Islam supaya dikhatankan meskipun dia sudah tua.23
            Meskipun hadis-hadis di atas dikatakan dhaif (lemah), tetapi saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Di samping itu, kulup boleh merosakkan taharah dan solat. Kulup yang menutupi kepala zakar itu juga selalu terkena air kencing dan sukar dibersihkan. Oleh itu, kesahihan taharah dan solat bergantung kepada khatan. 
            Ulama berselisih pendapat tentang hukum khatan bagi perempuan. Imam Syafi’I dan satu riwayat dari Imam Ahmad mewajibkannya sama seperti lelaki.24Alasan mereka ialah hadis-hadis yang mewajibkan khatan bagi lelaki sepertimana yang tersebut di atas.
            Bagi mereka, hadis-hadis tersebut merangkumi lelaki dan wanita. Kerana lafaznya umum.25Huraian yang sama juga diberikan terhadap sabda Rasulullah s.a.w. yang menyebut secara tepat sesiapa yang memeluk Islam ia mestilah dikhatankan meskipun ia sudah tua.26
            Riwayat lain dari Imam Ahmad pula menyatakan khatan tidak diwajibkan ke atas perempuan. Begitupun ia merupakan sunnah yang sangat dimuliakan. Pendapat ini telah menjadi pegangan majoriti ulama.27Ia diperkuatkan dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan bahawa; “Khatan adalah sunnah untuk lelaki dan suatu kemuliaan untuk wanita”28, “Khatan itu mahkota wanita dan sangat disukai oleh suami.”29dan “Apabila bertemu dua khatan (zakar dan faraj) maka wajiblah mandi.”30
            Hadis-hadis di atas menunjukkan khatan bagi perempuan adalah sunat, bukan wajib. Ia disyariatkan kepada lelaki dan perempuan, untuk membezakan antara orang Islam dan orang kafir. Oleh sebab itu, orang yang baru memeluk Islam dikehendaki berkhatan, tidak tidak kira lelaki atau perempuan.
            Dr. Yusof al-Qaradhawi berpendapat khatan anak perempuan terserah kepada ibubapanya. Mereka yang berpendapat ianya baik, elok melakukannya. Mengikut beliau lagi, mereka yang tidak melakukanya juga tidak berdosa. Kerana ada sesetengah ulama berpendapat khatan anak perempuan suatu kemuliaan sahaja. Namun begitu beliau berpendapat mengkhatan anak perempuan adalah lebih baik.31
            Al-Imam al-Akbar Mahmud Syaltut berpendapat, hukum berkhatan bagi lelaki dan perempuan bukan berasaskan kepada nas-nas naqli, tetapi kepada kaedah umum Syariah iaitu; “syarak tidak mengharuskan menyeksa sesuatu yang hidup kecuali ada kemaslahatan.” Sehubungan dengan ini, beliau mengulas lagi; khatan bagi lelaki ada kemaslahatan yang perlu dijaga, iaitu menghindakan jangkitan kuman yang menyebabkan kanser zakar atau penyakit lain. Tetapi tidak ada maslahah yang perlu dijaga dalam persoalan khatan anak perempuan, Berkhatan atau tidak, sama sahaja. Menurut beliau lagi; lemah atau kuat nafsu seseorang perempuan disebabkan oleh pembinaan hormon-hormon di dalam diri seseorang. Begitu juga berakhlak atau tidak berakhlak seseorang itu bergantung kepada sejauhmana pendidikan akhlak, suasana masyarakat dan keperihatinan ibubapa dalam mendidik anak-anak. Ia tidak bergantung kepada khatan atau tidak. Oleh itu, khatan bagi perempuan bukan keranan tuntutan syarak, akhlak dan kesihatan. Ia didasarkan kepada fitrah manusia32semata-mata.
            Walaupun ulama berbeza pandangan tentang hukum khatan bagi wanita, namun sebagai umat Muhammad s.a.w. masyarakat Islam sepatutnya mengamalkannya. Kerana ia termasuk dalam lingkungan suruhan Rasulullah s.a.w. Pengabaian terhadap amalan ini bererti mengenepikan salah satu dari amalan baginda. Di samping itu, masih ada hadis yang menjelaskan khatan itu satu kemuliaan kepada wanita. Mungkin setakat ini belum dikenalpasti maslahat disebalik amalan khatan wanita. Banyak ibadat lain juga terus diamalkan walaupun tidak diketahui maslahat dan hikmatnya.
