Al-Hasan menceritakan bahawa pada zaman dahulu terdapat sepohon pokok yang disembah oleh manusia selain daripada Allah.
Seorang lelaki datang dengan penuh keazaman untuk menebang pokok tersebut demi mempertahankan kemurnian tauhid dan menyelamatkan manusia dari menyembah sesuatu yang lain daripada Allah.
Di dalam perjalanannya, dia bertemu dengan Iblis yang muncul di hadapannya dalam rupa manusia. Iblis bertanya, “Apa yang engkau mahu?”
Dia menjawab, “Aku mahu menebang pokok ini yang manusia sembah selain daripada Allah.”
Iblis cuba memalingkan tujuannya dengan berkata, “Engkau tidak menyembahnya. Maka apakah yang memudaratkanmu kalau orang lainyang menyembahnya?”
Dia tidak menghiraukan persoalan itu. Malah tetap bertegas mahu menebangnya.
Iblis memujuknya dengan menukar taktik yang lain pula.
Katanya, “Mahukah engkau kalau aku tawarkan sesuatu yang lebih baik untukmu? Engkau tidak usah menebangnya. Dan engkau akan memperoleh dua dinar di sisi bantulmu setiap hari apabila engkau bangun di waktu pagi.”
“Dari manakah datangnya dinar itu untukku?” Tanya lelaki itu dalam keadaaan ragu.
“Aku yang akan berikan untukmu!” Jawab Iblis dengan nada yakin.
Lelaki itupun pulang.
Keesokan harinya, apabila bangun dari tidur dia mendapati dua dinar terletak di sisi bantalnya.
Hari berikutnya, dia tidak mendapati dua dinar di sisi bantalnya seperti hari sebelumnya.
Dia bangun dalam keadaan marah, lantas bergegas menuju ke pokok yang disembah manusia untuk menebangnya. Iblis muncul lagi di hadapannya dan bertanya, “Apa yang engkau mahu?”
Dia menjawab, “Aku mahu menebang pokok ini yang disembah manusia selain daripada Allah!”
Iblis berkata, “Engkau bohong. Engkau tidak akan dapat menebangnya!”
Lelaki itu tidak menghiraukan kata-kata Iblis. Dia terus meluru ke arah pokok untuk menebangnya. Iblis memukulnya sehingga dia tersembam ke bumi dan mencekiknya sehingga hampir-hampir terputus nyawanya.
Iblis berkata, “Tidakkah engkau tahu, siapa aku? Aku adalah syaitan. Engkau datang kali pertama didorong oleh perasaan marah kerana Allah. Maka aku tidak dapat menewaskanmu. Lalu aku perdayakanmu dengan dua dinar, lantas engkau tinggalkan hasratmu. Hari ini engkau datang di dorong oleh perasaan marah kerana tidak dapat dua dinar. Maka aku dapat menewaskanmu.”
Pengajarannya: lihatlah betapa liciknya tipu daya Iblis. Dia akan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang kita dari melakukan kebaikan. Dan senjata paling berbisa yang dapat menewaskan manusia adalah tawaran harta dan kekayaan.
Justeru, barhati-hatilah. Hanya dengan niat yang ikhlas serta pertulunganNya sahaja dapat menyelamatkan kita dari tipu daya Iblis durjana.
- Daripada kitab Talbis Iblis, Ibn Jauzi.
No comments:
Post a Comment