(AWAS! POSTING INI AGAK PANJANG. HARAP SABAR MEMBACANYA SAMPAI HABIS)
Hari ini saya akan cuba menjawab dan mengulas isu yang ditimbulkan oleh beberapa pihak yang mempertikaikan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan solat Jumaat dan jamaah di masjid.
Saya akan ikuti poin yang dikemukakan di dalam satu hantaran melalui WA satu persatu dengan izin Allah.
Pertama, dia mengaku bahawa dia tidak pandai sangat berbanding dengan mufti-mufti, tetapi musykil dengan hujah yg digunakan untuk melarang orang ke masjid dan melarang merapatkan saf.
Jawapan:
Kalua tahu ilmu tak macam mufti, kenapa tak nak ikut cakap mufti? Keputusan ini bukan dibuat oleh seorang mufti. Malah dipersetujui oleh mufti dan ulamak di seluruh dunia.
Al-Quran menyuruh kita bertanya orang yang tahu kalau kita tidak tahu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl 16:43)
Kedua, dia berkata, hujah yang di gunakan hanya untuk keselamatan diri. Kita di perintahkan untuk berjihad dan berperang untuk menegakkan syiar Islam, mendirikan masjid, dilaungkan azan, mendirikan solat berjemaah.
Jawapan:
Adakah menjaga keselamatan diri itu bercanggah dengan ajaran Islam?
Untuk pengetahuan anda, menjaga keselamatan diri dan nyawa itu adalah satu daripada lima maslahah yang wajib dipelihara, yang diangkat sebagai satu daripada Maqasid Syariah.
Lantaran itulah Allah melarang kita memakan benda-benda najis atau khabaith seperti makan bangkai, daging babi, minum arak dan sebagainya. Larangan itu bertujuan untuk menjaga nyawa dan menyelamatkan diri daripada perkara yang membahayakan.
Betul Allah suruh kita berjihad untuk menegakkan Syariat Allah. Namun Allah tidak suruh kita meredah musuh dengan membati buta. Allah suruh buat persiapan dengan menyediakan pelbagai kelengkapan. Bukan setakat kelengkapan untuk menangkis serangan, malah kelengkapan yang boleh menggerunkan musuh.
Baca dan fahami ayat ini dengan baik:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfaal 8:60)
Dan seperkara lagi, menegakkan syiar Islam, adakah hanya di masjid sahaja?
Adakah dengan menghadkan bilangan jamaah di masjid itu bermakna menghalang umat Islam daripada mendirikan solat?
Syiar Islam atau lebih tepat Syariah Islam itu pada hakikatnya untuk menjaga maslahah dan menegakkan keadilan dalam kalangan makhluk seluruhnya. Islam adalah rahmah untuk seluruh alam.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)
Jika membiarkan umat Islam ke masjid dalam keadaan boleh mendatangkan penyakit yang berbahaya, apakah ada rahmahnya di situ?
Ketiga, dia berkata lagi, “berperang bererti akan membuat kita terkorban. Apakah boleh kita memberi alasan untuk tidak berperang bagi menegakkan syiar Islam atas alasan menjaga keselamatan diri. Yang jelasnya Allah akan menganugerahkan syahid kepada mereka yang terkorban manakala orang yang mati terkena wabak juga syahid. (HR Bukhari dan Muslim)
Kenapa mesti kita takut, sekiranya kita boleh syahid dalam kita mendirikan solat mengikuti sunnah Nabi?”
Jawapan:
Dakwaan bahawa orang yang mati terkena wabak juga syahid itu, mungkin merujuk kepada satu hadis sahih daripada Aisyah RA bahawa beliau bertanya Rasulullah SAW tentang taun. Lalu baginda menjelaskan dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya taun itu satu azab yang Allah hantar kepada sesiapa yang dikehendakiNya, maka dijadikannya sebagai rahmat kepada orang-orang yang beriman. Maka tidak ada seorangpun yang terkena taun, lalu dia duduk di negerinya dengan sabar dan mengharap ganjaran daripada Allah, serta dia mengetahui bahawa tidak ada musibah yang menimpanya kecuali apa yang ditetapkan oleh Allah kepadanya, melainkan baginya pahala seperti syahid.” (HR al-Bukhari)
Jika kita teliti, hadis itu sebenarnya mengajar kita supaya mengamalkan apa yang kita namakan sekarang sebagai “kuarantin” atau mengurung diri di tempat berlakunya wabak. Orang yang dijanjikan pahala syahid itu ialah orang yang duduk menetap di tempatnya supaya tidak menjadi sebab tersebarnya wabak, bukan yang pergi ke marata tempat untuk meluaskan lagi penyebaran wabak.
Jadi kuarantin juga adalah mengikut sunnah.
Inilah yang difahami dan dipraktikkan oleh khalifah Islam yang kedua, Amirul-Mu’minin Umar bin al-Khattab RA.
