Anisah Ab. Ghani
Pendahuluan
Dalam Bahasa Arab “khatan” disebut “khitan” yang bererti tempat yang dipotong pada zakar dan faraj wanita.1“Khitan” juga bererti memotong qulfah, iaitu kulit yang menutupi kepala zakar.2Sedangkan bagi wanita ia dinamakan khafdiaitu merendahkan.3
Dalam kamus Dewan ia diertikan sebagai memotong kulup. Berkhatan ertinya bersunat iaitu memotong kulup orang Islam.4
Dalam istilah syarak, khatan bagi orang lelaki bermaksud membuang kulit yang mengelilingi hasyafahatau kepala zakar.5Kata al-Mawardi, khatan lelaki ialah memotong kulit yang meliputi kepala zakar, iaitu yang dikenali sebagai qalafah6atau “kulub”.Sedang bagi perempuan pula ialah memotong bahagian atau kelentit yang terdapat di atas faraj.7Kata Muhammad Ali Qutub, kelentit ditutup oleh selapis kulit yang dinamai “Fresulum”. Bahagian inilah yang dibuang semasa berkhatan.8
Kadar yang perlu dipotong hanya sedikit sahaja iaitu puncak atau kulub kelentit. Cara ini telah dijelaskan dalam hadis riwayat Ummi ‘Attiyah r.a. bahawa: Di Madinah seorang perempuan telah mengkhatankan (seorang perempuan) lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya; “Jangan kamu terlalu banyak merendahkannya (terlalu banyak memotong)sesungguhna ia sangat disayangi oleh wanita dan amat disukai oleh suami”.9Dalam satu riwayat lain dijelaskan baginda sendiri mengarahkan Ummi ‘Attiyah supaya apabila beliau mengkhatan, biarlah bahagian itu menonjol dan janganlah terlalu banyak merendahkannya (terlalu banyak memotong) kerana ia memperelokkan wajah dan amat digemari oleh suami.10
Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengarahkan supaya kadar yang dipotong itu sedikit sahaja. Baginda melarang keras memotong secara berlebihan, seperti yang berlaku di zaman Firaun di Mesir dan di negara-negara Islam lain di Afrika.
Sejarah Khatan
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan khatan salah satu dari lima perkara fitrah, iaitu di samping membuang bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan memotong kuku.11Tujuannya ialah untuk membersihkan zahir manusia. Bagi lelaki ia merupakan amalan tertua. Ia telah dilakukan lebih dari 6,000 tahun lalu, iaitu sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. 12
Ada dua hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan khatan Nabi Ibrahim a.s. Pertama hadis yang menyebut bahawa Nabi Ibrahim a.s. berkhatan ketika berumur lapan puluh tahun. Beliau berkhatan dengan menggunakan alqadumiaitu sejenis alat menukang kayu.13Hadis kedua ialah yang menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim a.s. adalah orang pertama berkhatan.14
Amalan demikian kemudiannya telah diikuti oleh para nabi berikutnya sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan seterusnya diamalkan di kalangan umat Islam.
Nabi Muhammad s.a.w. juga berkhatan. Ada pendapat yang mengatakan baginda Nabi dilahirkan dalam keadaan sudah berkhatan. Ada juga yang mengatakan baginda Nabi dikhatankan oleh malaikat semasa membelah dadanya. Ada juga yang berpendapat baginda Nabi dikhatankan oleh datuknya Abdul Mutalib pada hari ke tujuh selepas kelahiran baginda. 15
Rasulullah sendiri mengkhatankan cucunya al-Hassan dan al-Hussein pada hari ke tujuh kelahiran mereka.16Amalan Nabi Muhammad s.a.w. ini telah diamalkan oleh keluarga Islam di seluruh dunia.
