Saturday, July 18, 2020

YUSUF DAN MARYAM


Ketika membaca tafsir ayat 22 dan 23 surah Maryam yang bermaksud:
Maka Maryam hamilah mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.
(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
Saya terjumpa kisah menarik yang diceritakan oleh Al-Razi (wafat 606H) diambil daripada riwayat al-Tha’labi daripada Wahab, iaitu salah satu pendapat tentang kenapa Maryam “memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh”?
Beliau menceritakan:
Yusuf al-Najjar adalah sepupu kepada Maryam. Mereka berdua selalu pergi bersama-sama ke masjid yang terletak di bukit sohyun. Mereka berkhidmat di masjid itu. Tidak ada orang lain pada masa itu yang lebih rajin beribadah dan mengurus masjid selain dari mereka berdua.
Justeru, orang pertama yang mengetahui Maryam mengandung adalah Yusuf. Dia sangat hairan. Hendak menuduh Maryam berzina, tidak mungkin kerana dia sangat mengenali Maryam, seorang wanita yang solihah serta kuat beribadah. Lagipun Maryam tidak pernah berjauhan darinya walaupun sebentar.
Hendak dikatakan Maryam tidak bersalah, kandungannya semakin ketara!
Dia berfikir, bagaimana hendak memulakan bicara dengan Maryam?
Suatu hari, dia memberanikan diri bertanya kepada Maryam:
“Ada sesuatu yang terbuku di hatiku tentang dirimu. Aku berusaha untuk menyembunyikannya, namun tidak berupaya. Maka aku fikir, berterus terang itu lebih menenangkan hatiku”
“Katakanlah dengan perkataan yang baik.” Sahut Maryam
“Beritahu kepadaku wahai Maryam, adakah pokok akan tumbuh tanpa benih? Adakah pokok akan tumbuh subur tanpa disirami hujan? Dan adakah akan terjadi anak tanpa lelaki?”
Maryam menjawab: “Ya. Tidakkah engkau tahu bahawa Allah telah menumbuhkan tanaman-tanaman tanpa benih pada hari pertama Dia menciptakannya? Dan benih-benih itu hanya terhasil daripada tanaman yang Allah tumbuhkan pada permulaannya tanpa benih? Tidakkah engkau tahu bahawa Allah telah menumbuhkan pokok tanpa disirami air hujan? Dan dengan qudratNya Allah menjadikan air hujan sebagai sumber kehidupan pokok selepas Dia menciptakan setiap satunya secara berasingan? Atau adakah engkau berpendapat Allah tidak berkuasa untuk menumbuhkan pokok tanpa bergantung kepada pertulungan air? Kalaulah begitu, bermakna Allah tidak berkuasa menumbuhkannya!”
Yusuf berkata: “Aku tidak berkata begitu! Sesungguhnya aku yakin Allah berkuasa untuk berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki dengan berkata “kun!” maka jadilah perkara yang Dia kehendaki itu.”
Maryam menyambung lagi: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menciptakan Adam dan isterinya Hawwa tanpa melalui lelaki dan wanita?”
Mendengar penjelasan itu, terus hilang prasangka dan keraguan di hati Yusuf. Maka dia memikul semua tugas mengurus masjid yang sebelum ini dilakukannya bersama Maryam. Maryam semakin lemah kerana sarat mengandung ditambah lagi dengan tekanan perasaan yang dialaminya.
Apabila telah hampir waktu untuk melahirkan, Allah wahyukan kepada Maryam: “Keluarlah engkau dari daerah tempat tinggal kaummu agar mereka tidak membunuh puteramu!”
Maka Yusuf membawa Maryam pergi ke Mesir dengan menunggang himar miliknya. Sampai sahaja di Mesir, waktu melahirkan pun tiba. Maryam menuju ke pangkal pokok kurma. Beliau memeluknya dan melahirkan puteranya di situ.
Pengajarannya, Allah memilih Maryam untuk menjadikan dirinya sebagai bahan bukti kekuasaan Allah dalam penciptaan, iaitu mencipta anak tanpa berlaku persenyawaan di antara benih lelaki dan perempuan seperti yang biasa berlaku. Namun apa yang terpaksa diharungi oleh Maryam bukanlah suatu laluan yang mudah. Kalau kita fikirkan, Allah yang tentukan, kenapa dia mesti lalui segala keperitan begitu hingga ke tahap dia bercita-cita untuk mati? “dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

