Sunday, October 13, 2013

Kenyataan ke 115 Tahaluf Wataniy : 'Eid al-Adha adalah 'Eid Syahid dan Tadhiyyah



Tahaluf Wataniy bagi pendokong legitimasi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, semurni-murni ucapan mubarak dan setulus-tulus doa buat rakyat Mesir tercinta sempena Hari Raya Qurban yang penuh keberkatan. Semoga Allah pulangkan kepada kita dan kepada umat Islam semua kebaikan, keamanan dan keberkatan. Semoga Allah anugerahkan kepada keluarga syuhada' kesabaran, kedamaian dan ketenangan dengan kemenangan mereka yang cedera, dipenjara dan syahid.

Hari raya hari bahagia, riang gembira. Hari Raya Qurban merupakan hari kemenangan dan kegembiraan. Allah limpahkan perasaan itu di dalam hati hamba-hambaNya yang beriman, yang sabar, tabah dan berterusan dalam perjuangan. Hari Raya Korban adalah hari di mana kita menimba inspirasi makna penebusan dan pengorbanan. Maka alangkah bahagianya mereka yang menghulur dan memberi, yang berbelanja dan berkorban, yang mengharap ganjaran dan keredhaan Tuhan. Mereka itulah orang yang paling layak untuk bergembira. Mereka itulah yang paling besar ganjarannya in syaa Allah.

Allah tahdirkan sebahagian kita bergembira pada hari raya dengan bertemu   orang-orang tersayang dari kalangan ahli dunia, iaitu kaum kerabat serta sahabat-sahabat. Sebahagian yang lain pula Allah anugerahkan mereka kegembiraan mendapat syahadah dan jannah, bertemu para kekasih yang terdiri dari Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda. Maka tahniah kepada kamu wahai para syuhadaa' yang mulia dan terpilih. Tahniah kepada keluarga kamu, keluarga para pahlawan dan pejuang, keluarga mereka yang tabah, mulia dan bersemangat waja. Mereka adalah cahaya Mesir yang bergemerlapan, keberkatannya yang melimpah dan melata. Tahniah kepada kamu pada hari raya kamu dengan ganjaran dan pahala daripada Tuhan Yang Maha Pemurah dan Pemberi ni'mat.

Tahaluf ingin mengucapkan tahniah secara khusus kepada pemuda dan pemudi Mesir, lelaki dan wanitanya yang sabar, tabah dan teguh di medan juang. Mereka telah mengorbankan segala yang mahal dan berharga demi kebebasan, kemuliaan dan kemegahan tanah air mereka, supaya mereka dapat hidup sebagai insan yang merdeka dan bermaruah, tidak diinjak oleh mereka yang zalim, tidak ditindas oleh pelampau. Sehingga kini mereka terus berpegang kepada janji, mereka telah lakarkan di atas lembaran sejarah kisah-kisah sumbangan dan pengorbanan, lakaran di dada sejarah kemanusiaan dengan huruf-huruf daripada cahaya dan tinta daripada emas. Sesungguhnya tidak ada mana-mana bangsa yang bangkit menentang rampasan kuasa oleh tentera sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat Mesir yang hebat.

Dengan ini Tahaluf menyeru semua rakyat dan warga Mesir yang mulia dan ikhlas supaya menyertai perhimpunan berjuta-juta yang kita namakan "Doa Untuk Mesir", yang akan berlangsung pada waktu Zohor Hari Arafah sehingga waktu Maghrib hari yang besar ini. Kita mengikuti dan mencontohi para hujjaj yang berwuquf dan berdoa pada hari yang dihadiri oleh saksi-saksi dari kalangan para malaikat, iaitu Hari Arafah. Doa adalah senjata paling tajam dan paling kuat yang dimiliki oleh orang beriman. Maka jadikanlah doa kita untuk Mesir memperolehi segala kebaikan, kebaikan dengan pertolongan Allah kepada kebenaran dan keadilan, kebaikan dengan Allah singkirkan kezaliman dan kekejaman, kebaikan dengan Allah  hapuskan kezaliman, pengkhianatan dan penipuan, Allah balas pelaku-pelakunya dengan pembalasan yang sepadan dengan mereka, kebaikan dengan Allah membersihkan bumi Mesir daripada ulamak jahat, fitnah dan pertumpahan darah, kebaikan dengan Allah jadikan setiap tangan yang dihulurkan ke arah seorang muslim lalu membunuhnya dan mencabut nyawanya tanpa hak sebagai ibrah kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran, kebaikan dengan Allah sempurnakan kepada kita kemenangan dan menzahirkan kebenaran. Maka bersungguh-sungguhlah wahai hamba-hamba Allah dalam berdoa. Hari ini merupakan hari yang diharapkan terqabulnya doa. Justeru, jangan sia-siakan hembusan kemurahan Tuhan kamu pada hari yang mulia ini.

Dan dirikanlah solat hari raya di sepanjang negara dan selebarnya, timurnya dan baratnya. Jadikanlah solat itu untuk Allah. Jadikanlah beberapa detik pada hari raya bersama Maha Pencipta dan sunnah NabiNya yang terpilih s.a.w. Dan beberapa detik lagi bersama keluarga, anak-anak, suami-isteri. Mesukkan kegembiraan ke dalam hati mereka sebagaimana diperintahkan oleh Tuhan kita dan dipesankan oleh Rasul kita s.a.w. Jadikanlah setiap medan, setiap padang untuk solat. Solat kita sebagai solat satu bangsa, satu warganegara, tiada perbezaan, tiada pengkhususan untuk sesuatu golongan. Solat seluruh rakyat, satu bangsa, satu tanah air, satu Tuhan, tiada Tuhan melainkan Dia. Biar tersungkur hidung mereka yang benci.

Akhirnya, semoga sepanjang tahun kamu semua berada dalam kebaikan, kemuliaan, kemenangan, harapan, keazaman, keyakinan dan kesabaran sehingga Allah sempurnakan urusan kita, urusan kebaikan, urusan kemuliaan dan kemajuan Mesir.
 الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر ولله الحمد

Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=165126&SecID=230 

Saturday, September 21, 2013

Qasidah : Telah Hidup Asma'



Nukilan: Majestrit 'Imad Abu Hashim, Ketua  Mahkamah al-Mansurah dan salah seorang pemimpin yang memperjuangkan kebebasan kehakiman di Mesir. Qasidah ini adalah dedikasi buat Asma' el-Beltagi

Wahai anak-anak kami
Wahai anak-anak kami, dengan kasut mereka pukul kita
Sekiranya bapa-bapa kamu enggan bersuara
Mereka akan buka pintu-pintu yang dikunci
Sekiranya kami takut kepada pembantai
Dan kami gerun kepada tali gantung
Sekiranya kami berkata kepada kamu
Sesungguhnya musuh-musuh kita hari ini menjadikan kami orang-orang yang tertindas.

Wahai anak-anak kami
Sekiranya kami tidak membawa kepada kamu orang yang menajiskan bumi yang suci
Yang membakar manusia
Dari Aswan
Ke Cairo
Yang mengkebulurkan anak-anak di bumi Ghazzah (Gaza)
Dan an-Nasirah (Suria)
Katakanlah bahawa sesungguhnya kami adalah memalukan
Tinggalkanlah kami
Isytiharkanlah bahawa sesungguhnya kami mensia-siakan kewajipan kami
Menghalalkan apa yang dilakukan oleh musuh
Katakanlah
Bahawa kamu bukan lahir dari sulbi kami
Katakanlah
Bahawa kamu datang daripada pelacuran
Dan saliblah kami dengan segera di batang-batang kurma
Jangan kamu kasihankan kami
Kumpulkan anak-anak batu dari seluruh pelusuh negara
Supaya kamu dapat merejam kami.

Wahai anak-anak kami
Seandainya kami hanya membawa kepada kamu gula-gula sahaja
Marahlah kami
Campakkan gula-gula itu ke muka kami
Ludahlah muka kami
Peganglah janggut kami
Rentaplah
Ludahlah
Menangislah sekuat suara kamu
Isytiharkan keperempuanan kami
Pakaikan kami pakaian perempuan
Lalu berceritalah kamu tentang keperwiraan seorang bidadari
Namanya Asma'
Katakanlah sesungguhnya kami sebenarnya telah mati ketika mana kami kembali
Dan kami tinggalkan di belakang kami Asma'
Katakanlah sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mati
Dan sesungguhnya telah hidup Asma'
Telah hidup Asma'

http://www.egyptwindow.net/Details.aspx?Kind=24&News_ID=1484

Monday, September 16, 2013

Umat yang memiliki matlamat yang mulia, pengorbanan yang berharga


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, sahabatnya dan mereka yang mengikutinya

Umat ini telah dimuliakan Allah dengan memberi peluang memikul risalah samawiyyah yang terakhir, penyempurna akhlak yang mulia untuk seluruh umat manusia dengan mencontohi model insan terpilih yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan, iaitu Muhammad khatamul-mursalin wa imamul-anbiaa' ajma'ein s.a.w.

Sesungguhnya Allah Rabbul-'Izzati telah mengamanahkan kita memikul risalah ini dan diperkuatkan lagi oleh Habibuna al-Mustafa s.a.w. Dia menyuruh kita membawa risalah ini dengan segala isi kandungannya untuk kebaikan kita dan kebaikan umat manusia seluruhnya. Dia juga mengingatkan kita agar berwaspada daripada segala perkara yang mendatangkan kejahatan kepada kita dan kepada umat manusia seluruhnya. Nas-nas berkenaan dengannya terang dan jelas: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,” (Aali ‘Imran:110) Ciri pertama yang menjadikan kita layak bergelar khaira ummah (sebaik-baik umat) ialah, ((kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)). Inilah satu pendirian positif dan menyahut seruan yang membezakan umat ini daripada seluruh umat terdahulu; ketika mana mereka tidak bangkit melaksanakan kewajipan ini, mereka dilaknat dan dijauhkan dari rahmat Allah sebagaimana disebut di dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Al-Maidah:78-79)