Khatan bagi wanita juga mula diamalkan di zaman Nabi Ibrahim a.s. Isterinya Sarah telah dikhatankan. Menurut riwayat, apabila Hajar mengandung, Sarah merasa cemburu, lalu bersumpah hendak memotong tiga dari anggotanya sendiri. Nabi Ibrahim a.s. bimbang Sarah akan memotong hidung dan telinganya. Lalu baginda menyuruh dilubangkan kedua-dua telinga Sarah dan dikhatankan.17Kemudian amalan ini menjadi sunnah bagi wanita. Tiada siapa pun menginkarinya.
Khatan wanita juga dilakukan pada zaman Firaun. Mami perempuan Mesir telah mengamalkannya. Ia juga diamalkan di Afrika, Ethopia dan Sudan.
Amalan ini terus dilakukan di merata dunia termasuk Malaysia. Sesetengah mereka menganggapnya sebagai adat dan sesetengah yang lain menganggapnya sebagai kepercayaan agama.
Nas Mengenai Khatan
Ada dua hadis yang menaskan amalan khatan. Pertama, hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa ada lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, membuang bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan memotong kuku.18Kedua ialah hadis riwayat Ammar bin Yasir yang menjelaskan bahawa di antara perkara fitrah ialah berkumur, menghisap air ke hidung, menggunting misai, bersugi, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, membuang bulu ari-ari dan berkhatan.19
Hukum Berkhatan
Para fuqoha telah sepakat bahawa khatan bagi lelaki adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Jumhur berpendapat khatan bagi lelaki adalah wajib. Malah Imam Malik berpendapat, lelaki yang tidak berkhatan tidak sah menjadi imam solat dan kesaksiannya ditolak.20Ibn ‘Abbas menyebut tidak halal sembelihannya.21
Alasan yang dikemukan ialah ayat 123 surah al-Nahl yang mengarahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya mengikut millah(agama) Nabi Ibrahim. Di antara ajaran millahNabi Ibrahim ialah berkhatan.
Alasan kedua ialah hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud yang menyebut bahawa datuk kepada ‘Uthaim bin Kulaib telah mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Aku telah Islam.” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda; “Cukurlah rambut zaman kafirmu dan berkhatanlah.”22Juga hadis Rasulullah s.a.w. yang mengarahkan sesiapa yang memeluk Islam supaya dikhatankan meskipun dia sudah tua.23
Meskipun hadis-hadis di atas dikatakan dhaif (lemah), tetapi saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Di samping itu, kulup boleh merosakkan taharah dan solat. Kulup yang menutupi kepala zakar itu juga selalu terkena air kencing dan sukar dibersihkan. Oleh itu, kesahihan taharah dan solat bergantung kepada khatan.
Ulama berselisih pendapat tentang hukum khatan bagi perempuan. Imam Syafi’I dan satu riwayat dari Imam Ahmad mewajibkannya sama seperti lelaki.24Alasan mereka ialah hadis-hadis yang mewajibkan khatan bagi lelaki sepertimana yang tersebut di atas.
Bagi mereka, hadis-hadis tersebut merangkumi lelaki dan wanita. Kerana lafaznya umum.25Huraian yang sama juga diberikan terhadap sabda Rasulullah s.a.w. yang menyebut secara tepat sesiapa yang memeluk Islam ia mestilah dikhatankan meskipun ia sudah tua.26
Riwayat lain dari Imam Ahmad pula menyatakan khatan tidak diwajibkan ke atas perempuan. Begitupun ia merupakan sunnah yang sangat dimuliakan. Pendapat ini telah menjadi pegangan majoriti ulama.27Ia diperkuatkan dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan bahawa; “Khatan adalah sunnah untuk lelaki dan suatu kemuliaan untuk wanita”28, “Khatan itu mahkota wanita dan sangat disukai oleh suami.”29dan “Apabila bertemu dua khatan (zakar dan faraj) maka wajiblah mandi.”30
Hadis-hadis di atas menunjukkan khatan bagi perempuan adalah sunat, bukan wajib. Ia disyariatkan kepada lelaki dan perempuan, untuk membezakan antara orang Islam dan orang kafir. Oleh sebab itu, orang yang baru memeluk Islam dikehendaki berkhatan, tidak tidak kira lelaki atau perempuan.
Dr. Yusof al-Qaradhawi berpendapat khatan anak perempuan terserah kepada ibubapanya. Mereka yang berpendapat ianya baik, elok melakukannya. Mengikut beliau lagi, mereka yang tidak melakukanya juga tidak berdosa. Kerana ada sesetengah ulama berpendapat khatan anak perempuan suatu kemuliaan sahaja. Namun begitu beliau berpendapat mengkhatan anak perempuan adalah lebih baik.31
Al-Imam al-Akbar Mahmud Syaltut berpendapat, hukum berkhatan bagi lelaki dan perempuan bukan berasaskan kepada nas-nas naqli, tetapi kepada kaedah umum Syariah iaitu; “syarak tidak mengharuskan menyeksa sesuatu yang hidup kecuali ada kemaslahatan.” Sehubungan dengan ini, beliau mengulas lagi; khatan bagi lelaki ada kemaslahatan yang perlu dijaga, iaitu menghindakan jangkitan kuman yang menyebabkan kanser zakar atau penyakit lain. Tetapi tidak ada maslahah yang perlu dijaga dalam persoalan khatan anak perempuan, Berkhatan atau tidak, sama sahaja. Menurut beliau lagi; lemah atau kuat nafsu seseorang perempuan disebabkan oleh pembinaan hormon-hormon di dalam diri seseorang. Begitu juga berakhlak atau tidak berakhlak seseorang itu bergantung kepada sejauhmana pendidikan akhlak, suasana masyarakat dan keperihatinan ibubapa dalam mendidik anak-anak. Ia tidak bergantung kepada khatan atau tidak. Oleh itu, khatan bagi perempuan bukan keranan tuntutan syarak, akhlak dan kesihatan. Ia didasarkan kepada fitrah manusia32semata-mata.
Walaupun ulama berbeza pandangan tentang hukum khatan bagi wanita, namun sebagai umat Muhammad s.a.w. masyarakat Islam sepatutnya mengamalkannya. Kerana ia termasuk dalam lingkungan suruhan Rasulullah s.a.w. Pengabaian terhadap amalan ini bererti mengenepikan salah satu dari amalan baginda. Di samping itu, masih ada hadis yang menjelaskan khatan itu satu kemuliaan kepada wanita. Mungkin setakat ini belum dikenalpasti maslahat disebalik amalan khatan wanita. Banyak ibadat lain juga terus diamalkan walaupun tidak diketahui maslahat dan hikmatnya.
Hikmat Khatan
Khatan mempunyai hikmat dan kebaikan di sudut keagamaan dan faedah daripada sudut kesihatan. Mengikut Abdullah Nasih Ulwan, di antara kelebihan disudut keagamaan ialah:33
1. Ia termasuk dalam lingkungan perkara fitrah, syiar Islam dan lambang syariat.
2. Ia merupakan satu kesempurnaan ada kesucian yang telah disyariatkan oleh Allah melalui lisan Nabi Ibrahim. Ia dapat memupuk hati dengan rasa tauhid dan keimanan. Ia juga memupuk anggota badan dengan unsur-unsur kefitrahan.
3. Berkhatan dapat membezakan antara orang Islam dengan penganut ajaran lain.
Antara faedah kesihatan pula ialah:
