Sujud syukur, membaca doa, memimpin alunan takbir hari raya, menyelit ayat al-Quran di dalam ucapan, itukah ukuran seorang pemimpin yang soleh dan berwibawa?
Alangkah mudahnya kalau begitu.
Persoalannya apakah itu neraca yang diajar oleh agama untuk menilai seseorang?
Cuba kita renung sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Qutaibah mengenai soal jawab seorang lelaki dengan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a.:
L – sesungguhnya fulan itu seorang yang jujur
U – adakah engkau pernah bermusafir bersamanya?
L – tidak pernah!
U – pernahkah ada sebarang pertelingkahan antara dia denganmu?
L – tidak pernah!
U – adakah engkau pernah menyerahkan kepadanya sesuatu amanah supaya dia menjaganya?
L – tidak pernah!
U – maka engkau sebenarnya tidak mengenalinya. Aku berpendapat bahawa engkau hanya pernah melihat dia mengangkat kepala dan menundukkannya di dalam masjid!
Menurut versi yang disebut oleh Ibn Taimiah, soal jawab Umar dengan seorang lelaki yang mengemukakan seseorang untuk menjadi saksi, lalu Umar bertanya untuk mempastikan kelayakan saksi yang dicadangkan itu:
U – adakah engkau jiran yang berdekatan dengannya sehingga engkau mengetahui kehidupannya di waktu petang dan pagi?
L – tidak!
U – adakah engkau pernah berurus niaga dengannya, yang mana dengan urus niaga itu terbukti sikap jujur dan amanahnya dalam mengira dirham dan dinar?
L – tidak!
U – adakah engkau pernah berkawan dengannya ketika musafir dan terserlah akhlak mulianya di kalangan manusia?
L – tidak!
U – kalau begitu, engkau tidak mengenalinya! Boleh jadi engkau hanya pernah melihatnya rukuk beberapa rakaat (menunaikan solat) di dalam masjid!
Maka selagi kita tidak kembali kepada asas yang sahih yang bersumberkan ajaran agama, kita hanya menilai ikut sedap mata dan emosi bangsa dan budaya, selama itu kita tidak akan berganjak walau setapakpun.
Ke manakah perginya ayat-ayat yang dibaca dan ditadabbur sepanjang Ramadhan yang baru berlalu kalau kita tidak mempedulikan sama ada janji dan amanah dikhianati dan dimungkiri sewenang-wenangnya?
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlahkamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl 16:91)
No comments:
Post a Comment