Wednesday, November 13, 2019

RAHMAH YANG DIHADIAHKAN


 
إنما انا رحمة مهداة
Itulah ungkapan keramat baginda s.a.w. ketika mentakrifkan dirinya yang mulia, “rahmah yang dihadiahkan”. Hadis dikeluarkan oleh ad-Darimiy dan Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih.

Diri baginda s.a.w. itu sendiri adalah rahmah. Sifat rahmah itu tercipta dan tercetak di dalam dirinya meliputi seluruh aspek keperibadiannya. Fikirannya rahmah. Perbuatannya rahmah dan tutur katanya rahmah. 

Rahmahnya baginda s.a.w. itu adalah anugerah Allah, Ar-Rahman dan Ar-Rahim kepada baginda dan merupakan hadiahNya kepada seluruh umat manusia serta seluruh alam semesta. Dalam hal ini, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah 9:128)

Melalui baginda yang dicetak dan diliputi dengan sifat rahmah, Allah turunkan kepada makhlukNya Syariah yang penuh rahmah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)

Seorang mantan pendita Yahudi, Abdullah bin Sallam r.a. melaporkan pemerhatiannya terhadap Rasul yang agung ini dengan berkata: “Apabila Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, orang ramai berkerumun ke arahnya termasuklah aku. Apabila aku terpandang wajahnya s.a.w. aku terus yakin bahawa wajahnya bukan wajah seorang pendusta. Ungkapan pertama yang aku dengar daripadanya ialah: “Wahai sekelian manusia, berikanlah makanan, hubungkanlah silatul rahim, sebarkanlah salam, solatlah di waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masyuk syurga dengan selamat sejahtera.” (Ibn Katsir)

Mesej yang penuh berinti rahmah. 

Di dalam hadis lain, daripada Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.a. meriwayatkan, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat beberapa kamar, di bahagian luarnya boleh dilihat dari dalam dan di bahagian dalamnya boleh dilihat dari luar.” 
Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. bertanya: “Untuk siapakah bilik itu ya Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Untuk mereka yang lembut tutur katanya, yang memberikan makanan, yang berdiri menghadap Allah di waktu malam ketika manusia lena di perbaringan.” Riwayat Ahmad

Kita perhatikan kedua-dua hadis di atas, baginda s.a.w. memberikan perhatian kepada sifat rahmah terhadap sesama manusia: memberikan makanan, menghubungkan silatul rahim, menyebarkan salam dan berbicara dengan tutur kata yang baik. Ini bukan bermakna itu yang lebih utama daripada hubungan dengan Allah. Tetapi ia menggambarkan bahawa ibadah dan hubungan kita dengan Allah s.w.t. yang dilakukan dengan penuh ikhlas akan terserlah kesan serta natijahnya pada akhlak dan sifat rahmah terhadap makhluk Allah. Dan itulah dia intipati ajaran Islam yang membawa rahmah.
Tanpanya, maka ibadah yang tidak henti-henti ketika sendirian tidak ada nilainya.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad, ketika ada seorang sahabat menyampaikan kepada Nabi s.a.w. tentang seorang wanita yang ahli ibadah tapi suka menyakiti tetangganya. “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang rajin solat malam, gemar berpuasa di siang hari, giat melakukan amal kebaikan dan banyak bersedekah. Namun dia sering menyakiti tetangganya dengan lisannya.”
Mendengar laporan ini, Nabi s.a.w. menjawab, “Tiada kebaikan padanya dan dia termasuk penghuni neraka.” Naudzu billahi minzalik.

No comments: