Sunday, April 26, 2020

BACA UNTUK KHATAM ATAU TADABBUR TANPA KHATAM?


Soalan yang sering ditanyakan, khususnya menjelang Ramadhan, yang mana lebih baik antara bertadabbur sambil baca tapi munkin lambat khatam atau tak khatam dalam bulan Ramadhan, dengan tilawah semata-mata dan dapat sekali atau berkali-kali khatam tetapi tidak faham?.

Pada pendapat saya, baca atau tilawah dan tadabbur adalah dua ibadah yang berbeza, boleh disekalikan dan diasingkan.
Saya cadang kedua-duanya diasingkan. 

1.    Tilawah – hendaklah diletakkan target untuk khatam sekurang-kurangnya satu kali dalam bulan Ramadhan. Bukan lama pun baca satu juzuk. Lebih kurang 1 jam sahaja. Bukankah satu hari Allah bagi masa 24 jam? Susah sangatkah nak ambil masa satu jam untuk baca ayat-ayatNya? Untuk memudahkan, boleh juga baca dalam solat seperti solat dhuha dan tahajjud. Berapa rakaatkah anda bersolat dhuha? Kalau 4 rakaat, anda dah boleh habiskan 4 (1 rakaat 1 m.s.) atau 2 muka surat (1rakaat 1 m.s.). Kemudian sambung baca di luar solat. Ingat! Pahala baca al-Quran adalah satu huruf satu kebaikan yang setiap satunya diberikan pahala 10 kali ganda. Seluruh al-Quran mengandungi 320,015 huruf.  320,015 dikali dengan 10 berapakah jumlahnya? Itulah ganjaran pahala yang dijanjikan Allah untuk kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi.
2.    Tadabbur – untuk tadabbur jangan letak target habis 30 juzuk dalam satu bulan. Tak mungkin. Pilih surah-surah tertentu. Tetapkan masa satu jam sehari atau lebih atau kurang. Katakan untuk bulan ini pilih surah an-Nur 64 ayat. Satu hari 2 atau 3 ayat. Belajar betul-betul ayat-ayat tersebut. In syaa Allah dalam masa satu bulan, khatam surah an-Nur. Bulan hadapan pilih surah yang lain pula. Begitulah seterusnya sampai kita dijemput kembali ke pangkuanNya. Jangan berhenti setakat Ramadhan sahaja. Bak kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi. Janganlah kamu jadi warga Ramadhan (Ramadhaniyyun), tetapi jadilah Rabbaniyyun (hamba yang sentiasa dekat dengan Rabb).

TERUSKAN IBADAH DI BULAN PENUH BARAKAH: PUASA, QIAM, TILAWAH, SEDEKAH DAN LAIN-LAIN

*UMD*

3 Ramadhan 1441/26 April 2020

No comments: