Sunday, June 21, 2020

LELAKI

Lelaki ….

Engkau diciptakan sebagai qawwam
Gagah perkasa meredah cabaran
Membanting tulang menongkah gelombang
Demi kesejahteraan keluarga tersayang
Lelaki …

Ingatlah …!
Kekuatan hakikimu bukan pada 
Tulang yang kukuh 
Otot yang utuh
Tangan yang deras melempang
Kaki yang pantas menyepak
Tetapi kekuatanmu terletak pada hati
Yang sabar ketika marah
Yang tenang ketika dibantah
Yang matang melayan karenah
Anak isteri di rumah
Kawan dan lawan di medan dakwah

Kemuliaanmu bukan pada nama
Pangkat, darjat, maupun harta
Tetapi kemuliaanmu pada budi pekerti
Menyayangi dan melindungi
Mengasihi dan melayani
Memulia dan menghormati
Ibu, isteri, juga puteri
Dan semua wanita tanpa diskriminasi

Kehebatanmu bukan pada 
Hujjah nan petah sukar dipatah 
Arahan nan tegas tak bisa dibantah 
Peraturan nan ketat semua kena taat
Tetapi kehebatanmu pada 
Akhlak mulia berbudi bahasa 
Memahami dan bertoleransi
Menjadi contoh dan dihormati

Lelaki …

Engkau adalah hero
Di rumah
Engkau anak, suami dan ayah
Engkau payung tempat berlindung
Mencurah bakti penuh rahmah
Di luar 
Engkau wira pembela ummah
Pemacu kebenaran penentang kezaliman
Prinsip digenggam sampai menang
Sayyidus-syuhada’ cita dijulang


*UMD*
22062020/30101441

Wednesday, June 17, 2020

WANITA

Wanita ….

Engkau mungkin tiada upaya untuk menentukan jodohmu siapa
Superhero atau superdiktator
Tetapi engkau punya daya untuk memilih 
Antara iman atau kufur
Antara berilmu atau dungu
Antara pintar berani atau tunduk sekadar tukang angguk 

Wanita ….

Jangan engkau pilih untuk jadi seperti Walighah dan Walihah*
Jodoh mereka utusan Allah pembawa hidayah
Namun memilih untuk kufur 
Untuk menjadi penghuni neraka 
Yang panasnya tak terkata
Kekal abadi selama-lamanya

Jadilah engkau seperti Asiah
Jodohnya Firaun yang kejam dan ganas
Namun memilih iman, cerdas dan tegas 
Memilih mardhatillah
Dan menjadi penghuni jannah

Atau jadilah engkau seperti Maryam
Tidak bertemu jodoh di dunia fana
Namun tetap menjaga maruah
Teguh beriman taat kepada Allah
Dilontar celaan namun tak rebah 

*Walighah dikatakan nama isteri Nabi Nuh a.s. dan Walihah dikatakan nama isteri Nabi Lut a.s. Namun tiada riwayat yang sahih mengenainya.

(Cetusan idea daripada surah at-Tahrim : 10, 11, 12)

*UMD*
18062020/26101441

Tuesday, June 16, 2020

YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG DOA


Doa adalah otak (mukh) ibadah.
Doa adalah lambang hubungan yang intim antara hamba dengan Penciptanya.
Allah suka kepada hambaNya yang berdoa. Lebih-lebih lagi yang merengek-rengek (mulihh) dalam berdoa.

Antara ayat yang berkaitan dengan perintah supaya berdoa:

1.     Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah 2:186
2.     Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Ghaafir 40:60
3.     Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Al-A'raaf 7:55
4.     Dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (Al-A'raaf 7:56)

Allah perintahkan hambaNya supaya berdoa dan Dia berjanji akan memaqbulkan semua doa. Allah menunjukkan beberapa contoh doa-doa yang telah dimaqbulkan termasuk doa-doa yang zahirnya di luar batasan sebab dan musabab atau berlawanan dengan apa yang dikatakan sebagai “Sunnah Alam”. Ini kerana Sunnah Alam itu ciptaanNya dan Dia boleh menjadikan apa saja tanpa terikat dengan Sunnah itu. Inilah yang hendak difahamkan kepada kita ketika memanjatkan doa kepadaNya. Bahawa Dia Maha Kuasa untuk memaqbulkan apa jua doa kita. Jangan sekali-kali berputus asa dalam berdoa.