Telah diriwayatkan di dalam kitab-kitab sejarah bahawa Khalifah Umar bin Al-Khattab RA berangkat dari Madinah menuju ke Syam selepas negeri itu jatuh ke tangan umat Islam. Dalam perjalanan, beliau mendapat tahu negeri itu sedang dilanda wabak taun yang teruk. Lalu beliau berpatah balik ke Madinah, tidak jadi meneruskan musafir ke Syam. Orang ramai bertanya, kenapa beliau mengubah fikiran? Adakah beliau hendak lari dari taqdir Allah? Beliau menjawab ; “Ya. Kita lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Cuba fahami jawapan Umar itu. Lari daripada tempat merebaknya wabak, Kembali ke tempat yang selamat. Adakah Umar takut dan mementingkan keselamatan diri? Beliau sebagai pemimpin, dia wajib fikir keselamatan para pengikutnya. Dia tidak musafir seorang diri. Pastinya diiringi ramai anggota rombongan. Dia bertanggungjawab menjaga nyawa mereka. Bukan mengheret mereka terjun ke dalam gaung yang berbahaya. Itulah Syariah Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW kepadanya dan kepada kita semua.
Keempat, dia berkata, Islam telah sempurna dan lengkap, Nabi telah memberi kita panduan berbagai-berbagai aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara hingga kepada solat iaitu ibadah yang paling agong dalam Islam. Mustahil Nabi tidak memberi panduan dalam tatacara solat ketika berlakunya wabak.
Ketika wabak taun berlaku pun para sahabat mendirikan solat seperti biasa.
Jawapan,
Memang betul Islam telah sempurna dan lengkap, Nabi telah memberi kita panduan berbagai-berbagai aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara hingga kepada solat iaitu ibadah yang paling agong dalam Islam. Mustahil Nabi tidak memberi panduan dalam tatacara solat ketika berlakunya wabak.
Jadi, kalau anda tahu ada panduan dalam tatacara solat Ketika berlakunya wabak, kemukakanlah dalilnya! Hadis Riwayat siapa, dalam kitab mana?
Mungkin sebahagian kita pernah dengar solat syiddatul khauf atau solat khauf?
Apa makna syiddatul khauf?
Syiddatul khauf maknanya sangat takut. Iaitu ketika umat Islam berada dalam bahaya, biasanya di medan perang. Dalam kontek ini, maksud takut di sini bukan takut kepada Allah. Tetapi takut kepada ancaman musuh atau sebarang bahaya.
Siapa yang menamakannya? Allah.
Ertinya Allah mengiktiraf naluri takut kepada bahaya yang ada dalam diri manusia.
Allah berfirman maksudnya: “Dan jika KAMU TAKUTI (SESUATU BAHAYA) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah 2:239)
Lihat juga surah An-Nisaa' 4:102.
Kalau Allah sendiri mengakui dan meraikan perasaan itu, bolehkah kita menolaknya? Bukankah itu bermakna telah menolak firman Allah?
Terdapat beberapa riwayat tentang tatacara Nabi SAW bersolat ketika takut atau ketika berada di medan perang bersesuaian dengan bentuk ancaman yang dihadapi (boleh rujuk dalam kitab-kitab hadis dan kitab fiqh pelbagai mazhab termasuk mazhab Syafie). Ada ketikanya saf tidak mengadap kiblat.
Jadi menjarakkan sof boleh diqiaskan kepada cara yang Nabi SAW lakukan, iaitu “bersesuaian dengan bentuk ancaman yang dihadapi”. Menurut pakar perubatan, ikhtiar untuk mengelakkan diri daripada jangkitan covid ialah dengan menjauhi kontek rapat atau menjarakkan hubungan.
Mungkin kita juga boleh belajar daripada kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW tentang mereka yang terlalu ghairah hendak berpegang kepada hukum asal sesuatu masalah.
Daripada Jâbir RA, beliau berkata, “Kami berangkat dalam satu perjalanan lalu seorang daripada kami tertimpa batu dan melukai kepalanya. Kemudian orang itu mimpi “basah” (berjunub) lalu dia bertanya kepada para sahabatnya, “Apakah kalian mendapatkan keringanan bagiku untuk tayammum ?” Mereka menjawab, “Kami memandang kamu tidak mendapatkan keringanan kerana kamu mampu menggunakan air.” Lalu dia mandi kemudian meninggal.
Ketika kami sampai di hadapan Nabi SAW, peristiwa tersebut diceritakan kepada baginda SAW. Baginda bersabda, “Mereka telah membunuhnya. Semoga Allâh membalas mereka. Tidakkah mereka bertanya jika tidak mengetahui? Sesungguhnya ubat kepada tidak tahu adalah bertanya. Sesungguhnya cukup baginya bertayammum.” (HR Abu Daud dalam sunannya dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albâni dalam Shahîh al-Jâmi’ , no. 4362)
Perhatikan ucapan Nabi SAW di hujung hadis: “Mereka telah membunuhnya. Semoga Allâh membalas mereka. Tidakkah mereka bertanya jika tidak mengetahui? Sesnungguhnya ubat kepada tidak tahu adalah bertanya!”
