Ketika Sayyiduna Umar r.a. menahan kesakitan akibat ditikam, dibawakan kepadanya segelas susu. Lalu beliau meminumnya. Susu yang diminumnya meleleh keluar dari lambungnya…
Maka doktor berkata kepadanya:
“Berilah wasiat wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya anda akan pergi…”
Umar memanggil anaknya, Abdullah dan berkata kepadanya:
“Wahai Abdullah, panggillah Huzaifah bin al-Yaman datang menemuiku!”
Huzaifah adalah sahabat yang Rasulullah s.a.w. amanahkan menyimpan senarai nama munafiqin. Nama-nama itu tidak diketahui oleh sesipa kecuali Allah, Rasulullah s.a.w. dan Huzaifah.
Apabila Huzaifah sampai, Umar berkata kepadanya dalam keadaan darah mengalir dari lambungnya:
“Wahai Huzaifah, aku memohon kepadamu dengan Nama Allah, adakah Rasulullah memberitahumu namaku termasuk dalam senarai munafiqin?”
Huzaifah diam membisu. Air mata lebat mengalir dari kedua matanya. Sebentar kemudian dia bersuara perlahan:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengamanahkanku supaya merahsiakan nama-nama itu. Aku tidak boleh memberitahumu wahai Umar!”
Umar menyahut:
“Aku bersumpah dengan Nama Allah, beritahulah kepadaku, adakah Rasulullah menyenaraikan namaku dalam kalangan mereka?”
Huzaifah terus menangis sambil berbisik kepada Umar:
“Aku hanya akan memberitahumu dan tidak akan memberitahu kepada sesiapapun selainmu. Demi Allah, baginda tidak menyebut namamu kepadaku!”
Maka Umar berkata kepada anaknya, Abdullah:
“Hanya tinggal satu perkara sahaja lagi untukku di dunia ini!”
Abdullah bertanya:
“Apakah perkara itu wahai ayahku?”
Umar menjawab:
“Iaitu supaya aku dikebumikan di sisi Rasulullah s.a.w.!
Wahai anakku, pergilah kamu ke rumah Aisyah Ummul Mukminin. Jangan kamu kata kepadanya Amirul Mukminin. Sebaliknya katakan kepadanya bahawa Umar meminta izin, “Ibu adalah tuan rumah ini. Adakah Ibu izinkan dia dikebumikan di bawah tapak kaki dua sahabatnya (Rasulullah dan Abu Bakar)?”
Setelah Abdullah menyampaikan hasrat Umar, Aisyah r.a. menjawab:
“Ya, aku izinkan. Sesungguhnya aku telah sediakan kubur ini untukku. Hari ini aku serahkannya kepada Umar!”
Abdullah kembali kepada Umar dengan gembira dan memberitahunya:
“Wahai ayahku, beliau telah memberi izin.”
Kemudian Abdullah melihat pipi Umar tergolek di atas pasir. Lalu dia mengangkat dan meletakkan pipi ayahnya di atas pehanya. Umar memandang anaknya seraya bertanya:
“Kenapa kamu halang pipiku dari mencecah pasir?”
Abdullah sekadar menyeru ayahnya:
“Oh ayahku!”
Umar berkata:
“Letakkanlah pipi ayahmu di atas pasir supaya wajahku bergelumang dengannya. Sesungguhnya celakalah Umar sekiranya Tuhannya tidak mengampunkannya esok!”
Dan pergilah Umar meninggalkan dunia ini selepas menyampaikan pesanan terakhir kepada anaknya:
“Sekiranya kamu membawaku untuk disembahyangkan di masjid Rasulullah, kamu lihatlah kepada Huzaifah. Mungkin dia hendak menyedapkan hatiku dengan kata-katanya sebentar tadi. Sekiranya Huzaifah sembahyangkan aku, bawalah jenazahku ke rumah Rasulullah. kemudian berhentilah di pintunya dan katakanlah:
“Wahai ibu! Ini anakmu Umar. Jangan kamu sebut Amirul Mukminin kerana boleh jadi beliau malu kepadaku. Maka mintalah izin untukku. Jika dia izinkan, masuklah. Jika tidak, kebumikanlah aku di perkuburan orang-orang Islam.”
Abdullah membawa jenazah ayahnya ke masjid. Beliau melihat ke dalam masjid. Dia mendapati Huzaifah turut sembahyangkan jenazah Umar. Hatinya melonjak gembira. Dia membawa jenazah ke rumah Aisyah r.a. dan berkata:
“Wahai ibu kami, ini anakmu Umar di muka pintu. Adakah ibu izinkan untuknya?”
Aisyah r.a. menyahut:
“Bawalah dia masuk!”
Maka Umar pun di kebumikan di sisi dua orang sahabtnya.
Semoga Allah rahmati Umar bin al-Khattab. Beliau telah memenuhkan bumi ini dengan keadilan. Namun beliau begitu takut kepada Allah, sangat-sangat takut. Demikianlah insan yang hidup bersama Rasulullah s.a.w. yang telah diberikan khabar gembira akan masuk syurga!
Maka bagaimanakah keadaan kita hari ini. Tiada seorangpun dari kalangan kita yang tahu adakah Tuhannya redha atau tidak!??
Namun dalam keadaan itupun kita masih bersantai dan bergelak ketawa. Kita tidak takut, tidak bimbang, tidak berfikir ke manakah kesudahan kita selepas mati?
Ya Allah, berikanlah kami hidayah! Kemudian berikanlah kami hidayah! Kemudian berikanlah kepada zuriat kami hidayah! Hidayah yang kami tidak akan celaka dan tidak akan sesat lagi selepasnya selama-lamanya.
Semoga Allah berikan kami dan kamu hidayah dan memperbaiki urusan kamu.
Dipetik daripada: