Saturday, December 31, 2022

DI SEBALIK AMANAT TAHUN BARU PMX


Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan amanat tahun baharu dari Masjid Putra, Putrajaya.

Apakah maksud tersirat di sebalik pemilihan masjid sebagai tempat menyampaikan amanat yang penting itu?

Antara maksud tersirat ialah:

i. Beliau menginsafi diri sebagai hamba kepada Allah Yang Maha Esa. Masjid adalah tempat sujud kepadaNya semua manusia yang beriman dan menyedari kedudukan mereka sebagai hamba. Maka perutusan yang disampaikan adalah lahir dari hati seorang hamba kepada hamba di bawah pengawasan Tuhan kepada sekelian hamba.

ii. Beliau benar-benar serius akan melaksanakan apa yang diucapkan kerana setiap kata-kata yang diucapkan dalam Rumah Allah yang dimuliakan tidak boleh dipandang ringan atau dibuat-buat hanya sekadar untuk menyedapkan telinga yang mendengar.

iii. Kesungguhan beliau untuk mengajak rakyat menjaga solat. Apa makna ke masjid kalau tidak solat? Usaha mengajak rakyat menjaga solat adalah selari dengan firman Allah yang bermaksud: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj 22:41) 

iv. Bukti nyata bahawa kerajaan pimpinan beliau bukan dikawal dan dikuasai oleh orang bukan Islam sebagaimana yang dicanang oleh musuh-musuh politiknya.

Sama-sama kita panjatkan doa semoga Allah pimpin DSAI dan kita semua ke jalan yang diredhaiNya di dunia dan akhirat. 

SELAMAT MENITI HARI-HARI MENDATANG BERBEKAL IMAN DAN TAWAKKAL KEPADA ALLAH YANG MAHA ESA


Friday, December 30, 2022

BAB MENIRU ORANG BUKAN ISLAM

Daripada Abdullah bin Umar RA, Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang menyerupai satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka.” Hadis hasan. Riwayat Abu Daud dan Ahmad.

Maksud menyerupai (tasyabbaha) ialah dengan sengaja meniru sesuatu golongan dalam hal atau perkara yang khusus bagi mereka sama ada urusan ibadah atau adat. Contohnya pakaian, gelaran atau lambang yang dikenali sebagai identity khusus sesuatu golongan itu.

Hadis ini merangkumi semua aspek. Sesiapa yang meniru atau menyerupai orang soleh, maka dia termasuk dalam golongan itu dan akan dihimpunkan bersama mereka. Sesiapa yang meniru atau menyerupai orang-orang kafir atau fasiq, maka dia sejalan serta sehaluan dengan mereka.

Hadis ini menggalakkan umat Islam agar mencontohi orang-orang yang soleh dari segi akhlak, kelakuan serta cara hidup mereka. Mencontohi aspek luaran akan memberi kesan kepada aspek dalaman, iaitu hati dan perasaan.

Pada masa yang sama Baginda SAW mengingatkan serta memberi amaran kepada umatnya agar tidak meniru orang kafir, iaitu meniru upacara keagamaan mereka, adat yang khusus bagi mereka serta apa sahaja yang dikenali sebagai identity yang tertentu bagi mereka. Dengan meniru mereka walaupun pada luaran sahaja mungkin akan menarik kita kepada perasaan menyukai dan mengkagumi aqidah serta ibadah mereka pula.

Adapun meniru dalam bidang yang lain daripada itu seperti ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kemahiran hidup dan seumpamanya, hal ini tidak dilarang.


Saturday, December 24, 2022

MUHASABAH HUJUNG TAHUN


Pada suatu hari di tahun baharu, seorang pengarang yang prolific duduk di hadapan meja di ruang pejabat dalam rumahnya. 

Dia mengambil sepatang pen lalu menulis:

“Pada tahun lepas aku menjalani pembedahan membuang hempedu dan terlantar di pembaringan selama beberapa bulan. Umurku genap 60 tahun, masa untuk aku bersara dari jawatan yang telah aku sandang selama 30 tahun di sebuah syarikat penerbitan. Pada tahun lepas juga kedua ibu bapaku meninggal dunia. 

Anakku gagal dalam ujian tahun akhir pengajiannya di fakulti perubatan. Ini kerana dia terlibat dalam satu kemalangan. Kecedaraan yang dialami menyebabkan dia terpaksa bercuti dari pengajian beberapa bulan.”

Pada baris terakhir, dia menulis:

“Aduhai… tahun yang malang dan penuh dengan kecelakaan!!” 


Isterinya memasuki pejabat suaminya. Dia memerhatikan suaminya yang berduka. Wajahnya masam mencuka.

Dia menapak perlahan-lahan menghampirinya. Dia menjenguk kertas yang terbentang di atas meja dan membaca tulisannya.

Dengan tenang dia meninggalkan bilik itu tanpa meluahkan sepatah kata.

Beberapa minit kemudian, dia masuk semula ke bilik dengan membawa sehelai kertas. Diletaknya kertas itu bersebelahan dengan kertas yang mengandungi tulisan suaminya.

Sang suami mengambil kertas yang diletakkan oleh isteri lantas membacanya:

“Pada tahun lepas aku telah sembuh dari sakit hempedu yang ku alami bertahun-tahun lamanya. 

Aku mencapai umur 60 tahun dalam keadaan sihat dan afiat. 

Justeru, aku akan menumpukan sepenuh masa untuk menulis dan menyiapkan beberapa buah buku selepas mengikat perjanjian dengan syarikat penerbitan yang bersedia menerbitkan buku-buku karanganku.

Ibu bapaku hidup di sisiku sehingga mencecah usia 85 tahun dalam keadaan sihat dan tidak menyusahkan sesiapa. Dan mereka telah pergi dengan tenang tanpa mengidap sebarang penyakit yang kronik.

Anakku yang terlibat dalam kemalangan yang dahsyat terselamat dari maut dan kini telah sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kecacatan.”

Pada baris terakhir, isterinya menukilkan:

“Alangkah besarnya ni’mat … tahun yang Allah anugerahkan kami kemuliaan dan segalanya berakhir dengan kebaikan!!!”


- terjemahan daripada sebuah laman FB berbahasa Arab.


Saturday, December 17, 2022

CERITA TELUR (C & P)


1. Malaysia dikenali sebagai negara pengeksport telur. Pengeluaran telur Negara pada waktu dahulu telah melebihi 100% sehingga boleh dieksport.


2. Namun pandemik Covid dan PKP telah menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak kerana sekolah, hotel, kedai makan, kedai kek dan sebagainya tidak dapat beroperasi.


3. Akibatnya pengeluar telur terpaksa mengurangkan kos operasinya dan terpaksa mengecilkan pengeluaran. Anak ayam penelur yang baru tidak dibeli, ramai pekerja mereka dihantar pulang ke negara asal mereka. 


4. Kebanyakan anak ayam penelur dibeli dari luar negara. Anak ayam penelur perlukan 5 bulan untuk mula bertelur. Pada usia itu telurnya bersaiz kecil (Size C & D), pada usia 18 bulan ayam penelur akan mula dijual sebagai ayam pencen kerana produktivitinya telah menurun.


5. Apabila negara mula memasuki fasa pemulihan Covid dan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka, permintaan telur mula meningkat. Waktu ini supply kurang, demand meningkat dan kesannya harga telur naik mendadak.


6. Rakyat mula merungut kerana harga telur semakin mahal. Kerajaan terdahulu ambil keputusan kenakan kawalan harga pada telur supaya harga telur tidak naik mendadak.


7. Biasanya kawalan harga hanya dibuat pada musim perayaan tetapi kerajaan telah mengenakan kawalan harga berterusan hingga sekarang.


8. 80% makanan ayam penelur adalah jagung dan ianya diimport. Sejak setahun lalu harga jagung dunia naik berlipat kali ganda dan penurunan nilai mata wang kita telah memburukkan lagi keadaan. 