Kita juga mungkin pernah mendengar hadis tentang makan bawang (bukan membawang).
Nabi s.a.w. bersabda bermaksudnya: “Sesiapa yang makan daripada bawang ini, iaitu bawang putih, janganlah dia menghampiri masjid-masjid kami sehingga hilang baunya,” (HR Muslim)
Fuqahak mentafsirkan hadis tersebut bahawa Nabi SAW tidak menggalakan orang yang makan bawang terus datang ke masjid kerana boleh mengganggu para jamaah dengan baunya yang tidak enak. Bayangkan, mengganggu jamaah dengan bau sahaja pun Nabi SAW suruh elakkan. Apatah lagi wabak yang boleh mengancam nyawa? Adakah Nabi SAW redha kita ke masjid kerana hendak tegakkan syiar Islam dalam keadaan kita mungkin menjadi sebab orang lain dapat penyakit atau kita sendiri dijangkiti penyakit yang mungkin pula merebak kepada ahli keluarga kita?
Kelima, So hujah yang di berikan oleh mufti adalah lemah mengikuti pandangan saya.. Atau ada lagi kah hujah yang lain tanpa pengetahuan saya. Dan Saya rasa Islam nampak lebih buruk pada pandangan manusia apabila penganutnya meninggalkan ALLAH dan RUMAHNYA sedangkan umat Islam bersyahadah Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan ALLAH.
Jawapan,
Adakah anda telah baca ke semua hujjah-hujjah mufti sehingga mengatakannya lemah?
Dari segi apakah yang anda dakwa lemah?
Keindahan Islam bukan dinilai pada masjid sahaja. Sebelum berlaku wabak ini, sudah lama masjid dibina dan dikunjungi di merata tempat. Namun adakah umat Islam telah benar-benar berjaya mempamerkan keindahan Islam?
Keindahan Islam dinilai pada pelaksanaan yang menyeluruh. Pada akhlak, ketinggian ilmu dan budi, perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, menentang rasuah, salah guna kuasa, khianat dan mungkir janji. Sudah berapa lama umat Islam berkunjung ke masjid saban waktu, tetapi negara umat Islamlah yang paling tinggi kadar rasuah dan salah guna kuasa serta menyekat kebebasan bersuara.
Ramai yang berkunjung ke Rumah Allah untuk mengerjakan haji dan umrah setiap tahun, namun akhlak masyarakat Islam tidak juga terserlah lebih indah dan lebih unggul berbanding masyarakat bukan Islam. Bukan maksud saya untuk meremehkan solat, haji dan umrah. Sebaliknya, apa yang ingin ditekankan ialah pentingnya penghayatan ajaran Islam yang lebih menyeluruh.
Kelima, dia berkata bahawa Nabi memerintah kita berpegang kepada Al Quran dan Sunnah bukan kepada manusia. Tetapi apa bila diuji dengan virus mereka lebih takut virus daripada ALLAH.
Jawapan,
Jangan senang-senang menghukum orang lebih takut kepada virus daripada takut Allah. Allah jadikan sesuatu itu ada sebab dan musabab. Ikhtiar itu adalah sunnatullah. Adakah dengan berikhtiar menjauhi penyakit itu bermakna tidak takut kepada Allah? Baca balik kisah Umar di atas.
Atau kalau hendak lebih jelas, baca sirah Nabi SAW semasa hijrah. Kenapakah Nabi SAW bersembunyi dalam gua terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah? Kenapa tidak terus jalan saja walaupun musyrikin dok kejar nak bunuh baginda? Tawakkal lah kepada Allah. Lepas itu baginda siap upah seorang musyrik jadi penunjuk jalan ke Madinah. Kenapa tak serah kepada Allah yang tunjukkan jalan?
Kisah itu mengajar kita pentingnya ikhtiar, bukan serah membabi buta hanya berbekalkan iman dan taqwa. Kalau hendak diukur iman dan taqwa, Rasulullah SAW lah yang paling unggul iman dan taqwanya. Pun begitu baginda tidak mengabaikan ikhtiar, mengambil langkah berdasarkan sunnatullah yang mengatur sebab dengan musabab.
Sebagai penutup, saya ingin ingatkan bahawa dalam semua bidang kita mengambil kira dan menghormati kepakaran. Contohnya bidang seni bina, pemegang sijil dalam bidang tersebut tentulah tidak sama kepakarannya dengan pemegang PhD. Siapakah yang lebih didengari pendapat antara keduanya dalam bidang tersebut? Fikirkanlah…
No comments:
Post a Comment