Mari kita renungi:
1.     Doa Nabi Zakaria a.s. Beliau berdoa supaya dianugerahi cahaya mata yang mewarisi tanggungjawabnya sebagai pembela agama di ketika mana usianya sudah lanjut dan isterinya seorang yang mandul. Doanya diterima. Maka lahirlah Yahya (Surah Maryam 2-15).
2.     Doa Nabi Ibrahim a.s. untuk melihat dengan mata kepalanya bagaimana Allah menghidupkan orang yang telah mati. Bukan kerana tidak yakin. Tetapi hanya untuk menenangkan hati. Lalu Allah perlihatkan melalui satu proses yang dilakukan oleh tangan baginda sendiri (Surah Al-Baqarah 260).
3.     Doa Nabi Yunus a.s. Bagaimana sebatang tubuh manusia ditelan oleh seekor ikan boleh selamat? Kenapa ikan itu tidak mengunyah dan menyiat-nyiat daging mangsa yang ditelannya itu? Dan dengan doa yang tidak henti-henti ikan itu dengan sendirinya memuntahkan kembali mangsanya dalam keadaan selamat tanpa cacat! (Surah Al-Anbiaa’ 87-88)
4.     Doa Nabi Isa a.s. Atas desakan pengikutnya, Nabi Isa a.s. berdoa supaya diturunkan hidangan direct dari langit. Maka Allah turunkan seperti yang diminta. (Surah Al-Maidah 112-115)

Pemaqbulan doa juga tiada batas masa. Allah tidak pernah lupa, tidak pernah mengabaikan apa yang dipohon oleh hambaNya biarpun telah berlalu ratusan atau ribuan tahun lamanya. Nabi Ibrahim a.s. pernah berdoa selepas selesai membina Kaabah bersama puteranya Ismail a.s.: "Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Al-Kitab serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). SesungguhnyaEngkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah 2:129)
Doa yang tulus ini diqabulkan dengan pengutusan Nabi Terakhir, Muhammad s.a.w. beratus-ratus tahun selepas itu (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkankamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.) (Al-Baqarah 2:151)
Tiada kesepakatan dari segi jarak antara kedua-dua nabi yang agung itu, menurut satu riwayat, jaraknya adalah 2800 tahun!

Namun terdapat doa yang tidak diqabulkan sebagaimana yang diminta kerana sebab-sebab tertentu yang hanya Dia Mengetahuinya. Umpamanya doa Nabi Ibrahim supaya diberikan rezeki buah-buahan kepada orang-orang beriman. Tetapi Allah tidak khususkan kepada orang beriman sahaja seperti doa Nabi Ibrahim. Sebaliknya rezeki yang diberikan meliputi hambaNya yang tidak beriman (Surah Al-Baqarah 126)
Begitu juga doa Nabi Nuh a.s. agar Allah selamatkan anaknya dari mati lepas. Allah tidak qabulkan kerana anaknya telah terputus hubungan dengan Nuh kerana kekafirannya (Surah Hud 45-47).


Maka, teruskanlah berdoa supaya Allah selamatkan kita dari segala bencana yang berbagai-bagai yang tak mampu kita hadapi tanpa pertolonganNya.

Monday, June 15, 2020

AKHLAK DAN DAKWAH

Serangkap syair yang masyhur nukilan penyair terkenal berasal dari Mesir, Ahmad Syauqi    (1868-1932) tentang akhlak mafhumnya:
Sesungguhnya kewujudan bangsa-bangsa itu selagi ada akhlaknya
Sekiranya akhlak mereka telah tiada, merekapun turut tiada

Ungkapan ini selari dengan ajaran Islam yang menjadikan neraca kesempurnaan iman seseorang mukmin itu pada akhlaknya. Di dalam sepotong hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Orang-orang beriman yang paling sempurna imannya ialah yang paling elok akhlaknya.” Riwayat Abu Dauh dan lain-lain. 
Baginda s.a.w. sendiri merupakan insan yang paling tinggi akhlaknya. Hal ini ditegaskan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam 68:4

Selain Nabi Muhammad s.a.w. Allah juga memuji akhlak rasul-rasul yang lain. Contohnya Allah memuji: 
      i.        Nabi Nuh “Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur.” (Al-Israa' 17:3)
    ii.        Nabi Ismail “sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.” (Maryam 19:54)
   iii.        Nabi Isa “Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Maryam 19:32
   iv.        Nabi Yahya “Dan dia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.” (Maryam 19:14)

Allah s.w.t. juga merakamkan bahawa mereka bukan sahaja memiliki akhlak yang sangat mulia, malah mereka turut berjuang bermatian-matian melawan kemungkaran dan keruntuhan akhlak kaum mereka. Dakwah mereka bukan sekadar mengajak kaum mereka menyembah Allah Yang Esa dan menjauhi penyembahan berhala serta tuhan-tuhan palsu yang lain. Sebaliknya mereka mengkritik dan mengecam akhlak dan budaya buruk yang diamalkan oleh kaum mereka.

Sebagai contoh, mari kita menelusuri sebahagian kisah mereka.
Nabi Nuh a.s. berhadapan dengan kaumnya yang sombong, menghina dan memandang rendah kepada golongan bawahan yang miskin sehinggakan mereka menjadikan alasan tidak mahu menyahut seruan Nuh agar beriman kepada Allah semata-mata kerana pengikut Nuh a.s. terdiri dari golongan yang hina dina pada pandangan mereka. 
“Mereka menjawab: "Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?" (Asy-Syu'araa' 26:111)
Cemuhan mereka dijawab oleh Nuh a.s.: “Nabi Nuh berkata: "Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka? "Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).” (Asy-Syu'araa' 26:112-113

Hud a.s. pula menegur kaumnya yang suka bermewah-mewah dan bermegah-megah dengan harta dan pembangunan material yang hebat di samping berkelakuan keji dan ganas terhadap golongan bawahan.
“Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik. "Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya? "Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?” (Asy-Syu'araa' 26:128-130)

Nabi Soleh a.s. mengkritik kaumnya yang bermewah-mewah dengan hasil pertanian dan pembangungan kebendaan yang tidak kurang seperti kaum Nabi Hud a.s.
“Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan mata air-mata air (yang mengalir), Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut? Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal - dengan bijak dan bersungguh-sungguh?” (Asy-Syu'araa' 26:146-149

Nabi Lut a.s. mengecam kaumnya yang mengamalkan hubungan sejenis secara terang-terangan tanpa segan dan silu: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!" (Asy-Syu'araa' 26:165-166)

Nabi Syuaib a.s. berhadapan dengan kaum yang tidak amanah dalam urusan perniagaan. Dan beliau dengan lantang menegur perbuatan yang mungkar itu, “Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.” (Asy-Syu'araa' 26:181-183


Contoh-contoh yang dikemukakan di atas jelas menunjukkan landasan serta hala tuju perjuangan para nabi dan rasul sejak Nabi Adam a.s. hingga Nabi Muhammad s.a.w. bukan hanya sekadar mengajak manusia melakukan ibadah khusus seperti solat, puasa dan zikir semata-mata. Sebaliknya mereka diutuskan untuk menentang sebarang bentuk kemungkaran dan akhlak yang keji dan membina kehidupan berlandaskan nilai murni dan akhlak terpuji.

Sunday, June 14, 2020

Adakah terdapat manusia yang tak pernah buat silap?


Antara ayat yang menjadi wirid hampir setiap kali lepas solat ialah ayat terakhir surah al-Baqarah yang bermaksud:
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! JANGANLAH ENGKAU MENGIRAKAN KAMI SALAH JIKA KAMI LUPA ATAU KAMI TERSALAH. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286

Di dalam sepotong ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “DAN KAMU PULA TIDAK DIKIRA BERDOSA DALAM PERKARA YANG KAMU TERSILAP MELAKUKANNYA, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Ahzaab 33:5