1. Membersihkan kekotoran yang terlindung dan terkumpul di bahagian tersebut.
2. Ia boleh menghindakan jangkitan penyakit.
3. Ada orang berpendapat ia dapat mengurangkan nafsu, keruntuhan moral serta mengawal akhlak. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan cara mengkhatan wanita yang dapat mengawal kesihatan rumahtangga. “Janganlah memotong terlalu banyak yang demikian itu mahkota wanita dan sangat disukai oleh suami.”34“Apabila engkau mengkhatan, biarlah bahagian itu menonjol dan jangalah kamu banyak merendahkannya kerana yang demikian itu memperelokkan wajah dan disukai oleh suami.”35
Menurut Imam Ibnu al-Qayyim, hadis ini telah menunjukkan kelentit tidak sepatutnya dipotong terlalu banyak kerana ia akan melemahkan nafsu wanita dan tidak digemari oleh suami. Sebaliknya kalau ia tidak langsung dipotong ialah kadar yang dapat mengimbangi antara dua keadaan tersebut.36
Khatan dari Sudut Perubatan
Kebanyakkan doktor tidak memperakukan kepentingan berkhatan atas sebab-sebab kesihatan. Oleh itu, kebanyakkan permintaan untuk mengkhatankan anak-anak telah dijalankan atas sebab-sebab agama. Malah ada pendapat yang mengatakan amalan berkhatan anak lelaki dan perempuan boleh melemahkan syahwat mereka,37tetapi hujjah ini sukar dibuktikan.
Namun demikian ada doctor yang menakui khatam bagi lelaki dan perempuan besar faedahnya. Di antaranya ialah:
1. Dengan berkhatan, seseorang itu akan terselamat dari bau busuk dan tengik yang disebabkan oleh peluh yang terkumpul pada kulub zakar dan kelentit (clitorsis). Zat lemak yang dinamakan spegma ini sangat busuk baunya dan tajam. Ia boleh memadamkan berahi pasangannya semasa persetubuhan.38
2. Dapat menghalang dari terkena penyakit kanser kerana spegma merupakan perangsang bagi timbulnya penyakit kanser zakar dan leher rahim, di mana, virus yang terdapat pada spegma akan berpindah kepada zakar dan masuk ke dalam faraj.39
Dr. Ali Akbar berpendapat, di dalam spegma terdapat virus yang boleh menyebabkan kanser pada zakar lelaki apabila bersetubuh, maka virus ini akan berpindah ke dalam faraj, lalu menyebabkan kanser rahim.40
3. Jika disegerakan khatan pada kanak-kanak dapat menghindarkannya dari tabiat atau kebiasaan kencing di waktu malam.
4. Khatan dapat mengurangkan kegiatan sulit (onani) bagi orang yang sudah baligh.41Perbuatan onani ini adalah disebabkan oleh bahagian yang berlebihan itu akan tergeser dengan pakaian yang dipakai dan menyebabkan rasa geli dan menaikkan nafsu terutamanya bagi wanita.
Dr. Th. H. Van De Veldi, seorang doktor wanita menasihatkan wanita yang tidak bersunat supaya selalu membersihkan di bahagian clitoris, lebih-lebih lagi pada sulcus coronairus. Menurut kajian kimia, kaum perempuan lebih banyak spegma preputii keadaannya kemerah-merahan, bengkak dan keluar lender yang menyebabkan rasa gatal dan pedih bila tiba masa-masa tertentu.42
Waktu Berkhatan
Majoriti ulama berpendapat tidak ada waktu tertentu untuk berkhatan dan tidak pula diwajibkan semasa kecil. Menurut Ibnu al-Qayyim dan satu riwayat dalam mazhab Syafi’ie; wali wajib mengkhatankan anaknya sebelum mencapai umur baligh.43
Adalah baik dan sunat jika khatan dilakukan selepas tujuh hari dilahirkan hingga umur anak tersebut sampai ke peringkat mumayyiz. Makruh mengkhatankan anak semasa umurnya belum tujuh hari dan wajib sekiranya anak telah mencapai usia baligh.44
Pendapat yang sahih menurut Imam Syafi’ie ialah sunat mengkhatankan anak pada hari yang ke tujuh selepas dilahirakn.45Ia didasarkan kepada hadis riwayat Jabir yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengkhatankan al-Hassan dan al-Hussein pada hari ke tujuh selepas dilahirkan.46
NOTA KAKI
1. Ibnu al-Manzur; Lisan al-Arabm.s. 1102 juzu’ 2.
2. ‘Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyyah al-Aulad juzu’ 1, m.s. 109.
3. Ibnu al-Qayyim al-Jauzi, Tuhfatu al-Maudud bi Ahkami al-Maulud, Dar al-Kutub, Beirut m.s. 106.
4. Dr. Teuku Iskandar, Kamus Dewan, m.s. 549.
5. ‘Abdullah Nasih Ulwan, op.cit., m.s. 109.