Hikmat Khatan
            Khatan mempunyai hikmat dan kebaikan di sudut keagamaan dan faedah daripada sudut kesihatan. Mengikut Abdullah Nasih Ulwan, di antara kelebihan disudut keagamaan ialah:33
1.    Ia termasuk dalam lingkungan perkara fitrah, syiar Islam dan lambang syariat.
2.    Ia merupakan satu kesempurnaan ada kesucian yang telah disyariatkan oleh Allah melalui lisan Nabi Ibrahim. Ia dapat memupuk hati dengan rasa tauhid dan keimanan. Ia juga memupuk anggota badan dengan unsur-unsur kefitrahan.
3.    Berkhatan dapat membezakan antara orang Islam dengan penganut ajaran lain.
Antara faedah kesihatan pula ialah:
1.    Membersihkan kekotoran yang terlindung dan terkumpul di bahagian tersebut.
2.    Ia boleh menghindakan jangkitan penyakit.
3.    Ada orang berpendapat ia dapat mengurangkan nafsu, keruntuhan moral serta mengawal akhlak. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan cara mengkhatan wanita yang dapat mengawal kesihatan rumahtangga. “Janganlah memotong terlalu banyak yang demikian itu mahkota wanita dan sangat disukai oleh suami.”34“Apabila engkau mengkhatan, biarlah bahagian itu menonjol dan jangalah kamu banyak merendahkannya kerana yang demikian itu memperelokkan wajah dan disukai oleh suami.”35
Menurut Imam Ibnu al-Qayyim, hadis ini telah menunjukkan kelentit tidak sepatutnya dipotong terlalu banyak kerana ia akan melemahkan nafsu wanita dan tidak digemari oleh suami. Sebaliknya kalau ia tidak langsung dipotong ialah kadar yang dapat mengimbangi antara dua keadaan tersebut.36
Khatan dari Sudut Perubatan
            Kebanyakkan doktor tidak memperakukan kepentingan berkhatan atas sebab-sebab kesihatan. Oleh itu, kebanyakkan permintaan untuk mengkhatankan anak-anak telah dijalankan atas sebab-sebab agama. Malah ada pendapat yang mengatakan amalan berkhatan anak lelaki dan perempuan boleh melemahkan syahwat mereka,37tetapi hujjah ini sukar dibuktikan.
            Namun demikian ada doctor yang menakui khatam bagi lelaki dan perempuan besar faedahnya. Di antaranya ialah:
1.    Dengan berkhatan, seseorang itu akan terselamat dari bau busuk dan tengik yang disebabkan oleh peluh yang terkumpul pada kulub zakar dan kelentit (clitorsis). Zat lemak yang dinamakan spegma ini sangat busuk baunya dan tajam. Ia boleh memadamkan berahi pasangannya semasa persetubuhan.38
2.    Dapat menghalang dari terkena penyakit kanser kerana spegma merupakan perangsang bagi timbulnya penyakit kanser zakar dan leher rahim, di mana, virus yang terdapat pada spegma akan berpindah kepada zakar dan masuk ke dalam faraj.39
Dr. Ali Akbar berpendapat, di dalam spegma terdapat virus yang boleh menyebabkan kanser pada zakar lelaki apabila bersetubuh, maka virus ini akan berpindah ke dalam faraj, lalu menyebabkan kanser rahim.40
3.    Jika disegerakan khatan pada kanak-kanak dapat menghindarkannya dari tabiat atau kebiasaan kencing di waktu malam.
4.    Khatan dapat mengurangkan kegiatan sulit (onani) bagi orang yang sudah baligh.41Perbuatan onani ini adalah disebabkan oleh bahagian yang berlebihan itu akan tergeser dengan pakaian yang dipakai dan menyebabkan rasa geli dan menaikkan nafsu terutamanya bagi wanita.
Dr. Th. H. Van De Veldi, seorang doktor wanita menasihatkan wanita yang tidak bersunat supaya selalu membersihkan di bahagian clitoris, lebih-lebih lagi pada sulcus coronairus. Menurut kajian kimia, kaum perempuan lebih banyak spegma preputii keadaannya kemerah-merahan, bengkak dan keluar lender yang menyebabkan rasa gatal dan pedih bila tiba masa-masa tertentu.42
Waktu Berkhatan
            Majoriti ulama berpendapat tidak ada waktu tertentu untuk berkhatan dan tidak pula diwajibkan semasa kecil. Menurut Ibnu al-Qayyim dan satu riwayat dalam mazhab Syafi’ie; wali wajib mengkhatankan anaknya sebelum mencapai umur baligh.43
            Adalah baik dan sunat jika khatan dilakukan selepas tujuh hari dilahirkan hingga umur anak tersebut sampai ke peringkat mumayyiz. Makruh mengkhatankan anak semasa umurnya belum tujuh hari dan wajib sekiranya anak telah mencapai usia baligh.44
            Pendapat yang sahih menurut Imam Syafi’ie ialah sunat mengkhatankan anak pada hari yang ke tujuh selepas dilahirakn.45Ia didasarkan kepada hadis riwayat Jabir yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengkhatankan al-Hassan dan al-Hussein pada hari ke tujuh selepas dilahirkan.46
NOTA KAKI
1.    Ibnu al-Manzur; Lisan al-Arabm.s. 1102 juzu’ 2.
2.    ‘Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyyah al-Aulad juzu’ 1, m.s. 109.
3.    Ibnu al-Qayyim al-Jauzi, Tuhfatu al-Maudud bi Ahkami al-Maulud, Dar al-Kutub, Beirut m.s. 106.
4.    Dr. Teuku Iskandar, Kamus Dewan, m.s. 549.
5.    ‘Abdullah Nasih Ulwan, op.cit., m.s. 109.
6.    Al-Syawkani, Nailu al-Autar, juzu’ 1, m.s. 133-134.
7.    Al-Jawziyyah, Ibnu Qayyim, op.cit., m.s. 106. Ibnu Taimiyah, al-Fatawa al-Kubra, m.s. 51-52 Dar al-Maarif.
8.    Muhammad Ali Qutub, Tauhfatu al-Aris wa al-‘Arus: rajah satu m.s. 167.
9.    Abu Daud, Sunan Abi Daud, Bab Adab, m.s. 167.
10. Ahmad Ibnu Hanbal, Musnad Imam Ahmad, m.s. 433.
11. Ahmad bin Ali bin Hajar; Fath al-Bari Syarhu Zahih al-Bukhari, Jilid 11., m.s. 88. Imam Muslim; Sahih Muslim bi Syarahi al-Nawawi, juzu’ 3 m.s. 146-147.
12. Ibid., jilid 6, m.s. 391.
13. Ibid., m.s. 388.
14. Imam Malik; al-Muwata’: juzu’ 2.
15. Al-Jawziyyah, Ibnu Qayyim, Zaadu al-Ma’ad, Jilid 1, m.s. 19.
16. As-Syaukani, op.cit., m.s. 134.
17. Al-Jawziyyah, op.cit., Tuhfah, m.s. 131.
18. Imam Muslim, op.cit., 146-147, Ibnu Hajar op.cit., m.s. 88.
19. Ibid., m.s. 88.
20. Ibnu al-Qayyim, op.cit., Tuhfah, m.s. 113. Ibnu Qudamah, al-Mughni wa Syarhu al-Kabir, Jilid 1, m.s. 100-101.
21. Ibnu al-Qayyim,op.cit., 136.
22. Al-Syaukani, op.cit., juzu’ 1, m.s. 136.
23. Ibid.
24. Ibnu Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, Dar al-Ma’arif m.s. 51-52; al-Syaukani, op.cit., m.s. 134.
25. Abu Suraih Muhammad Hadi, Ahkamu al-Taharah fi Fiqhu al-Islami ala Mazahibu al-Arbaah, m.s. 55.
26. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 1/136.
27. Ibnu Qudamah, op.cit., m.s. 100-101.
28. Ahmad bin Hanbal, op.cit., m.s. 6/433.
29. Abu Daud – Sunan Abi Daud, Bab Adab, m.s. 167.
30. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 261.
31. Yusuf Qaradhawi (Dr.), Fatawa al-Muasirah– siri pertama, cetakan pertama, m.s. 384.
32. Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, al-Fatawa disrah Limusykilati al-Muslim al-Muasirah fi hayati al-Yaumiyah al-‘Ammah, m.s. 333-334.
33. ‘Abdullah Nasih Ulwan, op.cit.,m.s. 117.
34. Abu Daud, op.cit.,m.s. 167.
35. Ahmad Ibnu Hambal, op.cit.,m.s. 433.
36. Ibnu al-Qayyim, op.cit., Tuhfah, m.s. 131.
37. Ab. Halim Jalil (Dr.) Majalah Timang, November, Disember 1988.
38. ‘Abdullah Nasih Ulwan, op.cit.,m.s. 117; Naveen Mohidden bin Syed Mohammad, Sesuatu Yang Anda Malu Tentang Kelamin Dalam Islam, Syarikat Nurulhas m.s. 24-27.
39. Ibid
40. Ibid.
41. Ibid.
42. Abu Kadir Awang, Sejarah Berkhitan, Utusan Kiblat, September 1972, Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur 1972, hal. 21.
43. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 1/134, Al-Jawziyyah, op.cit., Tuhfah, m.s. 125.
44. Al-Jawziyyah, op.cit., Tuhfah, m.s. 126-127.
45. Ibid. m.s. 58.

46. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 134.