9. Situasi ini menyebabkan kos pengeluaran telur naik mendadak dan banyak syarikat kecil telah ditutup kerana tidak mempunyai cash flow yang sihat. Kawalan harga menyebabkan pengeluar telur tidak lagi mendapat keuntungan dan mula menanggung kerugian. Pengeluaran telur Negara berkurangan dari 120% kepada 100%. 


10. Untuk mengurangkan kerugian pengeluar telur, Kerajaan terpaksa memberi subsidi RM200 juta sebulan kepada mereka. Setahun Kerajaan terpaksa menanggung hampir RM2.4 billion subsidi. Suatu jumlah yang sangat banyak.


11. Harga makanan ayam terus meningkat sehingga kini. Subsidi yang diberi tidak lagi mencukupi untuk menanggung kerugian pengeluar telur. Jadi pengeluar telur terpaksa mengeksport telur mereka ke Singapura dan Hong Kong untuk meningkatkan pendapatan syarikat. Situasi inilah menyebabkan bekalan telur dalam negara berkurangan lagi 20%. Keuntungan dari aktiviti eksport ini diguna untuk menampung kerugian yang mereka tanggung kerana menjual telur dalam negara. Ada syarikat telur yang jualannya RM20 juta setahun tetapi untung bersihnya hanya RM20 ribu.


12. Jika kerajaan menghentikan eksport, maka lebih banyak pengeluar telur akan tutup kedai. Akibatnya bekalan telur dalam Negara akan jadi lebih meruncing. 


13. Jika kerajaan menambah subsidi, maka lebih banyak wang rakyat akan diguna untuk membayar subsidi. Dilema ini kita boleh faham dengan mudah. 


14. Jika Kerajaan menarik balik kawalan harga, harga telur akan naik mendadak - rakyat dah tentu akan marah.


15. Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan, ketiadaan telur di pasaran sudahpun berlaku berbulan lamanya. 


16. Tahun hadapan ekonomi dunia dijangka akan lebih mencabar. Negara kita pula tidak pernah mengimport telur. Jika apa-apa berlaku pada pengeluar telur tempatan dan bekalan terus meruncing, apa plan B negara?


17. Suka atau tidak suka, Kerajaan perlu ada SOP dan Pelan Kontigensi untuk mengatasi sebarang kemungkinan. Maka idea mengimport telur perlu dicuba supaya negara lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


18. 6 Disember 2022 - Kerajaan umum akan import telur dari beberapa negara  luar untuk mencukupkan bekalan dalam negara. Dalam masa 10 hari, negara berjaya bawa masuk telur dari sumber luar. Syarikat yang mengeksport telur ke Malaysia hari ini adalah syarikat yang sama membekalkan telur ke Fifa World Cup. Langkah import ini hanyalah langkah sementara. 


19. Teorinya mudah. Apabila supply telur sudah melebihi demand, harga telur akan turun. Apabila harga telah stabil, Kerajaan tidak perlu lagi mengawal harga dan memberikan subsidi. Wang negara dapat dijimatkan. Penjimatan ini boleh diguna untuk membangunkan lebih banyak usahawan telur ayam. 


20. Kerajaan tidak menanggung apa-apa kos import telur. Kos dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang mengimport. Semua syarikat yang berminat mengimport telur boleh memohon kepada Kerajaan. Tiada monopoli dalam urusan ini. Semuanya telus. Namun perlu ingat, kebenaran import ini akan dikaji semula apabila bekalan telur kembali stabil. Dalam tempoh 6 bulan akan datang mungkin Kerajaan tidak membenarkan lagi telur diimport.


21. Untuk mencukupkan semula bekalan telur ayam Negara, sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun kerana ia melibatkan beberapa Kementerian.


22. Misalnya isu kekurangan pekerja melibatkan Kementerian Sumber Manusia. Isu kawalan harga melibatkan KPDN, projek pembukaan ladang penelur baru melibatkan MAFS dan isu subsidi bersasar untuk rakyat termiskin melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.


23. Untuk makluman Negara kita sudah pun ada pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang komprehensif. Ianya sudah pun mula dilaksanakan satu persatu. 


24. Keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk memastikan keterjaminan makanan Negara dan nasib rakyat terus terbela tidak wajar dipertikaikan kerana keazaman itu sangat jelas apabila MAFI (Food Industry) ditukar ke MAFS (Food Security). 