Kedua-dua ayat di atas menunjukkan dengan jelas bahawa melakukan kesilapan adalah sesuatu yang biasa bagi makhluk yang bernama manusia. Dan Allah Ta’ala amat mengetahui akan hal ini. Justeru, dengan sifat rahmah dan kasihan belasNya Dia tidak mengira perbuatan yang dilakukan dengan tidak sengaja, tersalah dan tersilap itu sebagai perbuatan yang berdosa. Nabi s.a.w. turut menjelaskan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melepaskan dosa dari umatku (perbuatan yang dilakukan dengan) tersilap, terlupa dan yang dipaksakan ke atasnya.” Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang hakim berijtihad, jika betul baginya dua pahala. Jika salah, baginya satu pahala.” 
Hadis ini dengan jelas mengakui kemungkinan terdapat kesilapan seseorang hakim atau pemerintah di dalam ijtihadnya. Ertinya ia tidak selalunya tepat dan betul.
Inilah yang difahami dan dihayati oleh imam-imam mujtahidin terdahulu. Mereka tidak mendakwa hanya mereka sahaja yang selalunya betul. Orang lain semuanya salah.
Imam Abu Hanifah, apabila mengeluarkan sesuatu fatwa, beliau ikuti dengan kata-kata: “Ini adalah pendapat Nu’man bin Thabit (iaitu dirinya). Dan inilah pendapat terbaik yang dia mampu. Sesiapa yang mengemukakan pendapat yang lebih baik daripadanya, maka itulah yang lebih utama dan lebih tepat.”
Imam Malik berkata: “Tidak ada seorang manusiapun, kecuali boleh diambil kata-katanya dan boleh ditolak melainkan Rasulullahs.a.w.”
Imam Al-Syafie berkata: “Jika kamu dapati kata-kataku bercanggah dengan hadis, maka hendaklah kamu beramal dengan hadis dan lemparkanlah kata-kataku itu ke tembok!”

Sesungguhnya kesilapan bukan sahaja dilakukan oleh orang-orang biasa atau orang kebanyakan. Malah tidak mustahil dilakukan oleh orang-orang yang bertaqwa. Cuba kita amati firman Allah yang berikut: “Dan (orang-orang yang bertaqwa) juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (A-li'Imraan 3:135)
Di dalam ayat ini Allah menyenaraikan antara ciri orang yang bertaqwa ialah apabila melakukan dosa dan kesalahan, mereka segera ingat Allah dan bertaubat. Bukan orang yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Para sahabat radhiallahu’anhum pernah ditegur oleh Allah dan Rasul s.a.w. kerana tersilap dalam pemahaman dan pelaksaan sesuatu perintah dan arahan. Terlalu banyak contoh-contoh yang boleh ditemui di dalam al-Quran dan kitab-kitab hadis yang sahih. 

Sebagai contoh, firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” (An-Nisaa' 4:94
Para mufassirin meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa sebab nuzul ayat ini ialah seorang sahabat bernama Miqdad bin Aswad telah membunuh seseorang yang mengucap syahadah kerana disangkanya orang yang mengucap itu hanya sekadar untuk menyelamatkan hartanya dari dirampas oleh tentera Islam. Apabila Rasulullah s.a.w. mendapat tahu tindakan Miqdad itu, bagindas.a.w. menegurnya dengan berkata: “Bagaimana kamu akan berhujjah esok (di hari akhirat) sedangkan dia telah mengucap tiada Tuhan melainkan Allah?” 

Kebanyakan nabi dan rasul a.s., termasuk Nabi kita Muhammad s.a.w. juga beberapa kali ditegur oleh Allah dan diabadikan teguran itu di dalam kitab suci al-Quran yang dibaca oleh umat manusia hingga ke hari qiamat. 
Apakah ini bermakna nabi-nabi juga buat silap? 
Untuk orang biasa selain dari nabi dan rasul, bila ditegur itu, kita kata buat silaplah. 

Namun demi menjaga adab dengan nabi-nabi dan rasul-rasul serta mengiktiraf bahawa mereka insan yang maksum, ulamak tidak menyebut mereka buat silap. Sebaliknya istilah yang disebut ialah memilih khilaful-aula, iaitu keputusan yang kurang baik atau bukan yang terbaik.
Banyak contoh-contoh jika hendak disenaraikan. Teguran kepada Nabi-nabi Ibrahim, Nuh, Musa, Daud alaihimus-salam dan Nabi Muhammad s.a.w. 
Misalnya firman Allah yang bermaksud: “Dia memasamkanmuka dan berpaling, Kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).” ('Abasa 80:1-11)

Ahli-ahli tafsir sependapat mengatakan bahawa ayat-ayat di atas turun untuk menegur perbuatan Rasulullah s.a.w. yang tidak memberi perhatian kepada Ibn Ummu Maktum yang datang ketika baginda sedang bersunggu-sungguh berbicara dengan pembesar Quraisy untuk menarik mereka memeluk Islam. 

Satu lagi ayat menegur Rasulullah s.a.w. tentang keputusan baginda membebaskan tawanan perang Badar dengan mengambil tebusan. “Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.” (Al-Anfaal 8:67-68)
Ibn Jarir menyebut bahawa Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Keesokan harinya (iaitu selepas keputusan dibuat untuk menerima tebusan daripada tawanan) aku mengunjungi Rasulullah s.a.w. Aku dapati baginda dan Abu Bakar sedang menangis. Lalu aku berkata: “Ya Rasulullah, ceritakanlah kepadaku apakah yang menyebabkan kalianberdua menangis? Jika boleh, aku akan ikut menangis. Jika tidak, aku paksa diriku untuk menangis!” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku menangis kerana aku membenarkan sahabat-sahabatku mengambil tebusan, sedangkan aku dibentangkan azab kepadaku lebih dekat daripada pokok ini (baginda mengisyaratkan pokok yang berhampiran dengannya.” Lalu Allah turunkan ayat ini (Surah al-Anfal ayat 67 hingga 69).

Kesimpulan, melakukan kesilapan atau membuat keputusan yang kurang tepat adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia semua peringkat. Ia bukan sesuatu yang mengaibkan atau mengurangkan kemuliaan seseorang itu di sisi Allah ‘Azza wa Jalla selagi mana mereka bersedia untuk membetulkan kesilapan bila diperingatkan.

Dakwaan mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap dan tidak boleh dikelirukan, pada pendapat ambo agak sukar diterima. Ia memerlukan penjelasan dan pembuktian yang jitu baik secara naqli maupun aqli.

Allahu A’lam.

Wednesday, June 10, 2020

MUDAHNYA KITA TERPEDAYA


Sujud syukur, membaca doa, memimpin alunan takbir hari raya, menyelit ayat al-Quran di dalam ucapan, itukah ukuran seorang pemimpin yang soleh dan berwibawa?
Alangkah mudahnya kalau begitu.

Persoalannya apakah itu neraca yang diajar oleh agama untuk menilai seseorang?

Cuba kita renung sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Qutaibah mengenai soal jawab seorang lelaki dengan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a.:
L – sesungguhnya fulan itu seorang yang jujur 
U – adakah engkau pernah bermusafir bersamanya?
L – tidak pernah!
U – pernahkah ada sebarang pertelingkahan antara dia denganmu?
L – tidak pernah!
U – adakah engkau pernah menyerahkan kepadanya sesuatu amanah supaya dia menjaganya?
L – tidak pernah!
U – maka engkau sebenarnya tidak mengenalinya. Aku berpendapat bahawa engkau hanya pernah melihat dia mengangkat kepala dan menundukkannya di dalam masjid!

Menurut versi yang disebut oleh Ibn Taimiah, soal jawab Umar dengan seorang lelaki yang mengemukakan seseorang untuk menjadi saksi, lalu Umar bertanya untuk mempastikan kelayakan saksi yang dicadangkan itu:
U – adakah engkau jiran yang berdekatan dengannya sehingga engkau mengetahui kehidupannya di waktu petang dan pagi?
L – tidak!
U – adakah engkau pernah berurus niaga dengannya, yang mana dengan urus niaga itu terbukti sikap jujur dan amanahnya dalam mengira dirham dan dinar?
L – tidak!
U – adakah engkau pernah berkawan dengannya ketika musafir dan terserlah akhlak mulianya di kalangan manusia?
L – tidak!
U – kalau begitu, engkau tidak mengenalinya! Boleh jadi engkau hanya pernah melihatnya rukuk beberapa rakaat (menunaikan solat) di dalam masjid!

Maka selagi kita tidak kembali kepada asas yang sahih yang bersumberkan ajaran agama, kita hanya menilai ikut sedap mata dan emosi bangsa dan budaya, selama itu kita tidak akan berganjak walau setapakpun. 
Ke manakah perginya ayat-ayat yang dibaca dan ditadabbur sepanjang Ramadhan yang baru berlalu kalau kita tidak mempedulikan sama ada janji dan amanah dikhianati dan dimungkiri sewenang-wenangnya? 
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlahkamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl 16:91

Syarat Kejayaan

Kalau kita memasuki sesuatu pertandingan atau sesuatu ujian, apakah yang menjadi sasaran utama kita? 
Menang atau kalah? 
Berjaya atau gagal? 

Dan pihak manakah yang berhak menentukan sama ada kita menang atau kalah? Siapakah yang berhak menentukan kita berjaya atau gagal?

Tentulah pihak penganjur pertandingan atau ujian yang kita masuki, bukan?

Itulah perbandingan hidup kita di dunia ini. Sebenarnya kita sedang menjalani ujian yang diatur oleh Pencipta kita Yang Maha Agung. Dia telah berfirman di dalam Kitab SuciNya bermaksud:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun;”

Maka oleh kerana Dia yang menganjurkan ujian ini, Dialah yang menentukan syarat untuk mencapai kejayaan dan kemenangan. Maka siapakah orang yang berjaya menurut ukuranNya? Dia telah menjelaskan di dalam firmanNya yang bermaksud: 

“Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.
Allah telah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.”

Orang yang berjaya dan beroleh kemenangan yang besar adalah Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang beriman bersamanya. Mereka berjihad dengan harta dan jiwa.
Itulah syarat kemenangan; beriman, bersama Rasulullah s.a.w., berjihad dengan harta dan jiwa

Mari kita semak iman kita!
Iman adalah percaya dengan penuh yakin kepada Allah dan segala yang diperintahkan agar kita mempercayainya yang terangkum di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali".

Iman tidak cukup dengan kepercayaan dan keyakinan di dalam hati semata-mata. Sebaliknya ia mesti dibuktikan dengan amalan. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menjelaskan keadaan orang yang beriman. Contohnya mereka tidak ragu dan teragak-agak dalam mematuhi semua perintang Allah dan Rasul seperti dinyatakan di dalam ayat berikut:
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan SunnahRasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatudi antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

Mengikuti Rasulullah s.a.w. dan bersama dengannya dalam menegakkan Islam juga merupakan tuntutan iman yang paling asas. Terlalu banyak ayat-ayat yang menegaskan bahawa tidak sempurna iman jika tidak mentaati perintah Rasulullah s.a.w. Allah berfirman maksudnya: 
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
Mengikuti Rasulullah s.a.w. juga merupakan syarat untuk meraih cinta Allah SWT.
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Jihad adalah satu daripada bukti iman yang benar. Firman Allah bermaksud: 
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”

Jihad adalah perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan mempertahankannya dari serangan musuh luaran dan dalaman. Justeru, jihad bukan sahaja dalam bentuk peperangan bersenjata melawan kuffar. Sebaliknya ia merangkumi jihad melawan nafsu, syaitan, golongan yang zalim, menyeleweng dan yang melampau dalam agama. Wasilah jihad juga berbagai-bagai mengikut keperluan dan kesesuaian dengan musuh yang hendak dilawan.

Oleh kerana jihad adalah satu daripada bukti iman yang benar, maka meninggalkan jihad boleh mengancam dan merosakkan iman serta diancam dengan siksa yang tidak terperikan sama ada di dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman maksudnya:
Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang mati, dan dia tidak pernah berjuang serta tidak pernah berbicara dengan dirinya (tidak pernah berniat) untuk berjuang, dia mati di atas satu cabang daripada nifaq” Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.
Ketika mensyarah hadis ini, Imam al-Nawawi berkata bahawa orang yang meninggalkan jihad itu sama seperti munafiq.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Ibn Umar r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: 
“Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah, kamu pegang ekor lembu dan kamu reda dengan pertanian lalu kamu meninggalkan jihad, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu dan Dia tidak akan mencabutnya (kehinaan itu) daripada kamu hinggalah kamu kembali kepada agama kamu.”
Pegang ekor lembu dan reda dengan pertanian adalah kiasan yang membawa maksud terlalu sibuk dan leka dengan kerja bercucuk tanam sehingga meninggalkan jihad.

Al-Son’ani berkata: “Maka Allah jadikan jihad itu agama. Dan sesiapa yang meninggalkannya pasti akan dilingkari kehinaan yang tidak tercabut darinya”.

Kesimpulannya, ramuan kejayaan adalah iman, mengikuti Rasulullah s.a.w. dan jihad.

https://www.ikram.org.my/tarbiah/dakwah-harakah/item/3288-syarat-syarat-mencapai-kemenangan.html