Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Ayat ini mengingatkan kita dan seluruh umat manusia bahawa mereka tidak ada kuasa dan tidak mempunyai pilihan dalam menentukan rupa paras diri mereka sendiri; berkulit putih atau hitam, berbadan besar atau kecil, tinggi atau rendah, cantik atau hodoh, sempurna atau cacat semuanya telah dirancang dan ditentukan oleh Allah Yang Maha Pencipta dengan Kuasa dan KebijaksanaanNya sejak kita berada di dalam rahim ibu kita. Malah, ibu yang mengandung dan melahirkan pun tidak mengetahui dan tidak pernah diminta pendapat tentang rupa paras anak yang terjadi dan berkembang di dalam badannya.
Pengajarannya:
1. Usah berbangga dengan rupa yang cantik, jelita, segak, lawa dan yang seerti dengannya. Lebih-lebih lagi jika dipuji keelokan rupa paras kita, usahlah berasa bangga kerana sebenarnya yang dipuji bukan diri kita, tetapi Pencipta kita Yang Maha Kuasa. Pujilah dan bersyukurlah kepadaNya
2. Usah bersedih dengan rupa yang tidak cantik, tidak segak dan tidak lawa kerana ia bukan pilihan kita dan kesedihan tidak dapat mengubah apa yang telah tercipta dari mula. Lebih-lebih lagi bila dikeji ketidak sempurnaan rupa paras kita, usahlah berasa hina dan rendah diri kerana sebenarnya yang dikeji bukan diri kita, tetapi Pencipta kita Yang Maha Bijaksana. Redha dan bersabarlah atas ketentuanNya.
3. Usah terpegun, terpesona, memuji seseorang kerana kecantikannya. Bukan dia yang berhak dipuji, tetapi Penciptanya. Pujilah Allah dan bertasbihlah kepadaNya.
4. Usah memandang hina dan mengejek seseorang kerana kekurangan rupa parasnya. Dia tidak memilih rupa yang buruk itu. Awas! Jika kita mengejeknya bererti kita mengejek dan mempertikaikan Kehendak Penciptanya Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
TERUSKAN IBADAH DI BULAN PENUH BARAKAH: PUASA, QIAM, TILAWAH, SEDEKAH DAN LAIN-LAIN
No comments:
Post a Comment