6. Al-Syawkani, Nailu al-Autar, juzu’ 1, m.s. 133-134.
7. Al-Jawziyyah, Ibnu Qayyim, op.cit., m.s. 106. Ibnu Taimiyah, al-Fatawa al-Kubra, m.s. 51-52 Dar al-Maarif.
8. Muhammad Ali Qutub, Tauhfatu al-Aris wa al-‘Arus: rajah satu m.s. 167.
9. Abu Daud, Sunan Abi Daud, Bab Adab, m.s. 167.
10. Ahmad Ibnu Hanbal, Musnad Imam Ahmad, m.s. 433.
11. Ahmad bin Ali bin Hajar; Fath al-Bari Syarhu Zahih al-Bukhari, Jilid 11., m.s. 88. Imam Muslim; Sahih Muslim bi Syarahi al-Nawawi, juzu’ 3 m.s. 146-147.
12. Ibid., jilid 6, m.s. 391.
13. Ibid., m.s. 388.
14. Imam Malik; al-Muwata’: juzu’ 2.
15. Al-Jawziyyah, Ibnu Qayyim, Zaadu al-Ma’ad, Jilid 1, m.s. 19.
16. As-Syaukani, op.cit., m.s. 134.
17. Al-Jawziyyah, op.cit., Tuhfah, m.s. 131.
18. Imam Muslim, op.cit., 146-147, Ibnu Hajar op.cit., m.s. 88.
19. Ibid., m.s. 88.
20. Ibnu al-Qayyim, op.cit., Tuhfah, m.s. 113. Ibnu Qudamah, al-Mughni wa Syarhu al-Kabir, Jilid 1, m.s. 100-101.
21. Ibnu al-Qayyim,op.cit., 136.
22. Al-Syaukani, op.cit., juzu’ 1, m.s. 136.
23. Ibid.
24. Ibnu Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, Dar al-Ma’arif m.s. 51-52; al-Syaukani, op.cit., m.s. 134.
25. Abu Suraih Muhammad Hadi, Ahkamu al-Taharah fi Fiqhu al-Islami ala Mazahibu al-Arbaah, m.s. 55.
26. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 1/136.
27. Ibnu Qudamah, op.cit., m.s. 100-101.
28. Ahmad bin Hanbal, op.cit., m.s. 6/433.
29. Abu Daud – Sunan Abi Daud, Bab Adab, m.s. 167.
30. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 261.
31. Yusuf Qaradhawi (Dr.), Fatawa al-Muasirah– siri pertama, cetakan pertama, m.s. 384.
32. Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, al-Fatawa disrah Limusykilati al-Muslim al-Muasirah fi hayati al-Yaumiyah al-‘Ammah, m.s. 333-334.
33. ‘Abdullah Nasih Ulwan, op.cit.,m.s. 117.
34. Abu Daud, op.cit.,m.s. 167.
35. Ahmad Ibnu Hambal, op.cit.,m.s. 433.
36. Ibnu al-Qayyim, op.cit., Tuhfah, m.s. 131.
37. Ab. Halim Jalil (Dr.) Majalah Timang, November, Disember 1988.
38. ‘Abdullah Nasih Ulwan, op.cit.,m.s. 117; Naveen Mohidden bin Syed Mohammad, Sesuatu Yang Anda Malu Tentang Kelamin Dalam Islam, Syarikat Nurulhas m.s. 24-27.
39. Ibid
40. Ibid.
41. Ibid.
42. Abu Kadir Awang, Sejarah Berkhitan, Utusan Kiblat, September 1972, Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur 1972, hal. 21.
43. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 1/134, Al-Jawziyyah, op.cit., Tuhfah, m.s. 125.
44. Al-Jawziyyah, op.cit., Tuhfah, m.s. 126-127.
45. Ibid. m.s. 58.
46. Al-Syaukani, op.cit.,m.s. 134.
No comments:
Post a Comment