Moga catatan ini dapat memberikan sedikit pencerahan pada semua.


Catatan SU Akhbar YBM MAFS

Thursday, December 01, 2022

PERINGATAN BUAT MEREKA YANG BERMUDAH-MUDAH MENERAKAKAN ORANG LAIN!!!


Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang penceramah dari sebuah parti politik semasa kempen baru-baru ini bahawa orang yang mengundi parti lain daripada partinya akan masuk neraka.

Walaupun dia telah meminta maaf atas ucapannya itu, namun fahaman itu masih subur dan bertapak dengan kukuh dalam hati penganut parti tersebut. Buktinya hari ini tersebar pula satu video di TikTok dengan tajuk “Gambaran laknat Allah”. 

Berlatar belakangkan satu bencana di suatu daerah dan dituliskan “Tambun dan Purtajaya”

Kemusnahan atau bencana itu dikatakan kerana mereka melantik pemimpin kafir, ahli maksiat, menghalalkan LGBT, menyamakan Islam dengan agama lain dan bermacam-macam tuduhan yang amat berat.

Saya hanya mampu beristighfar apabila menonton video yang menyebarkan fahaman yang bagi saya sangat melampau.

Apakah mereka tidak pernah menemui hadis di bawah ini?

Kalau mereka pernah diberitahu tentang hadis ini mungkin mereka tidak seberani itu untuk menghukum pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka.

Allahu A’lam.


Dhamdham bin Jaus berkata:

Saya memasuki Masjid Rasulullah SAW. Tiba-tiba saya terpandang seorang tua yang kuning kepalanya (mungkin dicelup dengan inai berwarna kuning), bersinar giginya. Bersamanya seorang pemuda yang sangat hitam matanya dan elok wajahnya.

Orang tua itu berkata:

“Wahai Yamami, datanglah kemari! Janganlah sekali-kali seseorang itu berkata kepada seseorang yang lain: “Allah tidak akan mengampunimu! 

Demi Allah! Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga selama-lamanya!”

Aku (Dhamdham) bertanya:

“Siapankah anda, semoga Allah merahmatimu”

Orang tua itu menjawab:

“Aku adalah Abu Hurairah”

Aku menyambung:

“Sesungguhnya kata-kata seperti itu sering diucapkan oleh sebahagian kami kepada ahli keluarganya atau khadamnya apabila dia marah.”

 

Abu Hurairah berkata:

“Jangan kalian berkata begitu. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Dua orang lelaki dalam kalangan Bani Israel berkawan tetapi mempunyai haluan hidup yang bertentangan. Salah seorang sangat rajin dalam beribadah dan seorang lagi bergelumang dengan dosa. 

Pada suatu hari yang rajin beribadah melihat kawannya sedang melakukan dosa. 

Dia berkata: “Celaka engkau! Berhentilah!”

Kawannya menjawab: 

“Biarkanlah aku dengan Tuhanku.”

Dia mengulangi tegurannya.

Kawannya menjawab:

“Biarkanlah aku dengan Tuhanku. Adakah engkau diutus untuk memantau aku?”

Maka dia membalas: “Demi Allah! Allah tidak akan mengampunimu. Atau dia berkata: Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga selama-lamanya!”


Maka Allah hantar malaikat mengambil nyawa kedua-duanya.

Kedua-duanya dihadapkan kepada Allah.

Allah berkata kepada yang rajin beribadah: 

“Adakah engkau mengetahui atau adakah engkau berkuasa menentukan apa yang ada padaKu? Atau adakah engkau hendak menghalang rahmatKu ke atas hambaKu?

Allah berfirman kepada pendosa: “Pergilah engkau ke syurga dengan rahmatKu!”

Dan Dia berfirman kepada malaikat:

“Bawalah dia (yang rajin beribadah) ke neraka!”

Nabi SAW bersabda:

“Demi Tuhan yang nyawaku di tanganNya, dia (yang rajin beribadah) telah bercakap dengan satu perkataan yang membinasakan dunianya dan akhiratnya!”

Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya.