“Assalamu’alaikum…” Ustaz Nasir memulakan kuliah subuhnya dengan memberi salam kepada beberapa orang Jemaah yang duduk berjauhan antara satu sama lain kerana mematuhi SOP.
“Wa’alaikumus-salam…” jawab mereka serentak dengan nada yang perlahan.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah, walaupun dalam suasana PKP kita masih boleh teruskan kuliah kita seperti biasa. Mudah-mudahan Allah redha kepada kita dan angkat bencana yang menimpa seluruh dunia ini dengan segera…”
“Aamiin…” sahut para jemaah.
“Apa tajuk kuliah pagi ini, Ustaz?” soal Haji Saleh.
“In syaa Allah kita akan sambung tafsir surah an-Nisaa’. Siapa masih ingat, minggu lepas kita berhenti pada ayat ke berapa?”
“Ayat ke-4, Ustaz.” Burhan menyahut dengan pantas.
“Bagus. Jadi, hari ini kita sambung ayat ke-5.”
Ustaz Nasir membaca ayat ke-5 dan membaca terjemahannya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada sufahaa’ akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; ….” (An-Nisaa' 4:5)
“Tuan-tuan, Ayat ini ditujukan kepada penjaga harta anak yatim. Allah larang mereka supaya jangan tergesa-gesa menyerahkan harta yang dijaganya kepada pemiliknya yang masih belum mencapai usia matang.”
“Boleh Ustaz huraikan dengan lebih ditil makna perkataan sufahaa’?” tanya Haji Faisal.
Ustaz Nasir menjelaskannya dengan Panjang lebar dengan memetik beberapa pendapat ahli bahasa dan ahli tafsir….
“Sufahaa’ adalah jamak atau plural kepada safih. Menurut kamus al-Maani, safih bermaksud jahil, tidak pandai mengurus harta, atau membazirkan harta pada perkara yang tidak sepatutnya. Ar-Razi berkata, safih ialah tidak baligh atau tidak berakal, atau berakal tetapi bodoh lagi boros. Al-Alusi berkata, safih ialah kurang akal dan fikiran.
Orang-orang munafiq di Madinah menganggap orang beriman sebagai sufahaa’ (bodoh). Namun Allah menempelak mereka dengan menegaskan bahawa merekalah yang sebenarnya sufahaa’. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Baqarah 2:13)
Kembali kepada ayat-5 surah an-Nisaa’, Allah perintahkan kepada para penjaga harta anak yatim supaya tidak menyerahkan harta yang berada di bawah jagaan mereka kepada tuannya, iaitu anak yatim selagi anak yatim belum baligh dan belum berakal, atau telah baligh dan berakal tetapi bodoh, tidak pandai mengurus harta, boros atau membazirkan harta pada perkara yang tidak sepatutnya.”
“Bilakah harta itu boleh diserahkan?” Murad mencelah.
“Setelah diuji dan terbukti kemampuannya,” jawab Ustaz Nasir. “Hal ini dinyatakan di dalam ayat ke-6.” Lalu Ustaz membaca ayat ke-6 serta terjemahannya: “Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya;” (An-Nisaa' 4:6)
Para Jemaah mengangguk-angguk.
“Demikianlah betapa Allah SWT begitu mengambil berat tentang penjagaan harta kerana harta Allah telah menjadikannya untuk kita semua sebagai asas pembangunan kehidupan kita di dunia ini. Justeru, penjagaan dan pengurusannya tidak boleh diserahkan secara sembarangan. Seorang yang diamanahkan menjaga harta anak yatim, dilarang menyerahkan harta itu kepada tuannya sendiri selagi dia tidak mencapai tahap kematangan yang boleh diharapkan dapat mengurus harta dengan sebaik-baiknya.
Jika penjaga yang diamanahkan itu menyerahkan juga sewaktu anak yatim belum matang, bermakna dia telah menderhakai perintah Allah dan mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.”
“Ustaz, boleh saya tanya satu soalan?” Burhan bersuara sambil mengangkat tangan.
“Boleh. Silakan! Apa soalannya?”
“Ini ada kaitan dengan politik, Ustaz…” Burhan seperti teragak-agak pula hendak bertanya.
“Tak mengapa. Politik juga sebahagian daripada ajaran Islam.” Ustaz Nasir memberikan keyakinan.
“Baru-baru ini tular video PM kata dia terima orang kata dia bodoh. Seolah-olah dia mengakulah, dia bodoh. Macama mana tu, Ustaz?”
Para Jemaah berpandangan sesama sendiri dengan reaksi yang pelbagai.
“Tuan-tuan, dalam ayat ini Allah SWT larang menyerahkan harta kepada orang bodoh walaupun harta miliknya sendiri. Bayangkan, pemilik harta sendiripun tidak dibenarkan mengurusnya di kala dia masih bodoh. Cuba fikir, apakah urusan pentadbiran negara lebih kecil, lebih enteng daripada pengurusan harta? Wajarkah urusan negara diserahkan kepada seseorang yang mengaku bodoh?” Ustaz Nasir melemparkan soalan supaya Jemaah berfikir.
Semua mereka tunduk membisu. Maka Ustaz Nasir menyambung…
“Serah harta kepada pemiliknya sendiri yang bodoh adalah satu pelanggaran terhadap perintah Allah, maka lebih-lebih lagilah jika serahkan urusan yang lebih besar daripada itu, iaitu urusan negara. Urusan negara bukan sekadar harta, tetapi nyawa rakyat jelata, agama mereka, pendidikan, maruah serta zuriat keturunan mereka. Mampukah seorang yang bodoh menanggung semua beban tugas itu? Dalam ilmu Usul Fiqh, ini dinamakan Qias Aula”
“Jadi bagaiman kedudukan orang yang melantiknya dan menyokongnya?” soal Murad. Dia seperti masih kabur dengan apa yang sedang diperkatakan.
“Itu dikira melanggar perintah Allah juga lah,” Haji Saleh cuba membuat kesimpulan.
“Tak begitu, Ustaz?” soalnya untuk mendapat kepastian.
“Pada pendapat saya, begitulah, Tuan Haji. Maka sesiapa yang telah melantiknya, atau menyokong perlantikannya, seelok-eloknya kembalilah kepada perintah Allah dalam kitabNya yang kita Imani. Dan kepada yang mengaku bodoh itu, insaflah. Jangan zalimi diri sendiri.” Ujar Ustaz Nasir mengakhiri perbincangan.
No comments:
Post a Comment