1. Malaysia dikenali sebagai negara pengeksport telur. Pengeluaran telur Negara pada waktu dahulu telah melebihi 100% sehingga boleh dieksport.
2. Namun pandemik Covid dan PKP telah menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak kerana sekolah, hotel, kedai makan, kedai kek dan sebagainya tidak dapat beroperasi.
3. Akibatnya pengeluar telur terpaksa mengurangkan kos operasinya dan terpaksa mengecilkan pengeluaran. Anak ayam penelur yang baru tidak dibeli, ramai pekerja mereka dihantar pulang ke negara asal mereka.
4. Kebanyakan anak ayam penelur dibeli dari luar negara. Anak ayam penelur perlukan 5 bulan untuk mula bertelur. Pada usia itu telurnya bersaiz kecil (Size C & D), pada usia 18 bulan ayam penelur akan mula dijual sebagai ayam pencen kerana produktivitinya telah menurun.
5. Apabila negara mula memasuki fasa pemulihan Covid dan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka, permintaan telur mula meningkat. Waktu ini supply kurang, demand meningkat dan kesannya harga telur naik mendadak.
6. Rakyat mula merungut kerana harga telur semakin mahal. Kerajaan terdahulu ambil keputusan kenakan kawalan harga pada telur supaya harga telur tidak naik mendadak.
7. Biasanya kawalan harga hanya dibuat pada musim perayaan tetapi kerajaan telah mengenakan kawalan harga berterusan hingga sekarang.
8. 80% makanan ayam penelur adalah jagung dan ianya diimport. Sejak setahun lalu harga jagung dunia naik berlipat kali ganda dan penurunan nilai mata wang kita telah memburukkan lagi keadaan.
9. Situasi ini menyebabkan kos pengeluaran telur naik mendadak dan banyak syarikat kecil telah ditutup kerana tidak mempunyai cash flow yang sihat. Kawalan harga menyebabkan pengeluar telur tidak lagi mendapat keuntungan dan mula menanggung kerugian. Pengeluaran telur Negara berkurangan dari 120% kepada 100%.
10. Untuk mengurangkan kerugian pengeluar telur, Kerajaan terpaksa memberi subsidi RM200 juta sebulan kepada mereka. Setahun Kerajaan terpaksa menanggung hampir RM2.4 billion subsidi. Suatu jumlah yang sangat banyak.
11. Harga makanan ayam terus meningkat sehingga kini. Subsidi yang diberi tidak lagi mencukupi untuk menanggung kerugian pengeluar telur. Jadi pengeluar telur terpaksa mengeksport telur mereka ke Singapura dan Hong Kong untuk meningkatkan pendapatan syarikat. Situasi inilah menyebabkan bekalan telur dalam negara berkurangan lagi 20%. Keuntungan dari aktiviti eksport ini diguna untuk menampung kerugian yang mereka tanggung kerana menjual telur dalam negara. Ada syarikat telur yang jualannya RM20 juta setahun tetapi untung bersihnya hanya RM20 ribu.
12. Jika kerajaan menghentikan eksport, maka lebih banyak pengeluar telur akan tutup kedai. Akibatnya bekalan telur dalam Negara akan jadi lebih meruncing.
13. Jika kerajaan menambah subsidi, maka lebih banyak wang rakyat akan diguna untuk membayar subsidi. Dilema ini kita boleh faham dengan mudah.
14. Jika Kerajaan menarik balik kawalan harga, harga telur akan naik mendadak - rakyat dah tentu akan marah.
15. Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan, ketiadaan telur di pasaran sudahpun berlaku berbulan lamanya.
16. Tahun hadapan ekonomi dunia dijangka akan lebih mencabar. Negara kita pula tidak pernah mengimport telur. Jika apa-apa berlaku pada pengeluar telur tempatan dan bekalan terus meruncing, apa plan B negara?
17. Suka atau tidak suka, Kerajaan perlu ada SOP dan Pelan Kontigensi untuk mengatasi sebarang kemungkinan. Maka idea mengimport telur perlu dicuba supaya negara lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
18. 6 Disember 2022 - Kerajaan umum akan import telur dari beberapa negara luar untuk mencukupkan bekalan dalam negara. Dalam masa 10 hari, negara berjaya bawa masuk telur dari sumber luar. Syarikat yang mengeksport telur ke Malaysia hari ini adalah syarikat yang sama membekalkan telur ke Fifa World Cup. Langkah import ini hanyalah langkah sementara.
19. Teorinya mudah. Apabila supply telur sudah melebihi demand, harga telur akan turun. Apabila harga telah stabil, Kerajaan tidak perlu lagi mengawal harga dan memberikan subsidi. Wang negara dapat dijimatkan. Penjimatan ini boleh diguna untuk membangunkan lebih banyak usahawan telur ayam.
20. Kerajaan tidak menanggung apa-apa kos import telur. Kos dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang mengimport. Semua syarikat yang berminat mengimport telur boleh memohon kepada Kerajaan. Tiada monopoli dalam urusan ini. Semuanya telus. Namun perlu ingat, kebenaran import ini akan dikaji semula apabila bekalan telur kembali stabil. Dalam tempoh 6 bulan akan datang mungkin Kerajaan tidak membenarkan lagi telur diimport.
21. Untuk mencukupkan semula bekalan telur ayam Negara, sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun kerana ia melibatkan beberapa Kementerian.
22. Misalnya isu kekurangan pekerja melibatkan Kementerian Sumber Manusia. Isu kawalan harga melibatkan KPDN, projek pembukaan ladang penelur baru melibatkan MAFS dan isu subsidi bersasar untuk rakyat termiskin melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
23. Untuk makluman Negara kita sudah pun ada pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang komprehensif. Ianya sudah pun mula dilaksanakan satu persatu.
24. Keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk memastikan keterjaminan makanan Negara dan nasib rakyat terus terbela tidak wajar dipertikaikan kerana keazaman itu sangat jelas apabila MAFI (Food Industry) ditukar ke MAFS (Food Security).
Moga catatan ini dapat memberikan sedikit pencerahan pada semua.
Catatan SU Akhbar YBM MAFS
No comments:
Post a Comment