Pada suatu hari di tahun baharu, seorang pengarang yang prolific duduk di hadapan meja di ruang pejabat dalam rumahnya.
Dia mengambil sepatang pen lalu menulis:
“Pada tahun lepas aku menjalani pembedahan membuang hempedu dan terlantar di pembaringan selama beberapa bulan. Umurku genap 60 tahun, masa untuk aku bersara dari jawatan yang telah aku sandang selama 30 tahun di sebuah syarikat penerbitan. Pada tahun lepas juga kedua ibu bapaku meninggal dunia.
Anakku gagal dalam ujian tahun akhir pengajiannya di fakulti perubatan. Ini kerana dia terlibat dalam satu kemalangan. Kecedaraan yang dialami menyebabkan dia terpaksa bercuti dari pengajian beberapa bulan.”
Pada baris terakhir, dia menulis:
“Aduhai… tahun yang malang dan penuh dengan kecelakaan!!”
Isterinya memasuki pejabat suaminya. Dia memerhatikan suaminya yang berduka. Wajahnya masam mencuka.
Dia menapak perlahan-lahan menghampirinya. Dia menjenguk kertas yang terbentang di atas meja dan membaca tulisannya.
Dengan tenang dia meninggalkan bilik itu tanpa meluahkan sepatah kata.
Beberapa minit kemudian, dia masuk semula ke bilik dengan membawa sehelai kertas. Diletaknya kertas itu bersebelahan dengan kertas yang mengandungi tulisan suaminya.
Sang suami mengambil kertas yang diletakkan oleh isteri lantas membacanya:
“Pada tahun lepas aku telah sembuh dari sakit hempedu yang ku alami bertahun-tahun lamanya.
Aku mencapai umur 60 tahun dalam keadaan sihat dan afiat.
Justeru, aku akan menumpukan sepenuh masa untuk menulis dan menyiapkan beberapa buah buku selepas mengikat perjanjian dengan syarikat penerbitan yang bersedia menerbitkan buku-buku karanganku.
Ibu bapaku hidup di sisiku sehingga mencecah usia 85 tahun dalam keadaan sihat dan tidak menyusahkan sesiapa. Dan mereka telah pergi dengan tenang tanpa mengidap sebarang penyakit yang kronik.
Anakku yang terlibat dalam kemalangan yang dahsyat terselamat dari maut dan kini telah sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kecacatan.”
Pada baris terakhir, isterinya menukilkan:
“Alangkah besarnya ni’mat … tahun yang Allah anugerahkan kami kemuliaan dan segalanya berakhir dengan kebaikan!!!”
- terjemahan daripada sebuah laman FB berbahasa Arab.
1 comment:
assalamulaikum ustazah...boleh kalau saya nak ambil penulisan ustazah dan letak di blog saya? saya akan letak url ustazah sekali
Post a Comment