Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang penceramah dari sebuah parti politik semasa kempen baru-baru ini bahawa orang yang mengundi parti lain daripada partinya akan masuk neraka.
Walaupun dia telah meminta maaf atas ucapannya itu, namun fahaman itu masih subur dan bertapak dengan kukuh dalam hati penganut parti tersebut. Buktinya hari ini tersebar pula satu video di TikTok dengan tajuk “Gambaran laknat Allah”.
Berlatar belakangkan satu bencana di suatu daerah dan dituliskan “Tambun dan Purtajaya”
Kemusnahan atau bencana itu dikatakan kerana mereka melantik pemimpin kafir, ahli maksiat, menghalalkan LGBT, menyamakan Islam dengan agama lain dan bermacam-macam tuduhan yang amat berat.
Saya hanya mampu beristighfar apabila menonton video yang menyebarkan fahaman yang bagi saya sangat melampau.
Apakah mereka tidak pernah menemui hadis di bawah ini?
Kalau mereka pernah diberitahu tentang hadis ini mungkin mereka tidak seberani itu untuk menghukum pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka.
Allahu A’lam.
Dhamdham bin Jaus berkata:
Saya memasuki Masjid Rasulullah SAW. Tiba-tiba saya terpandang seorang tua yang kuning kepalanya (mungkin dicelup dengan inai berwarna kuning), bersinar giginya. Bersamanya seorang pemuda yang sangat hitam matanya dan elok wajahnya.
Orang tua itu berkata:
“Wahai Yamami, datanglah kemari! Janganlah sekali-kali seseorang itu berkata kepada seseorang yang lain: “Allah tidak akan mengampunimu!
Demi Allah! Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga selama-lamanya!”
Aku (Dhamdham) bertanya:
“Siapankah anda, semoga Allah merahmatimu”
Orang tua itu menjawab:
“Aku adalah Abu Hurairah”
Aku menyambung:
“Sesungguhnya kata-kata seperti itu sering diucapkan oleh sebahagian kami kepada ahli keluarganya atau khadamnya apabila dia marah.”
Abu Hurairah berkata:
“Jangan kalian berkata begitu. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Dua orang lelaki dalam kalangan Bani Israel berkawan tetapi mempunyai haluan hidup yang bertentangan. Salah seorang sangat rajin dalam beribadah dan seorang lagi bergelumang dengan dosa.
Pada suatu hari yang rajin beribadah melihat kawannya sedang melakukan dosa.
Dia berkata: “Celaka engkau! Berhentilah!”
Kawannya menjawab:
“Biarkanlah aku dengan Tuhanku.”
Dia mengulangi tegurannya.
Kawannya menjawab:
“Biarkanlah aku dengan Tuhanku. Adakah engkau diutus untuk memantau aku?”
Maka dia membalas: “Demi Allah! Allah tidak akan mengampunimu. Atau dia berkata: Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga selama-lamanya!”
Maka Allah hantar malaikat mengambil nyawa kedua-duanya.
Kedua-duanya dihadapkan kepada Allah.
Allah berkata kepada yang rajin beribadah:
“Adakah engkau mengetahui atau adakah engkau berkuasa menentukan apa yang ada padaKu? Atau adakah engkau hendak menghalang rahmatKu ke atas hambaKu?
Allah berfirman kepada pendosa: “Pergilah engkau ke syurga dengan rahmatKu!”
Dan Dia berfirman kepada malaikat:
“Bawalah dia (yang rajin beribadah) ke neraka!”
Nabi SAW bersabda:
“Demi Tuhan yang nyawaku di tanganNya, dia (yang rajin beribadah) telah bercakap dengan satu perkataan yang membinasakan dunianya dan akhiratnya!”
Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya.
No comments:
Post a Comment