Itulah sebenarnya hakikat hidup yang tidak boleh lari dari ujian. Setiap orang diuji sesuai dengan tahap keimanannya. Nabi s.a.w. pernah ditanya, “siapakah di kalangan manusia yang paling berat ujiannya?”
Baginda menjawab: “Para nabi. Kemudian orang-orang solih. Kemudian orang yang paling menyerupai mereka, diikuti dengan orang yang paling menyerupai mereka. Diuji seseorang itu mengikut tahap agamanya. Jika pegangan agamanya kuat, ditambah ujian ke atasnya. Jika pegangan agamanya lemah, diringankan ujian ke atasnya. Dan berterusanlah mukmin itu diuji sehingga akhirnya dia berjalan di atas muka bumi ini tanpa memikul sebarang dosa.” Hadis sahih daripada Saad bin Abi Waqqas r.a.

WANITA JELITA YANG PETAH BERBICARA


Ketika tawanan wanita dari qabilah Bani Thoi dibawa ke hadapan Nabi s.a.w. di Madinah, terdapat dalam kalangan mereka Saffanah binti Hatim al-Thoi. Beliau merupakan seorang wanita yang sangat cantik, berbadan tinggi sederhana, bibir yang manis dan mata yang sangat menawan.
Semua yang berada di situ terpegun melihat kecantikan rupa parasnya. Namun apabila dia mula berbicara, mereka terlupa pada kecantikan dan kejelitaannya, sebaliknya mereka terpesona pula pada keindahan tutur katanya serta kepetahan bicaranya.
Dia berkata:
“Ya Muhammad, telah terkorban al-walid  dan telah hilang al-wafid. Sekiranya tuan berbesar hati untuk membebaskan saya, supaya saya tidak menjadi bahan cemuhan qabilah-qabilah Arab, itulah yang sebaik-sebaiknya. Saya adalah puteri kepada ketua kaumnya. Ayah saya sangat mengkagumi akhlak yang mulia. Beliau sentiasa menjamu orang yang lapar, menolong orang yang susah, memberi pakaian kepada orang yang memerlukan. Tidak ada seorangpun yang datang meminta bantuan kecuali beliau akan tunaikan dengan cara yang mulia dan terhormat.”
Nabi s.a.w. bertanya:
“Siapakah walidmu dan siapakah wafidmu?”
Saffanah menjawab:
“Walidku ialah Hatim bin Abdullah al-Thoi dan wafidku ialah abangku ‘Adi bin Hatim.”
(‘Adi telah lari ke Syam selepas qabilahnya dikalahkan oleh tentera Islam pada tahun ke 9 hijrah. Kemudian dia memeluk Kristian dan mendpat perlindungan Raja Rom di sana).
Rasulullah s.a.w. bertanya untuk kepastian:
“Engkau adalah Puteri Hatim al-Thoi?”
Dia menjawab:
“Ya, benar.”
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Wahai Saffanah, sifat-sifat mulia yang engkau sebutkan tadi merupakan sifat-sifat orang yang beriman!”
Kemudian Nabi s.a.w. mengarahkan sahabatnya r.anhum:
“Bebaskan dia sebagai tanda penghormatan kepada ayahnya. Sesungguhnya ayah beliau adalah seorang yang cintakan akhlak yang mulia!”
Mendengar arahan baginda, Saffanah bertanya:
“Adakah saya akan dibebaskan bersama dengan tawanan lain yang bersama dengan saya, lelaki dan wanita?”
Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Bebaskan semua tawanan yang bersama dengannya sebagai penghormatan kepadanya dan ayahnya!”
Kemudian baginda s.a.w. berpesan:
“Kasihanilah tiga golongan. Dan sememangnya mereka berhak untuk dikasihani! Orang mulia yang terhina selepas kemuliaannya, orang kaya yang jatuh faqir selepas kekayaannya dan orang alim yang terbuang di kalangan orang jahil.”
