Daripada Abdullah bin Umar RA, Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang menyerupai satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka.” Hadis hasan. Riwayat Abu Daud dan Ahmad.
Maksud menyerupai (tasyabbaha) ialah dengan sengaja meniru sesuatu golongan dalam hal atau perkara yang khusus bagi mereka sama ada urusan ibadah atau adat. Contohnya pakaian, gelaran atau lambang yang dikenali sebagai identity khusus sesuatu golongan itu.
Hadis ini merangkumi semua aspek. Sesiapa yang meniru atau menyerupai orang soleh, maka dia termasuk dalam golongan itu dan akan dihimpunkan bersama mereka. Sesiapa yang meniru atau menyerupai orang-orang kafir atau fasiq, maka dia sejalan serta sehaluan dengan mereka.
Hadis ini menggalakkan umat Islam agar mencontohi orang-orang yang soleh dari segi akhlak, kelakuan serta cara hidup mereka. Mencontohi aspek luaran akan memberi kesan kepada aspek dalaman, iaitu hati dan perasaan.
Pada masa yang sama Baginda SAW mengingatkan serta memberi amaran kepada umatnya agar tidak meniru orang kafir, iaitu meniru upacara keagamaan mereka, adat yang khusus bagi mereka serta apa sahaja yang dikenali sebagai identity yang tertentu bagi mereka. Dengan meniru mereka walaupun pada luaran sahaja mungkin akan menarik kita kepada perasaan menyukai dan mengkagumi aqidah serta ibadah mereka pula.
Adapun meniru dalam bidang yang lain daripada itu seperti ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kemahiran hidup dan seumpamanya, hal ini tidak dilarang.
No comments:
Post a Comment