Kita sudah masuk fasa terakhir Ramadan.
Fasa 10 malam terakhir yang diharapkan terdapatnya Lailatul Qadar.
Hingga waktu ini, ramai di kalangan kita telah dapat khatam al-Quran sekali atau lebih, secara bersendirian atau berkumpulan.
TAHNIAH diucapkan.
Membaca atau tilawah al-Quran sampai khatam adalah satu pencapaian yang tidak harus dipandang ringan. Ganjarannya sangatlah besar. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daraipada Kitab Allah, maka baginya satu hasanah. Dan untuk satu hasanah itu 10 hasanah seumpamanya. Aku tidak berkata الم itu satu huruf. Tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf,” Ruwayat al-Tirmizi daripada Abdullah bin Masud RA.
Menurut satu pendapat, Al-Quran mengandungi 323671 huruf. Setiap satu huruf itu satu hasanah yang digandakan dengan 10, maka pahala yang diperolehi oleh muslim yang membaca sekali khatam adalah 3,236,710. Ma syaa Allah.
Selain daripada ganjaran pahala yang begitu besar, orang yang membaca al-Quran juga memperolehi keuntungan yang berterusan sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta menginfaqkan apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;” (Faatir 35:29)
Lantaran begitu besarnya kelebihan membaca al-Quran, kita dapati para sahabat serta salaf al-soleh begitu bersungguh-sungguh melakukannya. Menurut Imam al-Ghazali, sebahagian mereka khatam satu kali dalam sehari semalam, dua kali dan tiga kali seminggu. Ada juga yang khatam satu kali dalam sebulan.
Ringkasnya, tempoh khatam al-Quran terbahagi kepada empat peringkat:
• Satu kali dalam sehari semalam. Ini dianggap makruh oleh kebanyakan ulamak
• Satu kali dalam sebulan. Ini dikira terlalu cuai sebagaimana yang pertama tadi terlalu membanyakkan
• Satu kali dalam seminggu
• Dua kali dalam seminggu.
Ketiga dan keempat dianggap paling sederhana. (Ihya’ Ulumud-Din, jilid 1, halaman 361 dan 366)
Kita di peringkat mana? Jika berjaya khatam satu kali dalam bulan Ramadan, haruskah kita berpada sekadar itu? Satu muhasabah.
Di samping itu, sedia maklum bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca. Mungkin boleh dikatakan bahawa membaca adalah tanggungjawab paling mudah untuk dilakukan. Terdapat tanggungjawab lain yang wajib dilunas terhadap al-Quran selepas tilawah, iaitu tadabbur, amal, sebar dan sabar.
Berkaitan dengan tadabbur, Allah berfirman maksudnya:
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Saad 38:29)
Tadabbur bermaksud berfikir dan memerhati ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya dan mendalami makna-maknanya, hikmah-hikmahnya dan apa yang dikehendakinya.
Setelah memahami makna serta pengajarannya, menyusullah tanggungjawab seterusnya, iaitu amal. Inilah tujuan utama al-Quran diturunkan, sebagai petunjuk ke jalan yang lurus, jalan yang menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. Jika sekadar dibaca dan difahami tanpa diamal pastinya tidak akan membawa ke mana-mana. Perubahan besar yang berlaku dalam sejarah umat manusia pada zaman Nabi SAW adalah hasil daripada pelaksanaan seluruh ajaran al-Quran tanpa lengah, tanpa ragu, tanpa soal. Akhirnya mereka diiktiraf oleh Allah yang menurunkan al-Quran ini sendiri sebagai khaira ummah, umat yang terbaik.
Tanggungjawab seterusnya ialah menyampai dan menyebarkan. Islam diturunkan untuk panduan manusia seluruhnya tanpa mengira masa, bangsa dan benua. Allah SWT berfirman maksudnya:
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Saba' 34:28)
Inilah tanggungjawab yang diamanahkan kepada seluruh umat Islam, menyebarkan keindahan Islam ini kepada seluruh umat manusia dengan menggunakan pelbagai cara dan media. Jika tidak, dibimbangi akan termasuk dalam golongan yang dilaknat kerana menyembunyikan ilmu sebagaimana disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah 2:159)
Yang ke lima adalah SABAR.
Kenapa sabar?
Kerana beramal dengan ajaran al-Quran teralu banyak cabarannya; dari luar dan dalam.
Hanya dengan bekalan sabar serta bertawakkal kepada Allah segala cabaran, rintangan dan halangan dapat diatasi.
“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” (Al-Nahl 16:127)
Semoga semua yang telah dan akan khatam al-Quran dapat melaksanakan semua tanggungjawab di atas dengan sebaik-baiknya.
*UMD*
21 Ramadhan 1442
03 May 2021
1 comment:
Assalamualaikum Ustazah, izinkan Pakcik copy Tazkirah Khatam Quran ini untuk digunakan didalam majlis Usrah Sekolah Pakcik.
Wassalam
Post a Comment