Apabila Saffanah menyaksikan akhlak terpuji yang tidak mungkin akan terpancar kecuali dari hati bersih suci yang melipah dengan kasih sayang dan keprihatinan, beliau melafazkan dengan tenang dan yakin:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasulullah!”
Serentak dengan itu, semua tawanan yang bersama dengannya memeluk Islam.
Dan Rasulullah s.a.w. memulangkan semua harta ghanimah yang diambil oleh tentera Islam dari Bani Thoi.
Ketika mereka bersiap sedia untuk berangkat pulang, Saffanah berkata:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya ada lagi pahlawan-pahlawan dari qabilah kami dan ahli-ahli keluarga kami yang memanjat benteng-benteng di atas bukit kerana takut kepada kaum muslimin. Bolehkah tuan berangkat bersama kami dan memberikan jaminan keamanan untuk mereka supaya mereka  turun dan memeluk Islam di tangan anda sendiri? Jika boleh, maka ia merupakan satu kemuliaan!”
Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Aku akan utuskan bersamamu seorang lelaki dari ahli rumahku yang membawa jaminan keamanan untuk mereka bagi pihakku.”
Saffanah bertanya:
“Siapakah dia ya Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Ali bin Abi Talib.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. perintahkan supaya disediakan untuk Saffanah sekedup untuk beliau duduki (di atas unta tunggangannya) sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan untuknya. Lalu beliau serta kaumnya berangkat bersama-sama dengan Ali bin Abi Talib. Mereka selamat sampai di kawasan perumahan Bani Thoi di banjaran bukit Aja.
Ali melaungkan jaminan keamanan daripada Rasulullah s.a.w. dengan suaranya yang lantang sehingga didengari oleh mereka yang berada di atas bukit. Lalu pahlawan-pahlawan Thoi dan tentera-tentera berkuda mereka turun secara berkumpulan dan bersendirian sehingga mereka tiba di tanah rendah.
Apabila mata mereka terpandang kepada isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan harta benda telah kembali kepada mereka, semuanya menangis. Mereka berkerumun mengelilingi Ali sambil mengucap dua kalimah syahadah. Tidak sampai esok hari kecuali seluruh qabilah Bani Thoi semuanya memeluk Islam.
Kemudian Saffanah mengutus surat kepada abangnya ‘Adi memberitahunya tentang pengampunan Rasulullah s.a.w., kemuliaannya serta keelokan akhlak baginda. Beliau menggesa abangnya supaya pergi ke Madinah, bertemu dengan Rasulullah s.a.w., meminta maaf dari baginda dan memeluk Islam.
Sampai sahaja surat itu ke tangan ‘Adi, beliau terus membuat persiapan untuk berangkat ke Madinah. Beliau memeluk Islam di tangan baginda s.a.w.
Kemudian beliau pulang ke kampung halaman bertemu kaumnya sebagai insan mulia lagi dihormati. Dan beliau akhirnya termasuk di dalam kalangan muslim yang terbaik.
Itulah selingkar kisah yang menunjukkan betapa mulianya akhlak Rasulullah s.a.w.
Baginda juga memuliakan orang yang baik serta keluarganya walaupun mereka tidak beragama Islam.
Dan akhlak yang baik menjadi tarikan untuk orang lain memeluk Islam.
اللهم اهدنا لأحسن الأخلاق لايهدي لأحسنها إلا أنت
Ya Allah, bimbinglah kami menjadi insan yang berakhlak mulia. Tiada siapa yang dapat membimbingkami kecuali Engaku...!

