Ketika membaca tafsir ayat 22 dan 23 surah Maryam yang
bermaksud:
Maka Maryam hamilah
mengandungnya, lalu dia
memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.
(Ketika ia hendak bersalin)
maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon
tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan
menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
Saya terjumpa kisah
menarik yang diceritakan oleh Al-Razi (wafat 606H) diambil daripada riwayat
al-Tha’labi daripada Wahab, iaitu salah satu pendapat tentang kenapa Maryam “memencilkan diri dengan
kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh”?
Beliau
menceritakan:
Yusuf
al-Najjar adalah sepupu kepada Maryam. Mereka berdua selalu pergi bersama-sama
ke masjid yang terletak di bukit sohyun. Mereka berkhidmat di masjid itu. Tidak
ada orang lain pada masa itu yang lebih rajin beribadah dan mengurus masjid
selain dari mereka berdua.
Justeru,
orang pertama yang mengetahui Maryam mengandung adalah Yusuf. Dia sangat
hairan. Hendak menuduh Maryam berzina, tidak mungkin kerana dia sangat
mengenali Maryam, seorang wanita yang solihah serta kuat beribadah. Lagipun
Maryam tidak pernah berjauhan darinya walaupun sebentar.
Hendak dikatakan
Maryam tidak bersalah, kandungannya semakin ketara!
Dia berfikir,
bagaimana hendak memulakan bicara dengan Maryam?
Suatu hari, dia
memberanikan diri bertanya kepada Maryam:
“Ada sesuatu yang
terbuku di hatiku tentang dirimu. Aku berusaha untuk menyembunyikannya, namun
tidak berupaya. Maka aku fikir, berterus terang itu lebih menenangkan hatiku”
“Katakanlah dengan
perkataan yang baik.” Sahut Maryam
“Beritahu kepadaku
wahai Maryam, adakah pokok akan tumbuh tanpa benih? Adakah pokok akan tumbuh
subur tanpa disirami hujan? Dan adakah akan terjadi anak tanpa lelaki?”
Maryam menjawab:
“Ya. Tidakkah engkau tahu bahawa Allah telah menumbuhkan tanaman-tanaman tanpa
benih pada hari pertama Dia menciptakannya? Dan benih-benih itu hanya terhasil
daripada tanaman yang Allah tumbuhkan pada permulaannya tanpa benih? Tidakkah
engkau tahu bahawa Allah telah menumbuhkan pokok tanpa disirami air hujan? Dan
dengan qudratNya Allah menjadikan air hujan sebagai sumber kehidupan pokok
selepas Dia menciptakan setiap satunya secara berasingan? Atau adakah engkau
berpendapat Allah tidak berkuasa untuk menumbuhkan pokok tanpa bergantung
kepada pertulungan air? Kalaulah begitu, bermakna Allah tidak berkuasa
menumbuhkannya!”
Yusuf berkata: “Aku
tidak berkata begitu! Sesungguhnya aku yakin Allah berkuasa untuk berbuat apa
sahaja yang Dia kehendaki dengan berkata “kun!” maka jadilah perkara yang Dia
kehendaki itu.”
Maryam menyambung
lagi: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menciptakan Adam dan isterinya
Hawwa tanpa melalui lelaki dan wanita?”
Mendengar penjelasan
itu, terus hilang prasangka dan keraguan di hati Yusuf. Maka dia memikul semua
tugas mengurus masjid yang sebelum ini dilakukannya bersama Maryam. Maryam
semakin lemah kerana sarat mengandung ditambah lagi dengan tekanan perasaan
yang dialaminya.
Apabila telah hampir
waktu untuk melahirkan, Allah wahyukan kepada Maryam: “Keluarlah engkau dari
daerah tempat tinggal kaummu agar mereka tidak membunuh puteramu!”
Maka Yusuf membawa
Maryam pergi ke Mesir dengan menunggang himar miliknya. Sampai sahaja di Mesir,
waktu melahirkan pun tiba. Maryam menuju ke pangkal pokok kurma. Beliau
memeluknya dan melahirkan puteranya di situ.
Pengajarannya, Allah memilih Maryam untuk
menjadikan dirinya sebagai bahan bukti kekuasaan Allah dalam penciptaan, iaitu
mencipta anak tanpa berlaku persenyawaan di antara benih lelaki dan perempuan
seperti yang biasa berlaku. Namun apa yang terpaksa diharungi oleh Maryam
bukanlah suatu laluan yang mudah. Kalau kita fikirkan, Allah yang tentukan,
kenapa dia mesti lalui segala keperitan begitu hingga ke tahap dia bercita-cita
untuk mati? “dia berkata alangkah baiknya
kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan
tidak dikenang-kenang!”
Itulah sebenarnya hakikat
hidup yang tidak boleh lari dari ujian. Setiap orang diuji sesuai dengan tahap
keimanannya. Nabi s.a.w. pernah ditanya, “siapakah di kalangan manusia yang
paling berat ujiannya?”
Baginda menjawab: “Para nabi.
Kemudian orang-orang solih. Kemudian orang yang paling menyerupai mereka,
diikuti dengan orang yang paling menyerupai mereka. Diuji seseorang itu
mengikut tahap agamanya. Jika pegangan agamanya kuat, ditambah ujian ke
atasnya. Jika pegangan agamanya lemah, diringankan ujian ke atasnya. Dan
berterusanlah mukmin itu diuji sehingga akhirnya dia berjalan di atas muka bumi
ini tanpa memikul sebarang dosa.” Hadis sahih daripada Saad bin Abi Waqqas r.a.
No comments:
Post a Comment