Thursday, May 20, 2021

SOLAT TAUBAT KERANA TIDAK TUNAI SOLAT JUMAAT?

Ramai yang bertanya tentang pandangan yang dikemukakan oleh seorang penceramah popular yang mengatakan WAJIB solat taubat selepas meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut walaupun dengan sebab SOP.
Saya faham apa yang hendak disampaikan oleh beliau, iaitu pentingnya kita insaf dan rasa bersalah sekiranya kita tidak dapat melaksanakan apa yang difardhukan ke atas kita. Cumanya apabila beliau mengatakan WAJIB solat taubat itu yang menimbulkan tanda tanya dan keresahan di kalangan ramai pihak. Implikasinya, orang yang tidak buat solat taubat maka dia menanggung dosa yang berganda, dosa tak solat Jumaat tiga kali berturut-turut dan dosa tak solat taubat.
Kepada mereka yang telah menghantar video penceramah tersebut dan meminta pandangan mengenainya, saya cuba jelaskan begini dengan izinNya:
Pertama – sebagai hamba memang kita sepatutnya sentiasa insaf atas kelemahan dan kekurangan kita dengan membanyakkan taubat dan istighfar. Allah suka kepada orang yang banyak bertaubat (at-tawwabin) sebagaimana dinyatakan di dalam ayat 222 surah al-Baqarah.
Suruhan supaya bertaubat dan beristighfar bukan sahaja selepas melakukan dosa, sebaliknya selepas melakukan ketaatan pun kita disusuh beristighfar.
Selepas mengakhiri solat dengan memberi salam, Rasulullah SAW beristighfar sebanyak tiga kali. (HR Muslim)
Selepas menyempurnakan ibadah haji, Allah perintahkan supaya beristighfar (lihat surah al-Baqarah ayat 199)
Selepas menerima zakat daripada pembayar zakat, Allah perintahkan Rasulullah SAW supaya berdoa memohon keampunan untuk pembayar zakat (lihat surah at-Taubah ayat 103)
Ketika mencapai kemenangan menewaskan musuh juga Nabi SAW disuruh beristighfar (lihat surah an-Nasr ayat 1-3)
Dan Nabi SAW menganjurkan umatnya agar membanyakkan istighfar. Baginda SAW sendiri beristighfat 100 kali setiap hari (HR Muslim). Dalam Riwayat al-Bukhari disebut lebih daripada 70 kali setiap hari.
Kedua – adakah berdoasa meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut kerana mematuhi SOP?
Terdapat beberapa hadis mengenai ancaman terhadap mereka yang meninggalkan solat Jumaat. Antaranya:
Daripada Abi al-Ja’di al-Dhamriy RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang tinggal (tidak hadir) solat Jumaat tiga kali dalam keadaan dia meringan-ringankannya (tahawunan biha), Allah tutup rapat dengan mematerikan di atas hatinya.” (HR Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasae).
Daripada Jabir bin Abdullah RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa sebab darurat (keuzuran), Allah tutup rapat dengan mematerikan di atas hatinya.” (HR Ibn Majah)
Perhatikan kedua-dua hadis di atas hanya menyebut tiga kali tanpa mengaitkannya dengan berturut-turut. Namun terdapat di dalam Musnad al-Tayalisi, “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa keuzuran Allah tutup rapat dengan mematerikan di atas hatinya.”
Persoalan sama ada berturut-turut atau tidak, apa yang jelas disebut dalam hadis-hadis itu ialah orang yang tinggal tanpa keuzuran atau tinggal dengan keadaan meringan-ringankan. Maka mafhumnya jika tinggal dengan sebab terdapat keuzuran, tidak berdosa. Apa lagi dalam keadaan dunia diserang wabak seperti sekarang, mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat, bukan kerana sengaja meringan-ringakannya. Sebaliknya mematuhi ketetapan pihak berkuasa demi menjaga kemaslahatan awam.
Ketiga – hukum solat taubat. Dalam kitab Riadhus-Solohin, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ulamak bahawa bertaubat daripada segala dosa dan maksiat adalah wajib. Sekiranya maksiat itu melibatkan hamba dengan Allah SWT sahaja tanpa melibatkan hak anak Adam, maka terdapat tiga syarat: berhenti daripada maksiat itu serta merta, menyesali apa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi selama-lamanya. Jika tidak memenuhi satu daripada syarat-syarat tersebut, maka taubatnya tidak sah.
Sekiranya maksiat berkaitan dengan anak Adam, terdapat empat syarat. Tiga yang telah disebutkan dan yang keempat ialah meminta halal atau minta dilepaskan daripada tanggungan dengan orang yang berkenaan. Sekiranya hak itu harta, hendaklah dipulangkan kepada tuannya, sekiranya had qazaf, hendaklah menyerah diri untuk dilaksanakan atau memohon keampunannya supaya dilepaskan daripada had. Sekiranya hak itu berkaitan dengan maruah seperti mengumpat, hendaklah meminta dihalalkan.
Tujuan saya menyalin dengan panjang lebar di sini, untuk menunjukkan bahawa solat taubat tidak termasuk dalam syarat taubat. Ertinya jika seseorang itu telah memenuhi tiga atau empat syarat di atas, telah sah taubatnya walaupun tidak melakukan solat taubat.
Prof Dr Wahbah al-Zuhaily menyebut di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu bahawa hukum solat taubat adalah sunat berdasarkan hadis Riwayat Abu Daud dan lain-lain bermaksud: “Tiada seorang hamba pun yang melakukan satu dosa kemudian dia bersuci dengan sebaik-baiknya, kemudian dia menunaikan solat dua rakaat, kemudian dia beristighfat memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah ampunkan dosanya.”
Justeru, untuk mengatakan wajib, sedangkan hukum asalnya sunat pada pandangan saya perlu dielakkan. Tidak wajar bagi kita bermudah-mudah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan Rasul.
Allahu A’lam.

No comments: