Kadang-kadang apabila mendengar tazkirah yang disampaikan oleh sesetengah penceramah, kita merasakan seolah-olah kita insan yang tidak berguna langsung di sisi Allah. Kita ahli neraka yang tidak akan berpeluang mencium harumnya syurga.
Saya pernah mendengar seorang penceramah berkata, “Orang yang hina Allah dan Rasul, cop di mukanya sebagai kafir. Gantungkan namanya di masjid dan surau. Apabila dia mati, jangan solatkan dia dan jangan tanam di tanah perkuburan orang Islam!”
Allahu … adakah begitu mudah? Tanpa proses perbicaraan dan penghakiman yang saksama, dia terus dikeluarkan dari senarai orang Islam? Adakah itu satu kejayaan kepada dakwah apabila kita dengan segala senang hati dapat mengenyahkan orang yang berdosa dari agama yang mulia ini dan menambahkan bilangan ahli neraka bersama iblis serta konco-konconya?
Allah Ta’ala mengutus Rasul-Nya untuk membimbing hamba-Nya ke syurga, bukan untuk menjadikan mereka penghuni neraka. Memang benar Rasul s.a.w. diutus membawa khabar gembira dengan balasan syurga (basyir) dan memberi peringatan akan siksa neraka (nazir). Namun, jika kita perhatikan, kebanyakan ayat mendahulukan basyir daripada nazir sebagaimana tertera di dalam ayat-ayat berikut:
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira(kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran(kepada orang-orang yang ingkar)…” Al-Baqarah 2:119
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira(kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran(kepada orang-orang yang ingkar);…” (Saba’ 34:28)
“Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira(kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran(kepada orang-orang yang ingkar);..” (Faatir 35:24)
Justeru, kita melihat Rasulullah s.a.w. selalu mempamerkan sifat mesra dan rahmah kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum hatta yang telah sabit melakukan maksiat.
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. “Bahawasanya terdapat seorang lelaki diberi gelaran Himar. Dia menghadiahkan kepada Rasulullah s.a.w. semangkuk minyak sapi dan semangkuk madu. Apabila penjaulnya datang menuntut harganya dia membawa penjual itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
Dia berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Ya Rasulullah, bayarkanlah kepada lelaki ini harga barang-barangnya!”
Rasulullah s.a.w. hanya tersenyum dan mengarahkan supaya dibayarkan apa yang diminta oleh peniaga itu.
Pada suatu hari, Himar dihadapkan kepada Nabi s.a.w. kerana meminum arak. Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia! Sudah banyak kali dia dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w.”
Rasulullah s.a.w. menegur lelaki itu, “Jangan kamu laknat dia kerana sesungguhnya dia mencintai Allah dan RasulNya.”
Riwayat Abu Ya’la. Beberapa orang pentahqiq mengatakan sanadnya sahih.
Al-Bukhari meriwayatkannya dengan lebih ringkas daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawasanya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi s.a.w. bernama Abdullah. Dia dipanggil dengan gelaran Himar. Dia suka membuatkan Rasulullah s.a.w. tertawa. Baginda pernah menyebatnya kerana meminum arak. Pada suatu hari dia dihadapkan lagi kerana kesalahan yang sama. Baginda memerintahkan supaya dia disebat.
Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah banyak kali dia ditangkap!”
Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah kamu melaknatnya. Demi Allah, aku mengetahui bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”
Ini tidak bermakna kita tidak perlu takut melakukan dosa kerana Allah bersifat Maha Penyang. Atau pihak pemerintah membiarkan saja manusia melakukan jenayah atas nama rahmah dalam berdakwah. Apa yang ingin ditekankan bahawa pendakwah mesti mendahulukan perkara yang menggembirakan, yang menjadi daya tarikan untuk manusia kembali kepada agama Allah dan mengharap rahmah serta keampunanNya. Rasulullah s.a.w. sendiri beberapa kali menghukum sahabatnya Himar kerana meminum arak. Pun begitu baginda s.a.w. melarang apabila terdapat sahabat yang mendoakan agar dia dilaknat.
No comments:
Post a Comment