MUHASABAH YANG MEMBEKAS



Syeikh Muhammad al-Ghazali bercerita tentang pengalamannya bersama dengan seorang pemabuk arak:
Aku menegur seorang lelaki penagih arak. Aku berkata kepadanya: “Engkau tak henti-henti meneguk arak. Tidakkah engkau teringin untuk bertaubat?”
Tanpa disangka-sangka, dia memandang kepadaku dengan hiba dan air matanya berlinangan di birai mata seraya berkata: “Berdoalah kepada Allah untukku!”
Aku perhatikan keadaannya. Hatiku tersentuh melihat wajahnya. Tangisannya menggambarkan keinsafannya yang mendalam akan keterlanjurannya selama ini dan betapa cuainya dia dalam menunaikan hak-hak Allah. Dia kelihatan begitu sedih kerana mengabaikan suruhan Allah. Dia begitu serius mahu memperbaiki hubungannya dengan Allah.
Sesuungguhnya dia seorang yang benar-benar beriman, tetapi diuji dan dia tewas. Kini dia sedang mencari jalan keselamatan dan dia meminta pertolonganku untuk mendekatkannya ke jalan itu.
Aku berkata kepada diriku:
“Boleh jadi keadaan diriku sama seperti keadaan lelaki ini atau mungkin lebih teruk lagi?
Betul aku tidak pernah meminum arak walaupun setitik. Itu kerana persekitaran hidupku tidak memungkinkan aku mengenalinya. Namun mungkin aku telah mabuk meneguk kelalain sehingga menjadikan aku lupa dan leka dari mengingati Tuhan serta mengabaikan hak-hakNya!
Sesungguhnya lelaki ini sedang menangisi kecuaiannya sedangkan aku dan orang-orang seperti aku tidak pernah menangisi kecuaian sendiri.
Boleh jadi kita adalah orang-orang yang tertipu!”
Maka aku memandang ke arah lelaki itu dan berkata kepadanya:
“Marilah kita berdoa bersama-sama untuk diri kita:
  "ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين"

Iangatlah ....

Ketika Allah memilih dan memimpinmu ke jalan hidayahNya, ia bukan kerana keistimewaan dirimu atau kerana engkau seorang yang taat kepadaNya! Sebaliknya ia adalah rahmatNya yang dilimpahkan ke atasmu.
Boleh jadi Dia akan mencabutnya daripadamu pada bila-bila masa saja.

Justeru, janganlah engkau terpedaya dengan amalanmu dan ibadahmu.
Janganlah engkau memandang hina kepada mereka yang tersesat dari jalan Allah kerana kalaulah tidak kerana rahmat Allah kepadamu, tentulah engkau berada di tempat mereka itu.

Awaslah! Jangan sekali-kali engkau menyangka keteguhanmu, istiqamahmu di atas jalan Allah itu merupakan satu pencapaian peribadimu yang hebat.
Manusia paling hebat dan paling sempurna, Rasulullah s.a.w. sendiri diperingatkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:
“Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.” (Al-Israa' 17:74)

Perhatikan! Teguhnya pendirian Rasulullah s.a.w. kerana Allah yang meneguhkannya. Bukan kerana dirinya yang teguh. Maka, apa lagi kita!?

Dipetik dan diterjemah dari FB: احمد ابوشعيره

Monday, July 13, 2020

MENJELANG 10 HARI TERBAIK



Menjelang bulan Zulhijjah yang bakal tiba beberapa hari saja lagi, elok kita saling ingat memperingati bahawa 10 hari terawal daripada Zulhijjah merupakan hari terbaik di dunia, hari paling afdhal di sisi Allah 'Azza wa Jalla.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Amal soleh yang paling disukai Allah ialah amalan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya pada hari-hari ini (10 hari pertama bulan Dzul-Hijjah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikitpun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah)”

Daripada Jabir bin Abdullah r.a. dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Hari yang paling afdal di dunia ialah hari-hari 10, iaitu 10 hari (yang pertama) bulan Zul-Hijjah.”
Hadis dikeluarkan oleh al-Bazzar. Menurut al-Haitsami rawi-rawinya tsiqah.

Sebagai persediaan, sama-sama kita rancang amalan-amalan yang boleh dipertingkatkan demi meraih kelebihan yang Allah sediakan.

1.   Solat – fadhu dan sunat-sunat
2.   Puasa sunat mulai 1 hingga 9 Zulhijjah. Jika tidak dapat semua, cuba sedaya upaya untuk lakukan pada 9 Zulhijjah kerana fadhilatnya dihapuskan dosa dua tahun
3.   Tilawah al-Quran sebanyak mungkin, sedaya upaya cuba habiskan satu juzuk sehari. Dan mengulang-ulang surah-surah yang besar fadhilatnya seperti al-Zalzalah menyamai ½ al-Quran, al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran dan al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran
4.   Selawat ke atas Nabi s.a.w. sebanyak yang mungkin, paling kurang 100 kali sehari
5.   Istighfar sebanyak yang mungkin, paling kurang 100 kali sehari
6.   Zikir لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير 100 kali pagi dan 100 kali petang
7.   Membaca sekurang-kurangnya satu tajuk sehari dengan tujuan menambah ilmu
8.   Berdakwah dengan menyampaikan sekurang-kurangnya satu ayat sehari
9.   Bersedekah dengan ikhlas mengikut kemampuan
10.              Menghubung silatul rahim
11.              Merapatkan hubungan dengan jiran
12.              Melawat orang sakit
13.              Bertakbir mulai subuh pada hari ke 9, iaitu hari Arafah hingga  asar hari ke 13, iaitu hari akhir Tasyriq
14.              Solat sunat hari raya pada hari ke 10
15.              Berkorban bagi yang mampu pada hari ke 10, 11, 12, 13
16.              Dan banyak lagi ....

Selamat beramal, moga-moga Allah terima segala amalan kita dan hapuskan dosa-dosa kita.

Wednesday, July 08, 2020

IBADAH SAHAJA TIDAK CUKUP UNTUK SELAMATKAN DIRI DARI KEMURKAAN ALLAH


Sufyan bin ‘Uyainah meriwayatkan bahawa Mas’ad berkata: 
“Telah sampai kepadaku perkhabaran bahawa satu malaikat diperintahkan supaya menunggang-balikkan bumidan menimbussebuah kampung yang penduduknya bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran
Malaikat itu berkata: “Ya Tuhanku, di kampung itu ada fulan yang taat beribadat kepadaMu!”
Maka Allah mewahyukan kepadanya: “Oleh itu engkau mulakanlah musibah itu ke atas dirinya terlebih dahulu kerana sesungguhnya wajahnya tidak pernah sesaatpun berubah keranaKu! (Maksudnya dia tidak pernah sekalipun menunjukkan muka yang marah terhadap maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh kaumnya) – daripada kitab Al-Tazkirah fi Ahwal Al-Mauta wa Umuril-Akhirah, Al-Qurtubi (Wafat tahun 671H)

Allah ciptakan manusia untuk menjadi khalifahNya di bumi. Khalifah tidak disuruh memikirkan hal diri sendiri semata-mata, beribadah tidak henti-henti siang dan malam namun hal masyarakat yang bergelumang dengan maksiat tidak dihiraukan. Maka apabila tiba masa Allah menzahirkan kemurkaanNya terhadap pelaku maksiat, orang yang kuat ibadah itulah yang mula-mula diazab kerana kealpaannya dari menjalankan tugas sebagai khalifah Allah, mengajak kepada kebaikan dan menentang kemungkaran!

Tuesday, July 07, 2020

BAHANA MEMUJI DIRI

Apakah tanggapan anda kepada seseorang yang suka bercerita tentang kebaikan dirinya seperti dia berkata, “saya tak pernah tinggal solat tahajjud setiap malam, saya solat dhuha lapan rakaat setiap hari, saya memperuntukan separuh daripada pendapatan saya setiap bulan untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan dan saya sekian dan sekian…!”?

Tidak dinafikan bahawa fitrah manusia suka kepada kebaikan dan suka kepada orang yang melakukan kebaikan. Namun, adakah anda bersetuju jika saya katakan bahawa manusia lebih suka melihat kebaikan yang kita  lakukan daripada mendengar kita bercerita tentang kebaikan yang kita lakukan? 

Sifat suka memuji diri sendiri bukan sahaja kurang disenangi oleh kebanyakan orang, malah ia dilarang dan dibenci oleh Allah SWT dan RasulNya s.a.w.
Allah SWT berfirman maksudnya:
“Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? Bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.”

Kebanyakan mufassirin berkata bahawa ayat ini diturunkan untuk menegur kaum Yahudi yang menganggap diri mereka dan anak-anak mereka bersih daripada sebarang dosa. Sebahagian mereka berpendapat bahawa ayat ini diturunkan untuk mengecam mereka yang saling memuji dan mensucikan diri dari melakukan kesalahan dan kesilapan. 
Al-Miqdad bin al-Aswad r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang-orang yang suka memuji.”Riwayat Muslim.
Daripada Abdullah bin Abi Bakrah, daripada ayahnya r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mendengar seorang lelaki memuji-muji seorang lelaki lain. Bagindapun bersabda: “Buruknya engkau! Engkau memotong leher sahabatmu!”Kemudian baginda menyambung: “Sekiranya seseorang kamu tidak boleh mengelak daripada memuji sahabatnya, hendaklah dia berkata: “Pada sangkaanku dia adalah begini”. Janganlah dia mensucikan seseorang kerana hal itu adalah hak Allah semata-mata”Muttafaq ‘alaih.
Ibn Mardawaih meriwayatkan bahawa Umar r.a. pernah berkata: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah seseorang yang mengkagumi pandangannya sendiri (tentang dirinya). Sesiapa yang berkata bahawa dia alim, maka dia jahil. Sesiapa yang berkata dia pasti masuk syurga, maka dia pasti masuk neraka.”

Hadis-hadis di atas menunjukkan Nabi s.a.w. tidak menggalakkan seseorang memuji sahabatnya secara berlebih-lebihan. Kalau terpaksa, ucapkan secara sederhana dan berlapik seperti yang anjurkan oleh baginda s.a.w. “pada sangkaanku begini” iaitu nyatakan kebaikan apa yang hendak dipuji itu dengan menyatakan bahawa ini adalah sangkaan kita sahaja.

Kenapakah Islam melarang penganutnya memuji diri sendiri atau orang lain secara berlebih-lebihan? Bukankah pujian itu merupakan mengiktirafan dan menjadi satu galakan untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat?

Islam menekankan keikhlasan dalam beramal. Ujub atau kagum pada diri sendiri dan riak atau menunjuk-nunjuk adalah dua sifat yang berlawanan dengan ikhlas. Pujian yang berlebihan-lebihan akan menjerumuskan seseorang kepada salah satu daripada dua sifat tersebut, iaitu ujub atau riak. 
Apabila kedua-duanya menyelinap di dalam hati, ikhlas pun tersingkir. Amalan tidak lagi bernilai di sisi Allah SWT. Ia laksana debu yang berterbangan ditiup angin yang kencang walaupun asalnya kelihatan seperti timbunan bukit yang tinggi menjulang awan. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”

Dari sagi yang lain pula, sebagai manusia penilaian kita amat terbatas. Kita melihat seseorang hanya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenar hanya Allah jua yang maha mengetahui. Lantaran itu Allah ingatkan kita di dalam firmanNya yang bermaksud:  Bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.”

Hanya Allah SWT jua yang benar-benar mengetahui keadaan setiap hambaNya dan Dia tidak tersilap di dalam penialainNya kerana Dia mengetahui segala yang nyata maupun yang tersembunyi. 
Diriwayatkan bahawa seorang salaf apabila dipuji oleh seseorang, beliau berdoa:
“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui tentang diriku daripadaku sendiri, dan aku lebih mengetahui tentang diriku daripada mereka. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangka, dan ampunkanlah aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku, dan janganlah Engkau salahkan aku tentang apa yang mereka kata mengenai diriku!” 
Ada yang percaya bahawa doa itu lahir daripada Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Namun ianya tidak sabit. 
Walau bagaimanapun ia merupakan satu peringatan yang sangat baik dan berguna untuk mengingatkan diri kita agar tidak mudah terpedaya dengan pujian dan sanjungan manusia, di samping mengelakkan diri dari sifat suka memuji diri sendiri. Ingat asal kita dari mana dan akan kembali ke mana serta siapa yang menghitung dan membalas amalan kita.

DOA YANG MENJADI REBUTAN PARA MALAIKAT UNTUK MENULISNYA


Daripada Rifa’ah bin Rafi’ al-Zaraqi r.a. beliau berkata:
.Pada suatu hari kami menunaikan solat di belakang Rasulullah s.a.w
Manakala baginda mengangkat kepala dari rukuk, baginda berkata:
سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
Seorang lelaki di belakang baginda berkata:
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ، حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ
Selesai solat, baginda bertanya: “Siapakah yang berkata tadi?”
Lelaki itu menjawab: “Saya.”
Baginda bersabda: “Aku melihat lebih daripada 30 malaikat berebut-rebut siapakah di antara mereka yang pertama menulisnya.” 
Riwayat al-Bukhari.