Dan dengan menyahut seruan ini, kita harus menanggung implikasinya. Kita akan berhadapan dengan kesusahan, pendustaan, serangan dalam bentuk fizikal, mental dan emosi, fitnah, penangkapan, penjara, malah pembunuhan dan pembakaran hidup-hidup dari musuh-musuh kebenaran dan golongan yang jahat. Perkara ini telah diperingatkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Luqman:17) Dan Allah akan melaksanakan qadarNya ke atas kita melalui tangan para penjahat, pembunuh dan penumpah darah untuk menyempurnakan ujian supaya Allah mengetahui siapa di antara kita yang benar-benar berjuang, yang benar-benar sabar, yang munafiq, yang berbolak-balik dan yang kembali kepada kebenaran. Mereka yang kembali kepada kebenaran merupakan sebaik-baik orang yang berdosa. Kerana itu, Tuhan Rabbul-‘Izzati berfirman maksudnya: “Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Aali ‘Imran:186)
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad:31)
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya.” (Al-Baqarah:155-157)

Dan kemuncak ujian Allah ke atas hambaNya ialah Dia memilih dari kalangan mereka sebagai syuhada’. Dan untuk mewujudkan syuhada’ mestilah ada golongan yang membunuh, menumpahkan darah, melakukan kekejaman terhadap mereka yang berkata “Tuhan kami hanyalah Allah” atau mereka bangkit berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, khianat, kejam dan melampau batas, lalu berkata perkataan yang hak, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka dari munkar, lalu merekapun dibunuh. Hal ini digambarkan di dalam sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Dan lelaki yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, lalu dia menyuruh dan melarang, maka dia dibunuh.” Ya, dia cuma menyuruh dan melarang. Maka siapakah yang sebenarnya pengganas di sini? Siapakah penjenayah dan siapakah penghulu syuhada’? “Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?” (Al-Qalam:36)

Aku ingin berkata kepada keluarga para syuhada’, tahniah kepada kamu kerana Allah telah memilih keluarga kamu sebagai syahid dan syahidah dalam perjuangan di Mesir demi menegakkan kemerdekaan, kebenaran dan kemuliaan. Semoga Allah kurniakan kami dan kamu baitul-hamd di syurga sebagai balasan di atas keredhaan kamu menerima qadha’ dan qadar Allah, iaitu ketika kita mengucapkan kalimah pujian (inna lillahi wa inna ilaihi raji’un). Ketika itu kita berhak menerima anugerah yang maha hebat ini kerana yang memerintahkan malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kita sayangi adalah Dia yang berkata kepada malaikat itu: “Adakah engkau mencabur nyawa anak hambaKu yang beriman (padahal Dia mengetahui apa yang malaikat lakukan)? Engkau cabut nyawa buah hati hambaKu? Malaikat menjawab: “Ya!” Lalu Allah bertanya: “Maka apakah reaksi hambaKu? Apakah ucapannya?” Malaikat menjawab: “Mereka memujiMu dan istirja’ (iaitu berkata:الحمد لله إنا لله وإنا إليه راجعون)
Allah berkata: "Binalah untuk hambaKu itu sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu Baitul-Hamd."

Maka untukMu ya Tuhanku segala puji dan syukur sebanyak-banyaknya. Kami semua adalah hamba-hambaMu, anak-anak kepada hamba-hambaMu. Ubun-ubun kami di dalam genggamanMu, terlaksana atas kami ketetapanMu, adil untuk kami keputusanMu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ikutan kami. Baginda telah mengajar kami supaya kami berkata seperti mana beliau berkata ketika Engkau mengambil nyawa puteranya yang satu-satunya, "Sesungguhnya mata ini mengalirkan airmata, hati ini terasa duka, sungguh kami sedih berpisah denganmu wahai Ibrahim. Namun kami tidak akan berkata kecuali ucapan yang diredhai oleh Tuhan kami: Ya Allah, kurniakan kami pahala untuk musibah kami dan gantikan kami yang lebih baik daripadanya." Amin. Di sini letaknya hakikat Islam yang penting, yang dipacakkan oleh al-Faruq Umar bin al-Khattab r.a. dalam menghadapi situasi seperti ini, ketika disampaikan kepadanya berita syahidnya tentera-tentera di medan perang. Setelah diberitahu beberapa nama yang dikenali, pembawa khabar itu menyambung, "di sana terdapat beberapa orang syuhada' yang engkau tidak kenali mereka dan tidak kenali bapa-bapa mereka serta tidak ada orang yang menyaksikan jenazah mereka." Lalu khalifah yang bersifat tawadhu' itu berkata: "Apa yang mereka dapat kalau Umar bin Ibu Umar mengenali mereka. Tuhan yang memuliakan mereka dengan anugerah syahid itu mengenali wajah-wajah mereka."

Adapun para pembunuh dan penumpah darah, maka kami memohon kepada Allah agar menjadikan darah syuhada' yang suci bersih ini, orang yang luka, cedera dan terbakar sebagai laknat ke atas mereka, ke atas orang yang bersekongkol dengan mereka dan orang yang membantu mereka walaupun dengan separuh kalimah. Laknat ke atas mereka hingga ke hari qiamat, sehingga termaktub di antara dua mata mereka "orang yang putus asa dari rahmat Allah". Kami juga memohon daripada Allah Tabaraka wa Ta'ala supaya menjadikan segala pengorbanan, pendirian, ketaatan, ibadah dan doa daripada seluruh muslimin dan muslimat sebagai tebusan untuk membebaskan umat dari segala cengkaman perhambaan kecuali kepada Allah. Semoga umat akan memperolehi semua haknya yang sah, iaitu presidennya yang dipilih melalui pilihanraya yang sah, perlembagaannya yang telah diperakui melalui pungutan suara majority, dipersetujui oleh mereka yang pakar, wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Mesir, pembuat keputusan dan pemimpin tertinggi majlis revolusi.

Ikhwan Muslimun dan seluruh lapisan rakyat, warganegara Mesir yang ikhlas adalah tentera-tentera kepada bangsa ini. Mereka tidak akan mensia-siakannya, tidak akan membelakanginya, tidak akan teragak-agak untuk berkorban apa saja yang mahal dan berharga demi merrealisasikan kebebasan dan kemuliaannya serta kebenaran yang mereka telah berjanji setia untuk mempertahankannya sepanjang perjalanan yang telah memakan masa yang lama dalam menghadapi zionis, penjajah, perampas serta orang-orang yang zalim. Semua orang yang zalim tidak pernah mengenali keganasan daripada kita dan tidak pernah dibalas kejahatan mereka melainkan dengan ihsan. Sejarah kita menyaksikan, umat kita menyaksikan di hadapan umat-umat lain dan Allah sebaik-baik saksi apa yang kami lakukan terhadap orang yang menghukum kami di mahkamah tentera yang hukumannya mencecah lebih daripada 15,000 tahun penjara. Bahkan mereka menggantung kami di kayu-kayu gantung, membunuh kami dengan siksaan yang memeritkan di penjara-penjara dan kurungan-kurungan. Mereka membunuh kami ketika tunjuk perasaan dan perhimpunan aman, mereka bakar kami bersama rakyat Mesir yang mulia, mereka bakar harta milik kami. Dan sebelum itu mereka bunuh kami melalui tangan-tangan samseng ketika mereka memalsukan pilihanraya. Dan siapakah yang telah memalsukan pilihanraya yang kami menang. Sebanyak  6000 keputusan mahkamah menyebelahi kami, namun yang dilaksanakan hanya satu sahaja. "Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Al-Baqarah:111)

Maka siapakah yang menghormati mahkamah dan siapakah yang menghinanya? Siapakah yang menghormati undang-undang dan siapakah yang memijak perlembagaan dan undang-undang serta kehendak rakyat Mesir keseluruhannya sekarang dengan kasutnya dan yang mengikut kehendak Nazisme, Fasisme dan Pharaonic?

Tetapi Negara kezaliman itu satu saat, sedangkan Negara kebenaran itu kekal hingga ke hari qiamat. Allah ‘Azza wa Jalla bersumpah dengan Keagungan dan KebesaranNya akan memaqbulkan doa setiap orang yang dizalimi “Demi sesungguhnya Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika.” Akan datang saat dan ketika itu dengan yakin, pasti dan segera dengan izin Allah kerana Allah, Dialah al-Haq dan Dia akan menghantarkan kebenaran Rabbani yang tidak akan mampu ditangkis oleh senapang kamu, kapal terbang kamu, senjata api kamu dan senapang kamu. “Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).” (Al-Anbiaa’:18)

Adapun kamu wahai orang yang berjiwa merdeka di seluruh dunia, sama ada individu, kerajaan atau institusi, kami meminta agar mereka berdiri dengan teguh bersama kebenaran, kebebasan demi seluruh rakyat di dunia. Sesungguhnya telah berlalu pergi zaman rampasan kuasa tentera, pergi yang tidak akan kembali lagi. Sesungguhnya kamu telah bangkit menentangnya di setiap tempat sebagai tanda setia kepada nilai-nilai kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia.

Adapun orang yang memilih untuk berdiri bersama dengan kezaliman, kekerasan, pembunuhan, penumpahan darah, pembakaran orang yang tidak berdosa, aku berkata kepada mereka, sama ada mereka terdiri daripada orang perseorangan, atau pakatan, atau institusi tempatan atau antarabangsa, kerajaan Arab atau bukan Arab, aku katakan kepada mereka: dekat dan sangat dekat dengan izin Allah kamu akan menyesal di atas pendirian ini kerana Allah akan menolong kebenaran. Dia telah berkata, dan kata-kataNya adalah benar: “Allah berfirman: Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal.” (Al-Mu’minun:40)
“dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” (Asy-Syu’araa’:227)
“Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.” (Al-Qamar:26)

Dan aku yakin, sesiapa yang ingin mengambil pengajaran daripada pendirian dan sifat thabat, sabar, keperwiraan, hendaklah dia melihat kepada penduduk Palestin. Kita tidak mensucikan mereka, tetapi telah terbukti mereka tidak gentar kepada alat-alat perang zionis yang mencerobohi kawasan larangan setiap hari. Semua itu tidak sedikitpun dapat mengurangkan keazaman mereka, ketabahan mereka dan penolakan mereka secara total terhadap penjajahan. Lantaran itu Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan khabar gembira bahawa mereka akan menang. Mereka tidak akan terkesan oleh orang yang menentang mereka, yang menginjak mereka dan yang membiarkan mereka dizalimi serta enggan menolong mereka. “dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj:40)

Kita adalah umat yang thabat  kerana sesuatu yang dilakukan kerana Allah akan kekal dan berterusan. Kita adalah umat yang berpuasa enam hari daripada Syawwal selepas Ramadhan. Kita adalah umat yang berpuasa hari Isnin dan Khamis. Dan kerana alam ini mempunyai Tuhan yang mentadbir dengan TanganNya semua perkara: “Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Hud:123)

Dan bagi kebenaran itu ada Tuhan yang melindunginya. Bagi kebatilan pula kehinaan, penyesalan dan kerugian kepada mereka yang berpegang dengannya, di dunia dan akhirat. “Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!” (Al-Israa’:51)
“dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf:21)

Allahu Maha Besar. Segala puji bagi Allah. Benarlah janjiNya. Dia memuliakan tenteraNya dan menewaskan tentera bersekutu sendiri sahaja.

Selawat serta salam ke atas penghulu kita Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.

Cairo pada: 13 Syawwal 1434 bersamaan 20 Ogos 2013.

Risalah terakhir yang ditulis Mursyid Aam sebelum beliau ditangkap oleh perampas kuasa berdarah.
Sumber:



Sunday, September 15, 2013

Kekerasan: antara sistem Islam dan sistem diktator


Risalah mingguan jamaah Ikhwan Muslimin

Umar bin Abdul Aziz rahimahullah, sebelum dilantik memegang jawatan khalifah merupakan seorang gabenor bagi khalifah al-Walid bin Abdul Malik di al-Madinah al-Munawwarah. Dia memerintah penduduk Madinah dengan cara yang baik, menggunakan polisi yang lunak. Pada masa yang sama, al-Hajjaj bin Yusuf menjadi gabenor di Iraq. Dia pula melayani penduduknya dengan kasar dan layanan yang buruk. Suatu ketika, al-Hajjah datang ke Madinah. Dia bertanya penduduk Madinah tentang Umar. "Bagaimana kehebatan dia di kalangan kamu?" Mereka menjawab: "Kami tidak mampu untuk memandangnya kerana kehebatannya." Dia bertanya lagi: "Bagaimana cinta kamu kepadanya?" Mereka menjawab: "Dia lebih kami cintai daripada ahli keluarga kami." Dia bertanya seterusnya: "Bagaimana adabnya? (maksudnya bagaimana cara dia mendidik rakyat, menghukum orang yang buat salah dan sebagainya)" Mereka menjawab: "Antara tiga hingga sepuluh kali sebatan." Al-Hajjaj berkata: "Ini, kehebatannya, ini cintanya, ini adabnya. Semua itu adalah urusan dari langit."

Sesungguhnya Umar rahimahullah memahami bahawa memimpin manusia adalah dengan menegakkan keadilan di antara mereka dan berlemah lembut dengan mereka. Manakala Hajjaj berpendapat ketegasan dan kekerasan lebih dapat menjaga kehebatan kerajaan dan lebih kuat pengaruhnya. Dengan sebab itu, keadilan Umar dan kebajikannya menjadi faktor negara dilimpahi kemewahan dan kemakmuran. Manakala kebengisan Hajjaj menjadi punca merosotnya barakah dan kurangnya hasil sehingga hasil pengeluaran Iraq menjunam di bawah pemerintahan Hajjaj dari 100 juta dirham ke 25 juta dirham.

Inilah perbezaan yang hakiki antara sistem Islam dengan sistem diktator. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya sejahat-jahat pengembala ialah al-hutomah (yang menghancurkan)." Al-hutomah seperti humazah dan lumazah. Iaitu yang sangat menghancurkan.  Maka dikatakan kepada orang yang banyak menghancurkan dan banyak memaksa itu hutomah. Iaitu orang yang zalim kepada rakyatnya dan tidak mengasihani mereka,  yang menyeret mereka dengan kasar, yang keras tanpa belas, yang menghukum dengan keras. Sesungguhnya adat pemerintah yang zalim, dia seorang yang busuk hati, tabiatnya kejam, mencengkam rakyatnya, tidak kasihan kepada mereka, tidak mengambil berat apa yang menguntungkan mereka, lebih mementingkan kehebatan dan keupayaan mereka untuk memerintah walaupun dengan menzalimi rakyat. Tidak syak lagi, kediktatoran dalam politik menjadikan pemerintah itu sejahat-jahat pemerintah secara tuntas.

Dan ketika mana pemerintah itu bersifat demikian, maka rakyat melihatnya sebagaimana burung melihat kepada pemburu, tidak seperti askar melihat kepada ketua. Lantaran itu pemerintah menjadi orang yang paling ditakuti. Dan pemerintah pula melihat kepada rakyatnya seperti pemburu melihat kepada burung, sentiasa mencari dan mengintai peluang untuk menangkapnya. Inilah kesan psikologi yang terbina di dalam diri rakyat. Hasil daripada kekerasan dan kekasaran yang dialami tidak dapat tidak rakyat akan terbiasa dengan rasa hina dan tidak berguna. Dan ketika pemimpin mewajibkan rakyat agar jangan dengar kecuali daripadanya, jangan berjalan kecuali di belakangnya, jangan berikan pendapat dan buah fikiran, kebebasan dan maruah dirampas sewenang-wenangnya, maka di ketika itu rakyat tidak akan peduli kepada isu-isunya yang besar. Mereka hanya sibuk memendam perasaan iri dan dendam semata-mata.

Ketika rakyat dipaksa menjalani kehidupan dengan cara yang menyakitkan, ketika dia melihat selalu ditekan dan dilayan dengan kekerasan, tidak dapat tidak mereka akan berfikir bagaimana membebaskan diri dari keadaan itu. Maka merabaklah kerosakan, rakyat mengabaikan tanggungjawab mereka yang asasi dan risalah yang seharusnya mereka pikul, tenaga tercurah dengan sia-sia di medan peperangan dalaman yang merugikan dan membawa kemusnahan. Dengan sebab itu umat tidak akan mampu menjayakan projek yang  menguntungkan, atau membangun negara yang maju selagi mana hubungan antara pemimpin dan rakyat awam berada dalam suasana yang tegang dan mencengkam.

Sesungguhnya para sahabat yang mulia telah mempelajari hal ini. Mereka sangat mengambil berat dalam menasihati para pemerintah, khususnya yang zalim. Salah seorang daripada mereka yang bernama 'Aaez bin 'Amru r.a. masuk mengadap seorang gabenor yang zalim bernama Ubaidillah bin Ziyad yang merupakan seorang yang sangat bengis. Maka dia berkata: "Wahai anakku, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya sejahat-jahat pengembala ialah al-hutomah." Maka, jaga-jaga engkau, jangan termasuk dalam golongan itu." Maka Ubaidillah berkata: "Duduklah! Sesungguhnya engkau adalah antara orang yang disaring dari kalangan sahabat Muhammad s.a.w." 'Aaez berkata: "Adakah terdapat di kalangan mereka orang yang disaring? Yang ada hanyalah selepas mereka dan di kalangan orang lain daripada mereka." Di dalam riwayat lain, dia berkata: "Wahai muslimin, adakah terdapat di kalangan sahabat Muhammad s.a.w. orang yang disaring? Bahkan mereka semua adalah saripati!"

Apabila kita melihat kepada peringkat-peringkat kejatuhan dalam sejarah kita, sejarah Islam secara keseluruhan, kita dapati, pada setiap peringkat itu ia melalui zaman pemerintahan penguasa yang hutomah, yang memerintah umat dengan hawa nafsu dan fikiran mereka tanpa memperdulikan rasa simpati kepada rakyat, atau mengambil kita kepentingan rakyat. Dan sebaliknya apabila kita melihat kepada zaman-zaman kegemilangan yang dilalui sepanjang sejarah umat kita yang panjang, kita dapati bahawa Allah s.w.t. melimpahkan rezekiNya ke atas sesebuah negara, apabila ia diperintah oleh pemerintah yang adil, lemah lembut dan penuh kasih sayang. Habuannya adalah kemajuan, kegemilangan dan kecemerlangan.

Di sana terdapat satu gambaran yang tepat mengenai hubungan antara pemimpin (qiadah) dan tentera (junud). Ketika Mu'awiah bin Hudaij r.a. memimpin tentera Islam dalam membuka (menakluk) Afrika, beliau seorang yang senang didampingi, baik tingkah laku terhadap tenteranya sehingga mereka mengasihinya. Ummul-Mukminin Aisyah r.a. memujinya meskipun beliau berbeza pendapat dengannya, juga masalah yang berlaku antara Mu'awiah dengan adik beradik Aishah, Muhammad bin Abu Bakar. Di dalam Sahih Muslim, daripada Abd Rahman bin Syimasah al-Mahriy berkata: "Aku datang berjumpa Aisyah kerana ingin bertanyakan sesuatu. Lalu beliau berkata kepadaku: "Dari manakah kamu?" Aku menjawab: "Seorang lelaki daripada penduduk Mesir." Beliau bertanya lagi: "Bagaimanakah keadaan sahabat kamu (iaitu Mu'awiah) dengan kamu dalam dia menakluk negeri kamu?" Abd Rahman menjawab: "Kami sedikitpun tidak mendendaminya. Jika ada di kalangan kami untanya mati, dia akan berikan orang itu unta. Jika hamba yang mati dia akan berikan hamba. Orang yang berhajat kepada sara hidup, dia berikan sara hidup." Maka Aishah berkata: "Sesungguhnya, apa yang dia lakukan terhadap saudaraku Muhammad, tidak menghalang aku untuk memberitahu kamu apa yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda di rumahku (maksudnya) "Sesiapa yang memegang kuasa dalam satu urusan daripada urusan umat Islam, lalu dia menyulitkan mereka, maka sulitkanlah dia. Dan sesiapa yang memegang kuasa dalam satu urusan daripada urusan umat Islam, lalu dia berlembut dengan mereka, lembutkanlah dengan dia."

Cuba kita lihat kepada mujaddid pertama selepas Rasulullah s.a.w., iaitu Umar bin Abdul Aziz rahimahullah. Beliau melayani rakyat dengan cara yang lembut dan menggesa kakitangannya agar melayani rakyat dengan lembut. Dua orang gabenornya menghantar surat kepadanya. Di dalam surat itu, keduanya menulis: "Pada pandangan kami, manusia ini tidak sesuai untuk membaiki mereka kecuali pedang." Maka beliau menjawab surat mereka berdua: "Kamu adalah dua orang yang buruk daripada perkara yang buruk. Dua orang yang busuk daripada perkara yang busuk. Adakah kamu cuba mendedahkan kepadaku darah orang Islam? Demi Allah, sesungguhnya darah kamu berdua lebih murah di sisiku daripada darah orang Islam." Lantaran itu, tempoh yang begitu singkat baliau memerintah umat Islam (dua tahun, lima bulan dan beberapa hari) sudah cukup untuk mengangkat panji-panji umat, mengembalikan semula kegemilangannya dan merealisasiakan kemewahan dari sudut ekonomi kepada rakyat seluruhnya.

Beliau enggan menghukum orang ramai dengan sebab perbuatan orang tertentu (yang segelintir), atau dengan kata lain dia tidak menghukum rakyat secara borong, atau hukuman jama'ei, mengatasi batasan undang-undang walau dalam keadaan teruk macam manapun. Ini kerana perbuatan sedemikian akan melibatkan orang tidak bersalah terhukum dengan sebab dosa orang yang bersalah dan akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Beliau yakin bahawa keamanan masyarakat tidak akan terpelihara kecuali dengan melaksankan undang-undang dengan betul ke atas orang yang bersalah sahaja. Diriwayatkan bahawa seorang gabenor Umar bernama Yahya al-Ghassani berkata: "Manakala Umar bin Abdul Aziz melantikku sebagai gabenor di al-Musil, aku berangkatlah ke situ. Maka aku dapati negeri itu merupakan negeri yang paling banyak berlaku kecurian dan keganasan. Maka aku menulis surat kepada Umar, memberitahunya hal keadaan negeri ini dan bertanya, bolehkah aku menghukum manusia berdasarkan sangkaan dan mendera mereka dengan tuduhan sahaja? Atau adakah aku mesti menghukum mereka dengan saksi dan keterangan sebagaimana yang tercatat di dalam sunnah?" Baliau menjawab suratku, katanya: "Hendaklah engkau menghukum manusia dengan keterangan sebagaimana yang tercatat di dalam sunnah. Sekiranya mereka tidak jadi baik dengan hak (kebenaran), maka Allah telah tidak jadikan mereka baik!" Yahya berkata, maka aku lakukan apa yang diperintahkan. Hasilnya, aku keluar dari al-Musil  dalam keadaan negeri ini aman, dan ia menjadi negeri yang paling sedikit kes kecurian dan keganasan.

Al-Jarrah bin Abdullah menulis sepucuk surat kepada Umar bin Abdul Aziz. Surat itu bermaksud: "Sesungguhnya penduduk Khurasan, buruk kelakuan mereka. Mereka tidak boleh dibetulkan kecuali dengan pedang dan tongkat. Sekiranya Amirul-Mukminin mengizinkan saya berbuat demikian, saya akan lakukan." Umar menjawab surat tersebut dengan menulis: "Telah sampai kepadaku suratmu mengatakan penduduk Khurasan, buruk kelakuan mereka, dan mereka tidak sesuai diperbetulkan kecuali dengan pedang dan tongkat. Sesungguhnya engkau telah berdusta. Bahkan yang membetulkan mereka ialah kebenaran dan keadilan. Maka bentangkan kebenaran dan keadilan di kalangan mereka. Wassalam."

Semoga Allah merahmati Imam at-Tabi'ein, 'Aamir asy-Sya'bi yang berkata: "Adalah dirrah (tongkat pendek yang selalu dipegang di tangan) Umar, lebih digeruni daripada pedang Hajjaj." Rahsianya ialah apa yang dipegang oleh Umar, menegakkan kebenaran, menyebarkan keadilan, mencegah kezaliman dan penyelewengan, serta tidak pernah mengenakan dirrahnya ke atas orang yang dizalimi. Maka dengan itu, meskipun tongkat itu kecil dan pendek ia dapat merealisasikan keamanan dan menimbulkan kegerunan yang tidak mampu diperolehi oleh pedang yang tajam dan tongkat yang besar lagi panjang. Maka tongkat kecil itu di sisi penjenayah dan orang-orang yang bersalah sangat digeruni, tidak ada yang digeruni lebih daripada itu.

Sebenarnya, keperluan kita kepada keadilan Umar, ketegasannya dalam mempertahankan kebenaran tidak kurang daripada keperluan kita kepada lemah lembutnya dan penghormatan kepada kemuliaan insan dan memelihara hak-hak mereka. Polis dan tenteranya semuanya dari jenisnya yang menghormati hak dan kebebasan manusia serta menyediakan diri untuk berkhidmat kepada rakyat jelata, bukan dari jenis Hajjaj yang berpendapat wajib menundukkan manusia dengan paksaan, kekasaran serta menghalalkan kezaliman dan perbuatan yang melampau batasan.

Kini, kita sangat-sangat berhajat kepada pendekatannya untuk membina negara yang padu, kuat, maju dan ke depan. Inilah yang diijtihadkan oleh presiden Dr Mursi dengan meletakkan asasnya selama setahun pemerintahannya. Dia berusaha sehabis daya untuk berlembut dengan rakyat Mesir dan berdiri di perbatasan undang-undang, tidak melangkahinya dalam mengahadapi musuh dari kalangan individu, pertubuhan atau parti politik meskipun banyak percubaan untuk menghalang dan menggagalkannya. Percubaan untuk menggagalkannya datang dari pelbagai pihak, termasuk dari jentera kerajaan yang masih mendalam kesan pengaruh lamanya serta saki baki siasah yang telah gagal. Percubaan juga datang daripada orang-orang yang terlibat dengan revolusi (thaurah) dari kalangan pemuda yang tidak jelas pendirian mereka atau ijtihad mereka berbeza dengan ijtihad Dr Mursi. Sebahagian orang ramai memandang pendirian Dr Mursi yang tidak mahu membalas dendam atau melayan dengan buruk mereka yang tidak sehaluan dengannya sebagai lemah kerana setengah mereka mengambil kesempatan terhadap toleransi dan sikap berlapang dada beliau serta tidak bertindak ke atas mereka yang menyakiti secara melampau terhadap peribadi dan keluarganya, bahkan ke atas projek yang diusahakannya.

Kemudian puak-puak inqilab bergerak menyediakan suasana ketidak stabilan politik dan menipu umat dengan proses rampasan kuasa secara khianat dengan dakwaan untuk membela majoriti rakyat yang menolak presiden Mursi dan berusaha untuk melakukan pilihanraya presiden secepat mungkin. Institusi ketenteraan yang sepatutnya mendukung legitimasi dan mempertahankan kehendak rakyat turut memberi laluan kepada perselisihan politik untuk melakukan inqilab yang berdarah, supaya dikembalikan kepada pemerintahan diktator dengan cara yang lebih keras daripada sebelumnya. Mereka tidak faham bahawa berdirinya mereka melaksanakan peranan mereka yang hakiki dalam memelihara kedaulatan negara yang sah di sisi undang-undang membolehkan mereka meraih kasih sayang apabila mereka menjalanakan tanggungjawab mereka bersama presiden yang dipilih secara sah dan bersama anak bangsa mereka yang berbagai-bagai puak serta mementingkan pelaksanaan undang-undang dengan cara yang betul. Tetapi, sedihnya mereka mengatur langkah di jalan yang salah. Tidak cukup mereka melakukan dosa besar, menderhaka dan merampas kuasa, bahkan mereka menumpahkan darah, mengancam manusia, mengunci mulut rakyat, menangkap orang yang bebas, memecahbelahkan rakyat, mencetuskan bibit-bibit kebencian, membebaskan samseng-samseng untuk membelasah antara satu sama lain, mendorong penguasa ke arah pemerintahan diktator, meletakkan kita di hadapan pentadbiran yang bencikan rakyat, rakyat bencikannya. Maka natijahnya sangat-sangat buruk, tiada daya upaya untuk mengelak daripadanya kecuali dengan izin Allah. Dan aku ingatkan kamu dengan Hadis yang mulia, diriwayatkan oleh Muslim daripada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda maksudnya:  "Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu cintakan mereka dan mereka cintakan kamu. Kamu mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka mendoakan kebaikan untuk kamu. Dan sejahat-jahat pemimpin kamu ialah pemimpin yang kamu bencikan mereka dan mereka bencikan kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu."

Maka adakah di sana orang yang berakal lagi matang yang boleh mengingatkan puak-puak perampas dan orang-orang yang mendukung rampasan kuasa dan menggalakkan mereka meneruskan kerosakan mereka, ingatkan mereka bahawa projek inqilab mereka sebenarnya gagal dan kesudahannya menghancurkan umat. Sesungguhnya keditatoran tidak dapat tidak berakhir dengan kerosakan dan kehancuran yang menyeluruh bagi masa depan umat. Dan sesungguhnya tiada jalan  untuk mereka yang inginkan kebaikan untuk dirinya dan umatnya kecuali kembali kepada kebenaran, ikut syar'iyyah, berlembut dengan rakyat awam yang akan menuntut hak mereka sekalipun mengambil masa yang lama kerana kehendak mereka diambil daripada kehendak Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Ya Allah, selawat dan salam ke atas penghulu kami Muhammad, keluarga dan sahabat baginda.

Semoga Allah pelihara Masir serta penduduknya dari semua orang yang menghendaki kejahatan kepadanya.

Cairo: 6 DzulQaedah 1434 bersamaan 12 September 2013-09-12
Sumber: