Hari ini ramai di kalangan kita telah membaca surah al-Kahfi kerana percaya kepada kelebihan membacanya pada malam atau hari Jumaat. Dinamakan surah al-Kahfi kerana terdapat Kisah Ashabul-Kahfi yang diceritakan di dalam surah tersebut.
Kisah Ashabul-Kahfi dinukilkan daripada ayat 9 hingga ayat 22. Banyak pengajaran yang boleh dipetik daripadanya. Antara:
1. Ashabul-Kahfi terdiri dari orang-orang muda (Fityah). Ini menunjukkan betapa pentingnya orang muda mempunyai pendirian yang jitu dan pegangan hidup yang jelas sejak usia masih muda, tidak leka dengan hiburan, berfoya-foya dengan permainan yang melalaikan tanpa arah tuju yang jelas.
2. Mereka terdiri dari beberapa orang, bukan bersendirian. Satu peringatan supaya memilih kawan yang baik yang mempunyai pegangan dan tahu arah tuju dalam kehidupan. Ia juga mengajar perlunya amal secara berjamaah, khususnya dalam usaha untuk menegakkan agama Allah. Perjuangan Islam tidak sepatutnya dilakukan secara bersendirian. Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah agar memilih saudaranya Harun agar menjadi pendukung yang menguatkan perjuangannya. Allah juga memperingatkan Nabi kita s.a.w. agar sentiasa bersama mereka yang mencari keredhaanNya (ayat 28)
3. Berdoa dalam setiap langkah (ayat 10). Apa yang paling dihajati oleh hamba dalam perjuangan menegakkan kebenaran ialah rahmah dan hidayah (rasyad) dari Allah SWT.
4. Berdakwah dengan hujjah dan fakta, bukan semangat dan emosi semata-mata (14).
5. Tidak menggunakan kekerasan dalam menyampaikan risalah. Sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengemukakan hujjah mereka dan bersedia untuk mendengar (ayat 15).
6. Tidak melabel musuh secara direct. Perhatikan ucapan mereka “Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.” (Al-Kahfi 18:15). Mereka tidak berkata “Kamu adalah orang-orang yang zalim” atau seumpamanya dengan ganti nama kedua. Sebaliknya menggunakan ganti nama ketiga “orang-orang yang …”
7. Mengasingkan diri dari ancaman musuh yang boleh membahayakan pegangan agama di kala tidak ada kemampuan untuk menghadapinya adalah diharuskan (ayat 16).
8. Rahmat Allah senentiasa menaungi hamba-hambaNya yang benar dan ikhlas dalam mempetahankan agama.
9. Harus memelihara anjing untuk tujuan yang baik. Namun tidak wajar membawanya bersama hingga ke dalam rumah atau bilik. Perhatikan firman Allah: “sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua;”! Anjing berada di luar gua. Bukan di dalam gua bersama dengan tuannya.
10. Membawa bekalan wang ketika meninggalkan kampung halaman (ayat 19). Mungkin dengan adanya bekalan menyelamatkan kita dari terpaksa meminta-minta bila ditimpa kesusahan
11. Dakwah adalah milik Allah. Kehilangan pendakwah dari persada tidak bermakna terhentilah dakwah. Lihatlah, kehilangan Ashabul-Kahfi dari kampung halamannya selama 300 tahun tidak menjadikan kaumnya terus berada dalam kesesatan. Sebaliknya mereka telah menjadi orang-orang yang beriman. Pastinya ada pendakwah yang Allah datangkan selepas pemergian Ashabul-Kahfi. Maka janganlah kita rasa kitalah yang berjasa terhadap dakwah. Sebaliknya kita beruntung jika Allah memberi peluang kepada kita untuk menjadi insan yang berdakwah kepada agamaNya.
12. Allah sentiasa merancang yang terbaik buat sekelian hambaNya dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang Dia sahaja mengetahuinya. Allahu A’lam.
*UMD*
05062020/13101441
No comments:
Post a Comment